BAB
6
“So macam mana dengan keadaan bengkel hari ni? Everything okey?” Nina bersuara sebaik kakinya memijak lantai
bengkel pagi itu.
Dipandang mesra wajah para pekerjanya
yang sibuk menyiapkan kerja masing-masing. Telah menjadi kemestian bagi Nina
untuk meninjau keadaan bengkelnya setiap hari. Sesibuk mana pun dirinya, dia
akan memastikan masanya dihabiskan walau seketika untuk bertanya khabar
berkenaan dengan bengkel dan para pekerjanya. Itu amalannya sejak hari pertama
bengkel kenderaan itu dibuka. Kerana itu, tidak hairanlah hubungannya dengan
para pekerja begitu rapat.
“Setakat ni, tak ada masalah
Cik Nina, cuma bekalan minyak silinder untuk motor di bengkel kita dah
berkurangan,” sahut Rafiq yang begitu tekun mencuci sebuah skuter berjenama
Yamaha Majesty 250cc di hujung bengkel.
“Nanti awak beritahu Sandra kat
dalam office. Apa-apa saja barang yang
dah tamat tempoh atau dah tak ada stok, seperti biasa tulis dalam senarai
barangan sebelum diberi pada Sandra,” ujar Nina memandang sekilas Rafiq yang
pantas mengangguk kecil.
“Cik Nina, ini kereta jenis apa
ya? Tak pernah saya tengok pun kereta berbentuk begini. Kereta keluaran terbaru
tak?”
Nina mengalih pandangannya ke
arah Jimmy. Anak muda itu sedang mengelap sebuah kenderaan yang berwarna merah
hati. Dihayun langkahnya. Mendapatkan anak muda itu.
“Jim, kenderaan ni bukan kereta
keluaran terbaru tapi ianya merupakan sebuah trak pikap yang mempunyai prestasi
yang tinggi dan dalam masa yang sama mampu menjimatkan bahan api,” ujar Nina
memandang wajah Jimmy yang memalingkan tubuh mengadapnya.
“Maksud Cik Nina?” Berkerut
seketika dahi anak muda itu.
Indra dan Rafiq yang sedang membuat
kerja saling berbalas pandangan sebelum mengatur langkah merapati Nina.
Membiarkan kerja yang sedang dilakukan tertangguh seketika. Masing-masing berminat
untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan dengan kenderaan yang sedang
diperkatakan Jimmy dan Nina.
“Jim, kenderaan seperti ini
tidak disebut sebagai kereta tapi sebaliknya di sebut sebagai trak. Ini kerana
walau pun bentuknya hampir sama dengan kereta namun fungsinya agak berbeza,”
jelas Nina bersahaja.
“Apa nama trak pikap ni Cik Nina?”
soal Jeremy ingin kepastian.
Sekali-sekala perhatian Jimmy
teralih ke kenderaan di depannya. Sebenarnya Jimmy begitu berminat dengan
bidang pemotoran dan kenderaan. Apatah lagi dia mempunyai diploma dalam bidang
yang berkaitan membuatkannya semakin teruja untuk menimba pengetahuan.
Namun kesempitan wang dan
kesibukannya menguruskan urusan kehidupan seharian membuatkan niatnya untuk
melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi terbantut buat seketika.
“Trak ini dinamakan sebagai
Ford Ranger TDCi, sebuah trak yang mempunyai enjin DOHC empat silinder selari
16 injap yang mana mampu memecut melebihi had laju tanpa perlu pemandunya
bekerja keras untuk mengerakkannya. Di samping itu, enjin trak ini juga tidak
akan mengeluarkan bunyi yang bising seperti mana trak-trak yang lain. Trak
jenis ini juga dapat memuatkan muatan seberat satu tan dalam satu-satu masa,”
terang Nina panjang lebar.
“Wow, hebatnya. Mesti harganya
mahal kan Cik Nina,” sampuk Indra turut terpegun dengan pengetahuan yang baru
di perolehinya itu. Jari-jemarinya menyentuh permukaan hadapan trak itu sebelum
mengosoknya perlahan-lahan.
“Nak kata mahal tu, taklah
juga, tapi boleh tahanlah bagi siapa yang tak mampu tu,” balas Nina memandang
wajah setiap pekerjanya yang mengangguk-angguk.
“Cik Nina, kalau kereta jenis
begini dipanggil sebagai kereta jenis apa ya?” tanya Indra.
Tangannya dihala sebuah kereta
yang terletak di tengah-tengah bengkel kereta itu. Sudah beberapa hari kereta
itu terbengkalai di bengkel tersebut. Walau pun telah lama siap dibaiki namun
pemilik kenderaan tersebut masih belum dating menuntut.
“Oh, kereta ni. Ini merupakan
sebuah kereta yang tergolong dalam
kenderaan pelbagai guna atau pun disebut sebagai MPV. Kalau tak silap saya,
kereta ni merupakan model yang telah dikeluarkan oleh sebuah syarikat
antarabangsa iaitu Alado Bumi Automobile Sdn Bhd,”
“Apa nama kereta ni Cik Nina?”
sampuk Rafiq tidak sabar.
“Kereta ini disebut sebagai
Chery B240. Kamu tahu apa keistimewaan kereta ni?” soal Nina sedikit tegas. Pantas
ketiga-tiga anak muda itu mengeleng.
“Dikatakan kereta ini telah
diterapkan dengan gaya MPV Eropah yang elegan, menawan dan hebat. Kereta ini
dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang terbaik seperti case yang berkualiti, beg udara SRS yang
berkembar di bahagian hadapan, sistem brek antikunci dan pembahagian kusa brek
elektronik. Itu belum dikira dengan pemain cakera padatnya, hon dua nada, lampu
kabus depan dan belakang, stereng boleh laras dan lampu belakang jenis LED.
Pendek kata, memang selesa,” ujar Nina lagi.
“Wow, hebat tu Cik Nina,”
Terlopong mulut Rafiq seketika mendengar penjelasan Nina yang di rasakan
benar-benar dapat memukau minatnya untuk memiliki kereta itu.
“Hebat tu, hebat jugalah, tapi
harganya tentu hebat juga kan Cik Nina,” sela Jimmy turut kagum dengan kelebihan
yang terdapat pada kereta itu.
Nina mengangguk kecil.
“Harganya boleh dikatakan
mahal. Malah lebih mahal dari harga trak pikap tadi. Dalam lingkungan RM132,000,”
“Mak datuk, mahalnya. Lebih
baik beli rumah kalau macam tu mahal,” sahut Indra.
“Bagi awak memanglah mahal,
tapi bagi sesiapa yang berminat dengan kereta jenis begini, harga tu bukannya
ukuran lagi. Yang penting kepuasan diri dapat dipenuhi,”
“Tapi bagi sayalah Cik Nina,
membeli kereta mahal ni membazir saja. Mana tidaknya, kereta ni kan tergolong
di antara benda-benda yang berteknologi. Ianya akan berubah mengikut arus
teknologi yang sentiasa berubah,” ujar Rafiq memberi pandangan.
“Aku sokong dengan pendapat kau
tu. Lagi pun, cubalah fikir, makin canggih sesebuah kereta tu, semakin banyak
perbelanjaan yang perlu kita tanggung. Dari segi pemasangan alatan kereta,
aksesori dan sebagainya. Dahlah tu, kalau kita membeli kereta buatan luar
negara, kita terpaksa menghabiskan masa dan duit yang banyak untuk mencari spare part untuk kereta kita sekiranya
berlaku sesuatu pada kereta kita tu. Itu belum di kira dengan kos-kos lain
lagi,” sampuk Indra menyokong penuh kata-kata Rafiq.
“Betul tu. Lagi satu, kereta
mahal ni selalunya memerlukan jumlah minyak petrol yang banyak setiap kali
ianya digunakan. Bayangkan kalau harga minyak petrol naik secara mendadak,
teruk juga pemakai-pemakai kereta jenis ni nak mengisi tangki,” Jimmy turut menyuarakan
pendapat.
“Itu pendapat kamu semua tapi pada
orang yang berkemampuan, semua itu bukanlah penghalang untuk memiliki kenderaan
jenis begini. Malah ada yang sanggup menghabiskan ribuan ringgit untuk
menjadikan kenderaan mereka kelihatan unik dan menarik. Walau pun pada
pandangan orang lain semua itu adalah membazir namun bagi mereka perkara itu
memberi satu kepuasan pada mereka sendiri,” ujar Nina.
“Kenapa ada orang yang sanggup
menghabiskan duit mereka pada perkara yang rasanya tak membawa sebarang
keuntungan pun pada mereka ya Cik Nina?”
“Inilah yang dikatakan sebagai
kehendak manusia Jimmy. Setiap manusia mempunyai kehendak mereka yang
tersendiri dan kehendak itu pula berbeza dengan manusia yang lain. Mungkin pada
kamu ianya membazir tapi bagi mereka yang mempunyai kehendak yang sebegitu
takkan menganggap ianya satu pembaziran sebaliknya menganggap perkara itu
sebagai satu kepuasan yang dapat memenuhi kehendak yang diinginkan mereka,” Mereka
yang mendengar menganggukkan. Mengerti dengan penerangan itu.
“Wah, banyak betul perkara yang
Cik Nina tahu tentang kenderaan ya,” suara Indra kagum dengan pengetahuan yang
dimiliki ketuanya itu.
“Tak adalah banyak mana Ind,
saya tahu pun sebab saya suka membaca bahan bacaan yang berkaitan dengan bidang
permotoran. Selain tu saya selalu menghadiri pameran kenderaan yang selalu di
buat di sekitar ibu kota kita ni. Kamu pun boleh kalau kamu nak, semuanya
terpulang pada diri kamu sendiri,” balas Nina merendah diri.
“Tapi kiranya Cik Nina tahu
jugalah tentang kenderaan begini berbanding kami semua yang hanya tahu sedikit
je tentang bidang ni,” giliran Rafiq meluah kata.
“Kamu bertiga dengar nasihat
saya. Kalau kamu ingin berjaya dalam setiap bidang yang kamu sertai, kamu perlu
mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam bidang tersebut. Bukan sekadar membaca
malah kamu perlu meminta tunjuk ajar dari orang yang lebih berpengalaman dari
kamu. Malah, ada lebih baik kiranya kamu mengalami sendiri setiap apa yang kamu
ingin ketahui.
Kerana bak kata orang bijak
pandai, pengalaman merupakan guru yang terbaik untuk manusia. Jadi, jangan beri
apa-apa alasan utnuk kamu menambah pengetahuan. Kerana pengetahuan itu kamu
boleh perolehi dengan pelbagai cara. Hanya terpulang pada kamu bagaimana untuk
mendapatkannya,”
Mata Nina merayap ke setiap
wajah yang ada di depannya. Dia menyimpul senyum. Terselit kepuasan dalam
dirinya kerana berupaya berkongsi pengetahuan dengan mereka walau pun baginya
ilmu yang di punyainya itu hanya sebesar hama. Jimmy, Indra dan Rafiq turut
mengulum senyum. Masing-masing mengangguk kecil.
“Hmm… dahlah tu. Pergi sambung
semula kerja masing-masing, Karang tak siap pula kerja kamu tu,” kata-kata Nina
mematikan perbualan mereka. Indra, Jimmy dan Rafiq segera meminta diri. Ingin menyambung
semula kerja yang terbengkalai.
No comments:
Post a Comment