Followers

Monday, 7 October 2013

BAB 24 - TAK SANGKA AKU


BAB 24

“MACAM nilah Fahmi, mak rasa lebih baik kalau mak bawa Farah balik ke kampung aje. Tak guna dia terus tinggal kat sini pun,” ujar Hajah Aminah sambil menatap anak lelakinya.
Datuk Fahmi hanya menunduk bisu.
“Betul kata mak kamu tu. Tak ada gunanya kamu terus menjaga Farah kalau macam ni keadaannya,” sampuk Haji Rahman yang turut memandang wajah suram itu.
“Tapi ayah, Farahlah satu-satunya anak perempuan yang kami ada. Takkanlah mak dan ayah tergamak nak pisahkan kami dengan dia,” ujar Datin Farina sambil teresak-esak menangis.
Anak di pangkuannya dicium lagi. Sepenuh hati.
“Macam mana kamu nak jaga dia kalau nak menyusukan dia pun kamu tak mampu? Dah dua hari budak Farah ni lahir. Setitik air susu kamu pun dia tak boleh minum lagi. Daripada biar dia minum susu formula tu, lebih baik kalau mak dan ayah bawa dia balik ke kampung. Sekurang-kurangnya dia boleh menyusu badan dengan sesiapa kat sana nanti,” sanggah Hajah Aminah cepat-cepat.
Bulat matanya memandang menantu yang terbaring lemah di katil hospital.
“Tapi saya tak sanggup berpisah dengan Farah. Dia satu-satunya anak perempuan kami. Tolonglah mak, jangan ambil Farah dari saya,” rayu Datin Farina, memohon belas kasihan mentuanya.
“Habis tu, kamu sanggup tengok anak kamu tu mati kering begitu aje? Hei Farina, dari dulu mak dah kata. Mak tak suka cucu-cucu mak diberi minum susu formula tu. Bukannya baik pun untuk otak dia orang. Mak tak mahu Farah dibesarkan dengan susu buatan manusia tu. Mak tak izinkan,” marah Hajah Aminah.
“Tapi betul kata Farina tu mak. Farah tu satu-satunya anak perempuan yang kami ada. Dah lama kami nakkan anak perempuan. Takkanlah hanya kerana Farina tak boleh menyusukan dia, mak nak bawa balik anak kami tu ke kampung,” sampuk Datuk Fahmi, lemah.
Luluh hatinya melihatkan sikap tidak mahu beralah emaknya.
“Mak tak peduli. Sama ada kamu suka atau tak, mak tetap akan bawa dia balik bersama mak nanti,” tegas Hajah Aminah dengan keputusannya.
“Macam nilah Fahmi, Farina. Ayah dan mak bawa balik Farah ke kampung untuk setahun dua ni. Esok-esok bila dia dah besar, dah nak masuk sekolah, kamu ambillah dia balik. Sekarang ni biar kami yang jaga dia. Lagipun kamu masih ada tiga orang anak lagi yang tinggal dengan kamu. Kami ni hanya berdua aje. Sekurang-kurangnya bila ada Farah, taklah sunyi sangat rumah kami tu nanti,” celah Haji Rahman pula.
Kedua-dua anak menantunya terdiam sementara waktu. Saling membalas pandangan sebelum perlahan-lahan mengangguk lemah. Mengalah jua.
“Jauhnya Rina pergi.”
Usapan lembut di bahu membuatkan Datin Farina tersentak. Lalu perlahan-lahan dia tersenyum pada Datuk Fahmi. Entah bila lelaki itu berdiri di sisi dia sendiri tidak pasti.
“Awal abang sampai ke butik Rina hari ni,” ujar Datin Farina lalu mengucup lembut tangan suaminya.
“Abang awal ke atau Rina yang tak perasan abang sampai?”
Datuk Fahmi melabuhkan punggung di sofa ruang butik itu.
“Rina fikirkan apa tadi?” soal Datuk Fahmi lagi.
“Tak ada apa bang,” jawab Datin Farina perlahan.
Dia membuka bekalan makanan yang dimasaknya pagi tadi. Menjadi tabiatnya menyediakan makanan tengah hari buatnya dan suami setiap hari sebelum mereka berangkat ke tempat kerja masing-masing. Dan menjadi kebiasaan kedua-duanya juga untuk makan tengah hari bersama di butik Datin Farina saban hari walaupun sibuk dengan tugasan masing-masing.
“Iya ke tak ada apa-apa? Abang tengok jauh aje Rina mengelamun. Rina ingat siapa? Bekas boyfriend Rina ya?” usik Datuk Farid sambil menyambut pinggan nasi daripada isterinya.
“Hisy abang ni, tu pulak yang difikirnya. Dah tua-tua macam ni buat apalah Rina nak fikir semua tu. Buang masa Rina aje,” sangkal Datin Farina cepat-cepat.
“Oo... kiranya kalau Rina masih muda, Rina nak fikirlah pasal semua tu?”
Datuk Fahmi masih mahu mengusik isterinya. Wanita bergaya itu menjeling marah.
“Abang ni, mulalah nak merepek. Dah, makanlah cepat. Nanti lambat pulak abang balik ke pejabat.”
Datin Farina menyenduk lauk buat suaminya.
“Rina tak makan sekali?” tanya Datuk Fahmi apabila dilihat isterinya hanya menghidang makanan buatnya.
Datin Farina hanya menggeleng perlahan.
“Abang makanlah. Rina tak lapar lagi.”
Datin Farina menyandarkan tubuhnya di sofa. Menatap suaminya mengisi perut setelah sepotong doa dibaca.
“Dah lama Farah tak balik ke rumah kita kan bang.”
Suapan Datuk Fahmi terhenti. Segera kepalanya diangkat. Menatap isterinya yang sudah bermain jari-jemari sendiri.
“Kenapa Rina cakap macam tu?” soal Datuk Farid lembut.
“Entahlah bang. Rina rindu sangat pada Farah tapi apa yang boleh Rina buat. Rina tak mampu nak lihat dia pun,” balas Datin Farina, sebak.
Segera dia menyapu air mata yang telah berderai ke pipi.
“Jadi tadi tu Rina fikirkan Farahlah ya?”
Pertanyaan Datuk Fahmi hanya dibalas dengan anggukan lemah isterinya.
“Rina rindu anak kita bang tapi Rina tak tahu kenapa Farah benci kita sangat. Dah selalu kita balik ke kampung tapi jarang kita dapat jumpa dia. Ada aje alasan mak dan ayah nak jauhkan dia dari kita. Dan sekarang dia dah masuk universiti tapi kita masih tak dapat jumpa dia. Jauh sekali berbual dengan dia.”
Tangisan Datin Farina pecah juga. Terhinggut-hinggut bahu dia jadinya.
“Abang faham perasaan Rina tapi apa boleh buat. Abang sendiri rindukan dia. Sebagai mak ayah, kita dah jalankan tanggungjawab kita sebaiknya. Sama ada Farah tahu atau tak, tu bukan lagi persoalannya. Yang penting Rina mesti ingat. Walau sejauh mana dia pergi, dia tetap anak kita. Dunia dan akhirat,” pujuk Datuk Fahmi.
Sekaligus mematikan seleranya untuk terus mengisi perut.
“Rina tahu tu tapi Rina tak tahu kenapa Farah bencikan kita. Jangan kata nak jumpa, bercakap dengan kita pun jarang- jarang benar. Kalau kita telefon pun mak atau ayah aje yang menjawab. Sampai bila kita harus berkeadaan macam ni dengan dia bang?” keluh Datin Farina.
Terus Datuk Fahmi mendakap kejap tubuh isteri kesayangannya.
“Dahlah Rina, jangan menangis lagi. Abang yakin, suatu hari nanti Farah pasti balik ke pangkuan kita. Antara cepat dan lambat aje. Insya-ALLAH,” pujuk Datuk Fahmi lagi penuh yakin.
Lebih kepada memujuk hati sendiri yang turut diterkam duka. Sedikit sebanyak kata-katanya berjaya menenangkan hati isterinya yang sering kali pilu apabila perkara itu dibangkitkan. 

No comments:

Post a Comment