Followers

Saturday, 5 October 2013

BAB 12 - KEJORAKU BERSATU

BAB 12

“Aku dengar, kau hampir kena ragut beberapa hari lepas. Betul ke?” Datin Salbiah memandang Puan Fazlina yang mengangguk-angguk.
“Tapi nasib baiklah ada orang yang menolong. Kalau tak, tak tahulah apa yang akan jadi pada aku masa tu,” keluhnya lagi.
“Syukurlah kau selamat. Risau juga aku mendengarnya bila Nasir beritahu aku semalam,” ujar Datin Salbiah.
Tangan Datin Salbiah sibuk mengubah bunga sejambak bunga yang berada di meja depannya.
“Baik betul budak tu. Sampai sekarang aku tak dapat lupakannya,” Puan Fazlina bersuara perlahan namun jelas di telinga Datin Salbiah.
“Budak mana yang kau tak boleh lupakan tu Lina?” soalnya.
Puan Fazlina tersentak. Tidak menyangka kata-katanya itu dapat ditangkap sahabat baiknya. Dia tersenyum kecil.
“Budak yang bantu mendapatkan semula beg aku tu lah Biah. Baik sungguh dia. Untung mak ayah dia dapat anak sebaiknya,” ujar Puan Fazlina lagi.
“Lain macam saja aku dengar kata-kata kau tu. Kau ada apa-apa ke dengan budak tu ke?” soal Datin Salbiah sekadar mengusik.
“Isy, kau ni ada ke situ pula fikirnya,”
Kata-kata Puan Fazlina disambut dengan tawa kecil Datin Salbiah.  
“Aku bukannya apa Biah,  aku terkilan sebab tak sempat menanyakan nama budak tu. Sekurang-kurangnya, suatu hari nanti bolehlah aku membalas balik budinya tu.”
“Lina, orang yang menolong kita dengan ikhlas takkan mengharapkan balasan.”
“Itu aku tahulah Biah, tapi orang dah berbudi, takkan kita tak berbahasa pulak,”
“Yang kau asyik ingatkan budak tu kenapa? Kau berkenan nak buat menantu ke?” usik Datin Salbiah lagi.
“Huh, macam mana nak buat menantu kalau jantina budak tu pun aku tak tahu. Lagi pun, kalau budak tu lelaki, pada siapa aku nak bagi? Anak perempuan tunggal aku si Adilla tu pun dah lama kahwin. Dah tiga orang pun anaknya,” tingkah Puan Fazlina.
Datin Salbiah yang mendengar tersenyum kecil.
“Manalah tahu, kalau tak boleh jadi menantu, buat anak angkat pun apa salahnya. Ya tak?” guraunya.
Puan Fazlina tersenyum lebar.
“Betul juga kata kau tu. Apa salahnya kalau jadi anak angkat aku pun. Tapi, mahu ke budak tu jadi anak angkat aku?” Puan Fazlina berfikir seketika.
“Tak payahlah kau nak fikir tentang budak tu Lina oii. Entah betul ke orang yang tolong kau tu budak kita pun tak tahu. Dibuatnya orang tu bapa orang, takkan kau nak buat juga dia jadi anak angkat kau,” ujar Datin Salbiah bergurau lagi.
Puan Fazlina mendengus halus.
“Hisy kau ni, betullah kata aku. Memang budak muda yang tolong aku. Dengar suaranya pun aku dah tahu. Takkanlah bapa orang pula,” tingkahnya. “Lagi pun, kalau di lihat pada bentuk badannya tu pun, memang nampak benar yang dia tu muda lagi,” sambungnya lagi.
“Kau ni Lina, tak sangka aku. Tengok anak orang macam tu sekali,” ucap Datin Salbiah tersenyum lebar.
“Ala, dah kebetulan dia berdiri depan aku, aku tengok ajelah. Hah, sebut tentang anak, bila lagi kau nak perkenalkan anak perempuan kau tu pada aku?” Puan Fazlina menyoal tiba-tiba.
Kali terakhir dia melihat Nina hanyalah ketika gadis itu berusia tiga belas tahun dan dia tidak pernah lagi melihatnya selepas itu.
Dan kini walaupun telah hampir beberapa tahun Nina pulang dari luar negara namun dia tidak berkesempatan bertemu dengannya. Senyuman yang menghiasi bibir Datin Salbiah hilang tatkala mendengar pertanyaan itu.
“Huh, Nina? Tak payahlah kau kenal dengan budak tu. Buat sakit mata saja kau pandang. Dahlah perangai tak macam perempuan, kerja pun kerja orang jantan. Sakit hati aku dibuatnya,” Datin Salbiah bersuara sedikit marah.
“Jangan cakap macam tu Biah. Buruk-buruk mana pun perangai dia, dia tetap anak kau. Mungkin dia jadi begitu sebab dia seorang anak perempuan, Yang lainnya lelaki. Dahlah tu, dari dulu dia duduk kat asrama saja, mana tak perangainya macam lelaki,” ujar Puan Fazlina memujuk lembut.
“Adilla tu pun anak tunggal perempuan kau juga tapi tak ada pun bersikap macam jantan,” tingkah Datin Salbiah.
“Adilla tu lain sebab aku dan Adnan tak pernah hantar dia ke sekolah asrama. Dia membesar depan kami aje. Masa dia sambung belajar kat Queensland dulu tu pun, kami bagi sebab dia dah kahwin dengan Haikal. Kalau tak, jangan haraplah,” tingkah Puan Fazlina lagi.
Datin Salbiah mengeluh perlahan.
“Entahlah Biah. Aku pun tak tahu nak buat apa lagi. Dah berbuih mulut aku suruh dia tukar perangainya tu, tak jadi juga. Dalam hal ni, aku salahkan Nasir. Dia yang terlalu manjakan anak kesayangannya tu. Apa yang si Nina nak, semua dia bagi. Hinggakan lepas dia balik dari Ireland dia beritahu yang dia nak buka bengkel kereta pun Nasir setuju aje. Tak tahulah aku Lina,” keluhnya lagi.
“Sabarlah Biah. Doa-doalah selalu pada Allah supaya anak kau tu akan berubah sikapnya suatu hari nanti,” ujar Puan Fazlina seakan memujuk. Dikerling jam di tangannya sekilas.
“Eh, dah lama benar aku kat kedai kau ni. Nanti Adnan marahkan aku pula. Aku balik dululah ya Biah,”
“Hai, takkan dah nak balik kot Lina? Kalau iya pun, tunggulah kejap lagi,”
“Rasanya tak boleh Biah, aku janji dengan Adnan tadi nak jumpa kau sekejap saja. Ni dah dekat dua jam aku kat kedai bunga kau ni. Kau tahu sajalah Adnan tu, pantang aku lewat balik rumah, jenuh aku nak menahan telinga mendengar leterannya tu,” ujar Puan Fazlina sambil bingkas bangun.
Datin Salbiah hanya memandang tingkah wanita itu.
“Aku minta diri dululah ya Biah, ada masa datanglah ke rumah,” pelawanya.
“Insya Allah Lina. Hati-hati bawa kereta tu,”
“Yalah,”
Datin Salbiah mengeluh perlahan. Jari-jemarinya yang lincah mengubah jambangan bunga sedari tadi terhenti sejenak. Perbualannya dengan Puan Fazlina sebentar tadi membuatkan fikirannya melayang mengingati Nina.
Walau pun Nina jarang mendengar kata namun Datin Salbiah sedar, anak perempuannya itu tak seburuk yang difikirnya. Nina tetap terdidik dengan didikan yang baik dan tak kurang dalam berilmu agama.
Anak itu masih mendengar katanya dalam sesetengah perkara. Namun penampilan dan sikap kasar Nina benar-benar menyakitkan hatinya. Sebagai seorang ibu, dia ingin melihat Nina berubah. Berubah menjadi seorang wanita dalam erti kata sebenarnya.
Lamunan Datin Salbiah terhenti tatkala pintu kedai bunganya di tolak dari arah luar. Dia segera bangun. Mendapatkan pelanggan yang baru melangkah masuk. Untuk seketika bayangan Nina terbang meninggalkannya.


No comments:

Post a Comment