BAB 8
Cuaca panas terik tengah hari
itu. Tidak ramai manusia yang berkeliaran di kawasan perkarangan bangunan tinggi
bercat merah terang itu. Hanya kelihatan beberapa orang yang masih menanti
kenderaan awam untuk pulang ke tempat kerja masing-masing. Mungkin kerana waktu
rehat pejabat telah lama berlalu menyebabkan kawasan itu menjadi lengang buat
sementara waktu.
Puan Fazlina mengatur langkah
keluar dari bank. Sejumlah wang yang baru dikeluarkan di simpan kemas di dalam
beg tangan. Dibetulkan letak duduk selendang yang tersangkut di bahu kirinya.
Beg tangan berjenama terkenal berwarna putih keemasan yang berada di tangan di
genggam kemas. Diatur langkahnya satu persatu menuruni anak tangga.
Tiba di anak tangga terakhir,
dia menarik payung yang tersangkut di lengan kiri. Ingin melindung diri dari
suluhan matahari yang dirasakan menyengat kulit. Namun belum sempat dia menapak
turun, tiba-tiba dia terasa tubuhnya di tolak kuat dari arah belakang sebelum beg
tangannya di ragut seseorang. Hampir dia terjatuh namun tangannya sempat
berpaut pada besi yang terpasang di tepi tangga.
Serentak itu dia menjerit kuat.
Meminta tolong. Dia cuba mengejar namun kasut tumit tinggi yang tersarung di
kaki menyukarkan pengerakannya.
Belum sempat Puan Fazlina
menjerit untuk kali yang seterusnya, seorang lelaki yang berpakaian serba hitam
berlari melintasi tempatnya berdiri. Mengejar lelaki yang telah meragut beg
tangannya.
Tangan lelaki itu mencapai
kolar baju si peragut sebelum pantas di tariknya sekuat hati. Tindakannya
menyebabkan lelaki itu terjatuh tersungkur di tepi jalan. Dihayun penumbuk
sulungnya. Si peragut membalas. Mereka bergelut seketika. Dengan sekali
tendangan padu di perut, si peragut terhenyak ke tiang lampu. Bibir keringnya
pecah dan berdarah.
Belum sempat dihayun tendangan
seterusnya, dia segera bangun sebelum pantas melarikan diri. Anak muda yang bertopi keledar penuh itu hanya
memandang langkah si peragut hingga bayangannya hilang di celah-celah bangunan.
Dia tunduk mencapai beg tangan yang tercampak di pinggir jalan sebelum di hampiri
Puan Fazlina yang tergamam melihat adegan yang baru berlaku di depan matanya.
“Puan tak apa-apa ke?” soal
lelaki itu sebaik saja dia mendekati Puan Fazlina. Visor hitam yang menutupi muka ditolak ke atas. Puan Fazlina
mengelengkan kepalanya beberapa kali. Dia tersenyum sedikit.
“Makcik tak apa-apa nak. Terima
kasih kerana menolong makcik tadi,” suaranya kedengaran mengeletar. Masih
terkejut dengan kejadian yang baru berlaku.
“Terima kasih, nak.” Sekali
lagi dia bersuara.
Anak muda itu hanya mengangguk.
Sambil itu matanya mengerling beberapa kali ke arah jam di tangannya.
“Tak apalah, makcik. Saya minta
diri dulu ya. Saya ada hal ni. Lain kali hati-hati makcik. Kawasan ni memang
sarang peragut. Kalau nak pergi mana-mana bawalah teman,” ujar lelaki itu
seraya berlalu pantas tanpa sempat Puan Fazlina membalas kata.
Puan Fazlina yang
terpinga-pinga dengan tindakan anak muda itu hanya memandangnya berlalu pergi
sebelum perlahan-lahan mengukir senyuman.
Semoga Allah membalas segala kebaikan
kamu, nak, sempat hatinya berdoa kepada Allah untuk anak muda yang telah
membantunya. Dia bersyukur kerana tiada perkara buruk yang berlaku pada dirinya
mahupun anak muda itu.
Seketika Puan Fazlina teringat
pada kereta yang diparkir di seberang jalan. Pantas dia mengatur langkah
semula. Saat dia ingin berpusing, senyuman yang menghiasi bibirnya mati. Puan
Fazlina teringatkan sesuatu. Dek kerana tergamam dengan kejadian itu dia lupa
untuk menanyakan sesuatu pada anak yang muda yang telah membantunya sebentar
tadi. Dia lupa menanyakan nama anak muda itu.
“Habis tu, mak tak apa-apa ke?”
Kelam kabut Tengku Azhar menyoal sebaik saja Puan Fazlina selesai menceritakan
kejadian tengah hari tadi kepada ahli keluarganya malam itu.
Mereka yang lain memandang wajah
si ibu yang tersenyum tenang.
Puan Fazlina hanya mengeleng.
“Tak ada apa-apa yang buruk
yang berlaku pada mak. Cuma mama rasa terkilan, mama tak tahu pun nama anak
muda yang membantu mak tu,” suaranya kedengaran sebal. Masih terbayang raut
wajah anak muda itu di ruang matanya.
“Tak apalah mak, mungkin suatu
hari nanti mak dapat tahu juga,” pujuk Marlia yang duduk bersebelahan dengan
emak mertuanya.
“Anak muda yang bantu mak tu
lelaki ke perempuan?” soal Tengku Afzan yang berdiri di sebelah Tengku Anuar.
Mereka berdua baru saja selesai
berbincang berkenaan hal pejabat di bilik bacaan selepas makan malam tadi.
Kedua adik beradik itu melabuhkan punggung di sofa bertentangan Puan Fazlina.
“Entahlah Zan, mak pun tak
pasti. Nak kata lelaki, mukanya macam perempuan, bulu matanya pun panjang tapi
tak lentik. Hidungnya agak mancung tetapi kecil. Bibirnya merah benar. Tapi
suaranya garau, macam lelaki,” ujar Puan Fazlina.
“Agaknya budak yang tolong mak
tu pondan kot,” ujar Jannah sekadar meneka sekaligus meledakkan tawa semua.
“Hisy, awak ni Jannah,
takkanlah pondan pula. Kalau budak tu pondan, takkan dia boleh kejar peragut tu
sebegitu cepat,” ujar Tengku Azhar dengan sisa-sisa tawa yang masih ada.
“Eh, mana kita tahu bang. Dalam
keadaan yang cemas begitu, apa-apa pun boleh jadi,” balas Jannah sedikit tegas,
cuba mempertahankan pendapatnya.
“Kalau dia bukan pondan, boleh
jadi dia budak pengkid,” sahut Marlia.
“Pengkid itu apa Lia?” Tengku
Adnan yang sedari tadi hanya mendengar perbualan mereka menyampuk kata.
Surat khabar Sinar Haran di tangan
di letak atas ribaannya. Dia yang duduk bersandar di kerusi malas di hujung
ruang tamu memandang sejenak wajah menantu keduanya itu.
“Pengkid tu ayah, budak perempuan
yang perangai dan perwatakannya seperti lelaki,” balas Marlia
bersungguh-sungguh.
“Hisy, merepek aje awak ni Lia.
Ada pula ke situ jadinya.” Tengku Afzan menyanggah kata-kata isterinya.
“Eh abang tak tahu, pengkid tu
kadangkala lebih kuat dari lelaki sebenar tau,” beritahu Marlia.
“Dahlah tu, tak kiralah siapa
pun dia, yang penting dia telah membantu mak,” pantas Puan Fazlina menyampuk
kata. Tidak mahu lagi mendengar pertengkaran antara anak dan menantunya.
“Yang penting, mak dah selamat.
Apa pun mak harap sangat yang suatu hari nanti mak dapat berjumpa semula dengan
budak tu,” ujar Puan Fazlina lagi.
“Insya Allah ma, kalau mak
berniat baik, tentu Allah akan makbulkan permintaan mak tu,” sela Tengku Anuar
yang sedari tadi hanya mendiamkan diri.
“Betul kata Anuar tu mak. Mak
janganlah risau. Suatu hari nanti, mak pasti akan berjumpa semula dengan budak
tu. Cuma bila dan di mana saja kita tak boleh tentukan,” pujuk Tengku Afzan
menyokong kata-kata adiknya itu.
“Iyalah, mak pun harap sangat
yang mak akan bertemunya lagi suatu hari nanti. Mungkin pada orang lain perkara
seperti itu kecil tapi bagi mak, anak muda itu telah membuat amal kebajikan
yang besar kerana membantu mak mendapatkan kembali wang mak walau pun dia tak
kenal mak,” ujar Puan Fazlina perlahan. Namun dia sentiasa berdoa agar anak
muda itu sentiasa dirahmati Allah.
“Kau dari mana ni Nina?
Terkejut aku tengok kau. Macam pembunuh upahan aje pakaian kau ni.” Khalidah
bersuara sebaik ternampak kelibat Nina membuka pintu kondominium rumah.
Nina tidak menyahut. Dia
melangkah ke ruang tamu rumah. Topi keledar di tangan di letak di tepi meja
akuarium. Menghempas tubuh lampainya ke sofa. Mengadap Khalidah yang hanya
memandang gelagatnya. Ditarik nafasnya panjang.
“Kau dari mana Nina?” Khalidah
mengulang semula pertanyaannya bila Nina tidak menyahut. Ditatap lama wajah gadis itu. Ada keletihan
yang terpalit di situ.
Nina menarik nafas panjang
sebelum dihela perlahan. Memandang sekilas wajah sepupunya sebelum matanya ditutup
rapat.
“Aku dari Jalan Kenari. Ada
kereta rosak kat sana petang tadi,” lemah dia membalas.
“Kalau iya pun ada kereta yang
rosak, kenapa kau pakai macam ni. Meremang bulu tengkuk aku tengok kau. Seram,”
Khalidah mengosok-gosok lengan seraya mengeliatkan sedikit tubuhnya. Matanya
memandang tubuh Nina dari atas ke bawah berulang kali.
“Aku naik motor tadi. Malas nak
bawa kereta. Tahulah KL, petang je mesti sesak. Lagi pun aku pakai macam ni nak
bagi badan aku berpeluh. Taklah selalu sakit je,” balasnya.
Dialih posisi tubuhnya. Tubuh
yang bersandar dibaringkan ke sofa. Tangan kanannya diletak di dahi. Matanya
masih terpejam rapat.
Khalidah bangun mendapatkannya.
Dilabuh punggungnya bersebelahan gadis itu.
“Kau dah pergi klinik ke belum?
Rasanya dah hampir seminggu demam kau tu tak kebah-kebah,” nada suara Khalidah
kedengaran risau. Di raba dahi gadis itu. Agak panas.
Nina membuka matanya. Wajah
bimbang Khalidah dipandang sekilas. Dia mendengus kecil.
“Tak payahlah kau risau Idah.
Aku okey. Sikit je demam aku ni.” dia menyahut malas.
Nina kemudiann memalingkan
tubuhnya ke kiri. Diletak bantal kecil yang berada di sofa ke atas muka. Cuba
melelapkan mata.
“Okey apanya? Kalau suara kau
tu pun dah macam suara jantan je bunyinya,” balas Khalidah sedikit geram. Faham
dengan sikap keras kepala sepupunya.
“Dahlah Idah, janganlah kau
membebel lagi. Bertambah sakit aku yang mendengarnya,”
“Iyalah tu. Tiap kali aku bagi
nasihat, ada sajalah alasan kau tu. Sakitlah, nak matilah, menyampah aku,”
balas Khalidah geram.
Nina tertawa perlahan. Dipaling
semula tubuhnya mengadap Khalidah yang sudah menarik muncungnya. Dia tersenyum
kecil.
“Okeylah, aku minta maaf. Aku
bukan tak nak pergi klinik tapi aku tak ada masa. Aku sibuk sangat hari ni,”
ujarnya.
Dia sedar, sepupunya itu amat
mengambil berat tentang dirinya. Mungkin kerana Khalidah tidak mempunyai
saudara lain menyebabkannya begitu menyayangi Nina.
“Aku pun sibuk juga tapi tak
adalah sampai kesihatan sendiri pun diabaikan,” nada suara Khalidah masih
kedengaran merajuk.
“Okey, okey aku janji. Esok
pagi, sebelum subuh aku pergi klinik. Okey, puas hati?” dicuit perlahan dagu
gadis yang masih memasamkan mukanya.
“Sebelum subuh tu buat apa,
klinik tu pun tak buka lagi,” Khalidah mencubit kecil lengannya.
Nina tertawa kecil. Hilang rasa
sakit kepala yang menyerangnya tadi.
“Dahlah, malas aku nak layan
kau lagi. Tu, kat dapur tu aku dah masakkan lauk kegemaran kau tu. Pergilah
makan.”
Khalidah sudah bangun dari
duduknya. Menjeling sekilas wajah Nina. Dia mengatur langkah menuju ke bilik
tidur.
Nina yang memandang gelagat
Khalidah tersenyum kecil. Geli hatinya dengan sikap Khalidah yang kadang kala
manja dan keanak-anakan itu.
“Lagi satu, sebelum kau makan
tu, make sure kau mandi dulu, solat.
Lepas makan nanti, kau jangan lupa makan ubat sebelum tidur. Aku ada beli
panadol sebelum balik petang tadi. Ada kat atas meja makan tu.” Khalidah
bersuara lagi.
“Orait mum, nanti saya buat,” Nina membentuk isyarat okey dengan
jari jemarinya seraya tersengih nakal, sekadar mengusik gadis itu.
Geram dengan tingkah Nina,
Khalidah mencapai kusyen kecil yang terletak di hujung sofa sebelum
membalingnya ke arah Nina yang terkekeh ketawa. Nina yang telah maklum dengan
tindakan gadis itu segera mengelak. Dia menyambung tawa seraya mendudukkan diri
ke sofa.
Untuk seketika fikirannya
melayang mengingati kejadian yang berlaku tengah hari tadi. Wajah wanita yang
dibantunya di perkarangan bank kelihatan samar-samar di ruang matanya. Lamunannya
pecah tatkala telefon bimbitnya berbunyi. Pantas tangannya menarik keluar telefon
dari kocek seluar. Terdapat satu mesej yang terpapar di skrin telefon. Dari
Khalidah.
Dah, jangan
nak berangan lagi. Pergi mandi lekas.
Nina tertawa kecil. Tahu
Khalidah mencuri lihat tingkahnya dari celah pintu bilik tidur yang sedikit
terbuka. Dia tidak membalas. Telefon di tangan diselit semula ke poket seluar.
Tubuhnya digerak ke kiri dan kanan beberapa kali. Menghilangkan ketegangan urat
yang dirasakan berselirat di dalam tubuh sebelum dia bangun menuju ke biliknya.
No comments:
Post a Comment