Followers

Saturday, 5 October 2013

BAB 5 - BERSATU DALAM CINTA

BAB 5

“ASSALAMUALAIKUM.” Kedengaran suara seseorang memberi salam di muka pintu rumah banglo itu.
Gerakan Puan Ainun yang sejak tadi berada di dapur rumah bersama Wafi terhenti jadinya. Dia menyahut pantas apabila kedengaran sekali lagi salam dihulur seraya bergegas ke ruang tamu rumah. Sedikit kaget dia tatkala terpandang seorang wanita seusianya berdiri tegak di depan pintu rumah ketika ini.
“Maaflah kalau kedatangan tiba-tiba saya ni menganggu puan sekeluarga.” Puan Fatimah bersuara sebaik sahaja Puan Ainun mendapatkannya.
Dihulur tangannya pada Puan Ainun. Wanita itu pantas menyambut. Penuh mesra.
“Eh, tak adalah. Kami sekeluarga pun bukannya ada buat apa-apa pagi ni. Sekadar mengemas apa yang patut saja,” sahut Puan Ainun terkejut bercampur gembira dek kunjungan tetamu yang tidak dikenali itu.
“Jemputlah masuk. Takkan nak berdiri aje depan pintu tu,” pelawa Puan Ainun langsung ke sofa.
Puan Fatimah mengikut tingkahnya.
“Oh ya, ini sedikit buah tangan untuk puan sekeluarga,” ujar Puan Fatimah. Segera dihulurnya pada Puan Ainun. Lambat-lambat wanita itu menyambut.
“Buat susah-susah aje puan ni,” balas Puan Ainun sedikit terharu dengan kebaikan jiran yang baru beberapa minit dikenalinya itu.
Puan Fatimah tersenyum panjang.
“Panggil saja Kak Timah. Rasanya kamu lebih muda dari akak.”
“Terima kasihlah kak kerana sudi beri buah tangan pada kami. Nama saya Ainun. Panggil saja Ain,” ujar Puan Ainun sudah meletak punggung di sofa.
“Tak ada apa yang susahnya pun. Nama pun berjiran. Biasalah tu.”
Puan Fatimah turut berbuat demikian seraya meliar mata ke sekeliling ruang tamu rumah. Segala perabot dan barang perhiasan kelihatan kemas dan tersusun indah di tempatnya. Menyejukkan mata dia yang baru kali pertama menjejakkan kaki di ruang luas itu.
“Berapa orang tinggal dalam rumah ni?” soal Puan Fatimah kembali melekat mata pada Puan Ainun. Wanita itu tersenyum mesra.
“Kami tinggal tiga beranak aje. Saya, suami serta seorang anak perempuan,” ujar Puan Ainun ramah.
Puan Fatimah mengangguk lagi.
“Kamu suami isteri memang berasal dari sini ke?” Puan Fatimah mengorek tanya lagi. Sekadar ingin mengenali jiran barunya dengan lebih dekat.
“Sebenarnya kak, saya dan suami baru saja balik menetap ke Malaysia ni. Sebelum ni kami tinggal di Morocco. Suami saya bekerja kat sana sebagai pegawai diplomat. Jadi bila dah datang waktu bersara begini, kami ambil keputusan untuk balik ke Malaysia. Seorang anak lelaki kami masih tinggal di sana bersama anak-anak dan isterinya. Dia ada membuka perniagaan di sana. Rumah ni pun dia yang tolong pilihkan untuk kami anak-beranak,” cerita Puan Ainun serba sedikit.
“Oh begitu rupanya. Patutlah perhiasan dalam rumah kamu ni pun lain benar rupanya. Lebih banyak barangan buatan luar negara,” puji Puan Fatimah baru faham kini.
“Mahu tak banyak barang buatan luar negara kat rumah ni kak. Kebanyakan barang-barang ni kami tak beli tapi dihadiahkan oleh kawan-kawan semasa kami tinggal di luar negara dulu. Jadi dari di simpan saja dalam stor, ada baiknya kalau dijadikan perhiasan rumah. Sekurang-kurangnya bolehlah juga dijadikan kenang-kenangan dari sana,” beritahu Puan Ainun.
Puan Fatimah terus mengangguk laju. Setuju dengan kata-kata wanita itu.
Dia terkaku seketika tatkala terpandang kelibat seorang gadis melangkah masuk ke ruang tamu bersama sedulang minuman. Begitu sopan dan lemah-lembut dia menghidangnya di atas meja berdepan kedua-dua wanita itu. Dengan senyuman kecil di bibir, gadis berkerudung hitam itu bersuara. Perlahan lagi lembut.
“Jemput minum mak cik,” pelawanya seraya menghulur tangan. Menyalami tangan Puan Fatimah sebelum segera menghilang dari situ secepat mungkin.
Gadis itu berlalu ke ruang dapur tanpa menoleh semula ke belakang. Langsung tidak menyedari pandangan kaku Puan Fatimah terhadapnya. Tidak berkelip mata wanita itu memandangnya. Terpegun dengan kecantikan dan kelembutan semula jadi gadis itu.
“Jemput minum kak.” Pelawaan Puan Ainun menyentak pandangannya.
Puan Fatimah mengangguk laju. Sedangkan mata masih berada di arah sama biarpun kelibat gadis itu telah lama hilang dari situ.
“Siapa tu Ain?” soal Puan Fatimah membuang mata pada Puan Ainun. Terpancar jelas rasa ingin tahu di raut wajahnya.
Puan Ainun tersenyum sedikit.
“Itulah anak perempuan saya. Namanya Lailatul Wafi tapi kami panggil Wafi aje. Satu-satunya anak perempuan yang saya dan suami ada.” Sedikit sayu dia bersuara biarpun kesayuan itu tidak dapat ditangkap tetamunya ketika ini.
Puan Fatimah mengangguk lagi.
“Cantik orangnya. Dia kerja apa?” Laju saja mulutnya meluah soalan. Wajah cantik gadis itu kembali terbayang di mindanya.
“Dia bekerja sebagai pereka dalaman tapi dari rumah sajalah. Dia tak berminat untuk bekerja di mana-mana syarikat. Sambil-sambil tu dia melukis,” sahut Puan Ainun serba ringkas.
Sedar dengan maksud pertanyaan wanita itu berkenaan anak gadisnya. Namun dia tidak mahu terlalu awal membuat penilaian. Apatah lagi pada seseorang yang baru beberapa minit dikenalinya. Biar masa saja yang menentukan segalanya, bisik hatinya.
Kepala Puan Fatimah mengangguk lagi. Biarpun hatinya begitu melonjak ingin mengetahui lebih banyak perkara berkaitan Wafi, namun rasa itu ditahan sebaiknya. Bimbang pula pertanyaan-pertanyaan lain menimbulkan rasa curiga pada jiran yang baru diketahui serba sedikit latar belakangnya. Apatah lagi dia yakin.
Masih ada banyak lagi masa buatnya mengorek dengan lebih dalam setiap perkara berkenaan gadis yang telah berjaya mencuri hatinya itu. Nantilah, sampai masa aku akan tahu jugak pasal budak Wafi, dalam diam Puan Fatimah memujuk hatinya sendiri.
“Eh, kenapa tengok saja air tu kak? Jemputlah minum. Jamahlah jugak kuih tu. Wafi yang buat,” ujar Puan Ainun mempelawa buat kali kedua.
“Ya... ya...” Laju saja Puan Fatimah menyahut seraya mencapai cawannya. Mindanya masih sibuk memikirkan sesuatu berkenaan Wafi ketika ini. Hatinya berbunga riang.

PANDANGANNYA dilontar ke luar kedai kopitiam. Tidak lama wajahnya dipaling semula ke depan. Melekat tepat pada Faris sebelum jatuh pada Ainul pula di sisi lelaki itu.
“Kau ni kenapa Ainul? Dari kita datang sampailah dah habis secawan kopi kita minum, muka kau masam aje. Apa yang tak kenanya ni?” soal Isma masih meletak mata di wajah lelaki itu. Hairan sebenarnya dengan tingkah Ainul ketika ini. Jarang benar lelaki seusianya dan Faris itu mempamerkan sikap begitu.
“Aku tengah tension ni tahu tak?” Sambil menyandar tubuh di kerusi, Ainul membalas. Sedikit tegang sepertimana yang terlukis di raut wajahnya.
Dipaling sejenak matanya ke sekeliling. Memerhati sekitar kedai kopitiam tempat mereka bertiga berada petang itu. Suasananya kelihatan lengang biarpun hari itu merupakan hari minggu. Menjadikan mereka bertiga dan pengunjung lain bebas berbual sesama sendiri tanpa sebarang gangguan.
“Kau tension pasal apa pulak Ainul? Pasal kerja ke?” Faris turut membuang mata ke wajah lelaki itu. Sedang jari-jemarinya dibiar berlari-lari di bibir cawan kopinya yang telah lama kosong.
“Pasal kerja tu taklah sangat tapi pasal ayah aku tulah.” Ainul menjawab lemah. Satu keluhan turut terikut keluar dari celah bibir merahnya. Tanda dia tidak merokok sebagaimana kedua-dua sahabat baiknya itu.
“Ayah kau? Kenapa dengan ayah kau?” Pertanyaan Isma mengundang keluhan Ainul kesekian kalinya.
“Entah apa mimpi ayah aku tu pun tak tahulah. Tiba-tiba aje dia nak buat projek kerjasama dengan bekas ayah mentua aku tu,” terangnya lambat-lambat.
“Jadi apa masalahnya?” tanya Faris pula.
“Masalahnya, aku yang kena handle projek tu nanti,” jelas ada rasa marah dalam nada suara Ainul.
“Lah... apa salahnya kalau kau handle projek tu pun? Macamlah selama ni kau tak pernah handle projek kerjasama ayah dan bekas ayah mentua kau tu.” Isma menyahut pantas. Dia masih tidak dapat menangkap maksud sebenar kata-kata lelaki itu.
“Memanglah aku dah biasa handle projek dia orang sebelum ni tapi kali ni lain,” balas Ainul agak keras seraya mengetap seketika bibir bawahnya.
“Lain? Apa yang lainnya?” Pertanyaan Faris dibalas dengan rengusan halus Ainul. Turut tidak faham dengan maksud tingkah yang ditunjukkan Ainul ketika ini.
“Aku kena handle projek tu dengan Alia,” sahutnya lambat-lambat penuh geram. Langsung mencetuskan senyuman lebar kedua-dua sahabat baiknya.
“Ooo... sebab lepas ni kau akan tengok muka cantik Alia, lah yang buatkan muka kau masam mengalahkan buah asam ni ya? Aku ingatkan pasal apalah tadi. Kalau aku tahu kau kena menghadap muka dia tak lama lagi, dah lama aku suruh mak aku buat pulut kuning sikit untuk kau. Tanda kesyukuran.”
Usikan Faris dibalas dengan jelingan tajam Ainul. Isma pula terus-terusan menguntum senyuman lebar. Turut terkesan dengan usikan Faris.
“Kau ni Ainul. Apa salahnya kalau kau handle projek tu dengan Alia pun? Kau orang berdua bukannya ada apa-apa pertalian lagi kan? Rasanya setakat nak jumpa isteri kau untuk berbincang tentang kerja tak menjadi masalah besar buat kau. So kenapa kau susah hati sampai macam ni sekali pulak?” ujar Faris masih mengulum senyuman. Lebih kepada menyindir sebenarnya.
Excuse me, bukan isteri aku ya tapi bekas isteri aku.” Cepat saja Ainul membetulkan kata-kata lelaki itu. Perkataan ‘bekas’ itu ditekan keras. Dia merengus halus.
“Masalahnya sekarang, aku tak nak jumpa dia. Jauh sekali nak menghadap muka perempuan perasan bagus tu. Buat sakit hati aku aje,” sambungnya marah.
“Perasan bagus ke tidak si Alia tu, kau tetap akan jumpa dengan dia jugak Ainul. Bukan sebab kau orang bukan lagi suami isteri tapi kau sendiri pun tahu, kan? Keluarga kau dengan keluarga dia dah macam adik-beradik. Tak pernahnya berpisah jauh.
Ayah kau dan ayah dia dah berkawan baik sejak sebelum Abang Ammar Haidar kau tu wujud dalam dunia ni lagi. Senang cakap pertalian antara kelurga kau orang berdua dah terjalin sejak turun-temurun lagi. So, mahu tak mahu kau tetap kena jumpa dia juga tak kira apa berlaku walaupun kau tak suka.” Isma pula bersuara panjang lebar.
“Tapi aku tak mahu tengok muka dia lagi Is. Meluat aku nak jumpa perempuan tak guna tu lagi. Hati aku ni, masih lagi sakit sampai sekarang dek angkara dia. Jangan kata nak bekerja sekali, nak sebut nama dia pun aku dah meluat yang amat. Dasar perempuan tak guna begitulah. Hidup menyusahkan orang aje.”
Cemuhan Ainul begitu menyala-nyala biarpun hakikatnya kata-kata itu tidak datang dari dalam hati. Sekadar terluah dari rasa marah bercampur ego yang membukit.
“Tak guna macam mana sekalipun si Alia tu kau gilakan dia jugak dulu sampai nak berpisah seminit pun tak sanggup,” ucap Faris begitu perlahan.
Hanya cukup untuk pendengarannya namun dapat ditangkap telinga Isma tetapi tidak Ainul. Menjadikan senyuman Isma semakin melebar. Geli hati dengan kata-kata selamba lelaki itu.
Sedangkan Ainul sudah mengerut dahi. Pelik lagi tak faham melihat tingkah kedua-dua lelaki itu ketika ini.
“Apa kau kata Ris?” soalnya terpinga-pinga. Memandang Faris yang laju saja menggeleng.
“Tak ada apa-apa. Aku kata, daripada kita melepak kat sini aje, apa kata kalau kita jalan-jalan? Boringlah buang masa hujung minggu begini kat kedai kopi aje,” cadang Faris sambil tangannya memanggil pelayan seraya meminta bil.
Ainul hanya merengus halus sebelum kembali menegak tubuh. Langsung tidak perasan, Isma di depannya masih menguntum senyuman serupa seraya menggeleng perlahan. Geli hati melihat tingkah kedua-dua sahabatnya di kala itu.

“JEMPUT minum Mia,” pelawa Mimi terus menyorong secawan kopi panas pada Damia.
Gadis itu menyambut seraya mengucap terima kasih.
“Kamu dari mana ni?” soal wanita itu memandang tepat wajah adik iparnya.
“Dari mana lagi kak kalau bukan dari rumah sewalah. Saja Mia datang ke sini nak berbual dengan abang,” ujar Damia mencicip sedikit minumannya.
“Oh ya kak, mana mak dan ayah? Dia orang keluar ke?” Damia melilau mata seketika ke sekeliling ruang anjung rumah orang tuanya.
“Mak dan ayah keluar dari awal petang tadi Mia. Katanya nak ke rumah kawan ayah tapi tak pulak dia orang bagitahu kawan yang mana,” beritahu Mimi.
“Hah Mia, dah lama kamu sampai?” pertanyaan itu mengangkat wajah Damia yang baru berkira-kira ingin mengangkat cawannya buat kali kedua.
Segera dia bangun seraya menyalami abangnya. Lelaki itu baru melangkah turun dari tingkat atas usai menunaikan Solat Asar. Dilabuh punggungnya di depan gadis itu.
“Baru aje sampai bang,” ujar Damia kembali meletak punggung di kerusi.
“Hmm... tak apalah Mia, kamu berbuallah dengan abang kamu. Akak ke dapur dulu ya. Nak sediakan bahan memasak untuk makan malam nanti. Oh ya, kamu makan malam kat sini ya Mia? Akak masak lebih sikit malam ni,” ujar Mimi terus meminta diri. Tahu ada sesuatu yang ingin dibicarakan kedua-dua beradik itu.
Damia hanya mengangguk kecil. Matanya memandang sekilas kakak iparnya sebelum kembali melekat mata pada Khuzairi.
“Abang, sebenarnya ada sesuatu yang Mia nak tanyakan pada abang.”
Damia kembali meluah suara sebaik saja kelibat Mimi hilang dari pandangan. Bulat matanya melekap di wajah abangnya yang sudah menghirup kopi kegemarannya. Menjadikan pandangan lelaki itu terus berkalih padanya.
“Mia nak tanya pasal apa?” tanya Khuzairi telah menyandar tubuh di sofa.
Lama mata Khuzairi diletak ke wajah itu. Wajah yang mengingatkan dia pada adik kandungnya yang telah lama pergi meninggalkan mereka beberapa tahun lalu.
“Begini bang. Sebenarnya tujuan Mia datang berjumpa dengan abang ni sebab Mia nak tanya abang pasal kemalangan yang menimpa arwah Kamilia dulu tu. Tak elok pulak rasanya kalau Mia tanya pasal hal ni depan mak ayah. Apa pulak kata dia orang kalau Mia ungkit hal ni depan dia orang. Tak pasal-pasal menangis pula dia orang nanti. Kebetulan dia orang tak ada sekarang jadi bolehlah Mia cakap dengan abang pasal hal ni.” Damia terus memberitahu maksud kepulangannya ke rumah orang tua mereka petang itu.
Khuzairi mengangguk kecil.
“Abang faham pasal mak ayah kita tu tapi kenapa tiba-tiba saja Mia nak tahu pasal kemalangan tu?” Ada nada hairan dalam suara tenang abangnya itu.
“Macam ni ajelah bang. Biar Mia cakap terus-terang aje dengan abang.” Damia membetulkan kedudukannya. Duduk bersila lalu kembali menyambung bicara.
“Sebenarnya kan bang, Mia rasa pelik dengan cara kematian Kamilia tu. Bukannya apa, bila Mia fikirkan balik tentang kemalangan tu Mia rasa macam ada yang tak kena aje. Jadi Mia ambil keputusan nak buka kes ni semula. Itupun tanpa pengetahuan mak dan ayah.” Kata-kata bersahajanya berjaya membulatkan mata Khuzairi.
“Apa? Mia nak buka kes ni semula? Tapi boleh ke Mia buat begitu?” soal Khuzairi benar-benar terkejut dengan kata-kata gadis itu.
Damia mengangguk laju.
“Apa pulak tak bolehnya bang tapi sebelum tu Mia kena mintak izin dari waris terdekat Kamilia, iaitu suami Kamilia untuk benarkan Mia buka semula kes ni. Itupun kalau dia setuju tapi Mia tak peduli sangatlah pasal tu. Sama ada dia setuju atau tidak Mia tetap akan buka kes ni.” Penuh bersemangat Damia memberitahu cadangannya. Hingga terkepal-kepal telapak tangannya beberapa kali.
Khuzairi diam sebentar.
“Abang tak fikir Isma takkan izinkan tapi pasti dia ingin tahu sebab-musabab Mia nak buka semula kes ni. Kalau sebab yang Mia bagi tu masuk di akal, insya-ALLAH Isma pasti takkan menolak,” sahut Khuzairi selepas itu. Menatap wajah terpinga-pinga gadis itu. Pelik dengan kata-kata abangnya.
“Isma tu siapa pulak bang? Apa kena-mengena dia dengan Kamilia pula?”
Damia menggaru-garu kepala tak gatalnya. Benar-benar tak tahu status Isma di sisi arwah sepupunya. Lalu mengundang senyuman lebar Khuzairi. Geli hati dengan pertanyaan gadis itu.
“Isma tu suami pada arwah Kamilialah dik oii. Takkan itu pun Mia tak tahu,” ujar Khuzairi tertawa kecil seraya menggeleng.
Damia dengan muka selamba hanya mengangguk seraya bersuara, “Ooo... jadi suami Kamilia tu namanya Isma? Mia ingatkan namanya Zulkarnain sebab arwah Kamilia pernah bagitahu Zulkarnain itu nama suaminya. Manalah Mia tahu nama sebenarnya Isma.” Lurus dia memberitahu.
“Zulkarnain tu pun betul jugak. Nama penuhnya Isma Zulkarnain. Kami panggilnya Isma tapi arwah Kamilia panggil dia Zul sebab dia kata dia tak mahu panggil suaminya dengan nama yang dah digunakan orang lain,” terang Khuzairi.
Kepala Damia mengangguk semula. Baru mengerti duduk perkara sebenar. Dia tersengih panjang.
“Mengada-ngada jugak si Kamilia tu ya. Panggil sajalah suaminya tu dengan nama yang sama macam orang lain panggil. Buat menyusahkan orang aje.” Sempat Damia merungut sebelum menyoal abangnya semula. Sedikit serius.
“Abang tahu tak bagaimana Kamilia boleh terlibat dalam kemalangan tu? Betul ke dia ditimpa kemalangan atau sebenarnya dia meninggal atas sebab lain?” Matanya dipasak semula ke wajah tenang lelaki itu. Khuzairi melepas nafas.
“Mengikut laporan polis, kejadian itu berlaku disebabkan kereta yang dipandu oleh arwah hilang kawalan dan merempuh penghadang jalan sebelum jatuh ke bawah bukit. Hasil pemeriksaan doktor pula mengatakan Kamilia meninggal dunia di tempat kejadian kerana terperangkap di dalam kereta dan terhidu banyak asap tebal,” cerita abangnya serba ringkas.
Damia terdiam sejenak. Ligat mindanya mencerna kata-kata lelaki itu ketika ini.
“Kamu tahu Mia. Entah mengapa abang rasa arwah Kamilia meninggal bukan kerana kemalangan tu tapi kerana dia mati dibunuh.”
Buat kali kedua Damia tersentak. Lebih kuat dari tadi. Wajah tenang Khuzairi dipandang lagi.
“Kenapa pulak abang fikir begitu?” Laju saja dia bertanya.
“Sepertimana yang kamu fikir selama ini, abang jugak fikirkan perkara yang sama. Abang yakin, dia mati bukan kerana kemalangan jalan raya itu tapi kerana dia dibunuh.
Sebabnya abang pun rasa pelik dengan cara kematian Kamilia tu. Tapi abang tak tahu sebab apa dia dibunuh, dan siapa yang melakukannya. Mereka rancang pembunuhan itu dengan cukup baik hingga tak ada siapa pun dapat ketahui sebab utamanya,” jelas kelihatan Khuzairi begitu yakin dengan telahannya hingga terserlah di raut wajah tenangnya.
Damia terdiam semula. Keyakinan Khuzairi membuatkan hatinya semakin kuat mengatakan andaiannya sebelum ini adalah benar dan tepat. Ternyata Khuzairi juga bersependapat dengannya. Arwah Kamilia tidak meninggal kerana kemalangan tapi mati dibunuh, hatinya berbisik perlahan.
“Mia, boleh abang tahu kenapa kamu rasa pelik dengan cara kematian Kamilia?” Khuzairi kembali membuka bicara antara mereka tidak lama kemudian. Wajah serius adik perempuannya ditatap buat kesekian kali.
“Sebenarnya bang, Mia rasa pelik bila dapat tahu Kamilia meninggal dunia setelah terlibat dalam kemalangan. Mia boleh terima kalau ketika kereta yang dipandu Kamilia tu dilanggar kenderaan lain ataupun arwah yang melanggar orang.
Tapi macam mana Mia nak percaya Kamilia meninggal kerana kerosakan brek keretanya sedangkan Mia faham benar dengan sikap Kamilia. Dia takkan sesekali memandu kereta yang ada sebarang kerosakan. Malah Kamilia akan lakukan pemeriksaan setiap kali dia nak keluar memandu. Jangan kata kereta, kalau dia nak tunggang basikal pun dia tetap akan buat macam tu jugak.
Jadi bagaimana seseorang yang begitu cermat dan berhati-hati seperti Kamilia boleh cuai dengan tiba-tiba sedangkan dari kecil lagi dia bersikap begitu dalam setiap perkara yang dilakukannya? Mia betul-betul tak boleh terima keadaan tu bang, Mia tak boleh terima.” Damia benar-benar menolak kenyataan itu. Digeleng kepalanya sekali dua. Sedikit kesal.
“Apapun bang, Mia dah tekad. Mia akan buka semula kes ni. Mia nak orang yang merancang pembunuhan Kamilia tu dibawa ke tali gantung. Mia tak peduli. Mia akan lakukan yang terbaik untuk menuntut pengadilan buat sepupu Mia nanti.” Penuh azam Damia bersuara lagi. Benar-benar ingin mengotakan janjinya.
“Mia, kenapa baru sekarang kamu nak buka kes ni? Kenapa kamu tak lakukannya ketika kes ni hangat diperkatakan beberapa tahun dulu?” Pertanyaan tiba-tiba Khuzairi menyentak Damia. Segera dia membalas pandangan tenang lelaki itu.
Kemudian gadis itu melepas nafas panjang seraya menyelak rambut panjangnya sekali.
“Mia tak dapat lakukannya pada waktu tu bang kerana Mia mempunyai banyak sebab yang menghalang Mia dari berbuat demikian. Ketika kejadian tu berlaku, Mia tak ada di Malaysia dan Mia tak boleh pulang disebabkan Mia ada peperiksaan penting waktu tu. Masa Mia dapat berita pemergian Kamilia, Mia rasa dunia Mia kelam. Mia tak ada daya untuk bangkit. Hampir seminggu Mia tak makan dan berkurung diri.
Mia rasa Mia hanya berseorangan dalam dunia ni ketika tu. Mia tak dapat terima kenyataan yang satu-satunya saudara perempuan kesayangan Mia telah pergi tinggalkan Mia selama-lamanya. Mia terlalu sedih waktu tu.” Ada air mata yang menakung di kelopak matanya tatkala meluah kata-kata itu. Pantas saja Damia menyeka.
“Tapi lama-kelamaan Mia sedar. Tak guna Mia tangisi pemergian Kamilia begitu saja. Mia perlu cekal untuk terima kenyataan ini. Setiap kali Mia menatap gambar arwah, hati Mia tidak tenang. Mia tahu, ada sesuatu yang berlaku pada arwah pada hari kemalangan itu. Rasa tu membuatkan Mia bertekad untuk membuka semula kes ini. Tapi bukan pada waktu yang terdekat sebab Mia masih mempunyai tanggungjawab lain yang perlu Mia lakukan waktu tu. Dan sekarang Mia sudah bersedia sepenuhnya untuk memberi pengadilan pada Kamilia.
Lagipun pada Mia sekaranglah waktu yang paling sesuai untuk Mia buka semula kes ni memandangkan kes ni telah lama hilang dari ingatan penjenayah yang merancang pembunuhan Kamilia tu. Pasti mereka takkan menyangka yang kes ini akan dibuka semula selepas beberapa tahun berlalu dan ini akan memudahkan Mia melakukan penyiasatan dalam diam.” Suaranya kembali tenang. Bersalut tegas dan penuh semangat.
Khuzairi mengangguk laju. Mengerti sepenuhnya kini.
“Jadi apa yang Mia nak buat sekarang?” tanya Khuzairi masih meletak mata di wajah itu.
“Sekarang ni, Mia nak mintak tolong dari abang. Abang kan businessman. Pasti abang ada ramai kenalan. Dalam ramai-ramai kenalan abang tu, pasti ada seorang dua dari dia orang tu bekerja di Jabatan Siasatan Jenayah. Kalau boleh Mia nak abang kenalkan dia orang pada Mia. Mana tahu ada yang boleh membantu Mia melakukan siasatan berhubung kes ni nanti,” jelas Damia penuh harap.
Damia tersenyum panjang bila Khuzairi pantas mengangguk.
“Tentang tu, kamu jangan risau. Abang boleh tolong uruskan. Kebetulan ada seorang kawan baik abang bekerja sebagai anggota polis. Nanti abang kenalkan kawan abang tu pada Mia.”
“Terima kasih bang. Oh ya, Mia nak mintak tolong abang satu perkara lagi.”
“Apa dia?” Damia terdiam sejenak sebelum kembali bersuara.
“Kalau boleh Mia nak mintak abang rahsiakan perkara ni dari pengetahuan sesiapa terutamanya mak dan ayah kita. Mia tak mahu mereka fikir yang bukan-bukan dan susah hati bila dapat tahu Mia buka semula kes ni nanti.”
Permintaan Damia dibalas dengan anggukan kecil Khuzairi. Faham.
“Jadi bila Mia nak bagitahu tentang perkara ni pada Isma?” soalnya memandang wajah tercengang gadis itu.
“Isma? Siapa pulak Isma tu?” Buat kali kedua Damia terlupa dengan kedudukan lelaki itu biarpun baru sebentar tadi mereka berbicara tentangnya. Menyebabkan Khuzairi tersenyum serta-merta seraya menggeleng semula.
“Mia ni, cepat benar lupanya. Bukankah Isma tu suaminya Kamilia? Yang kamu panggil Zulkarnain tu?”
Menjadi kerja Khuzairi pula mengingatkan gadis itu tentang perkara itu. Dia tersenyum lagi bila Damia pantas menepuk dahi sendiri setelah berfikir seketika.
“Ya tak ya jugakkan. Terlupa pula Mia pasal tu. Isma dan Zulkarnain tu bukankah orang yang sama? Maklumlah, Mia mana pernah jumpa dia selama ni.” Dia tersengih kecil.
“Abang fikir bila patut Mia jumpa dengan dia?” soalnya sekadar ingin mengetahui pendapat lelaki yang begitu dihormatinya selain dari Encik Khalid itu.
“Abang fikir eloklah kalau Mia bagitahu dia dalam masa terdekat ni. Bukannya apa, kalau ada apa-apa yang Mia perlukan sepanjang Mia kendalikan kes ni nanti, Mia boleh rujuk atau minta pendapat dia. Manalah tahu dengan cara itu Mia boleh kurangkan kesedihan Isma walau tak sebanyak mana.” Kata-kata Khuzairi mengundang kerutan di dahi gadis itu.
“Kurangkan kesedihan Isma? Maksud abang?” tanyanya tak faham.
Khuzairi tersenyum lagi. Sedikit tawar.
“Mia tak tahu. Kalau Mia fikir mak dan ayah adalah orang yang paling sedih selepas pemergian Kamilia, Mia memang silap. Sejak pemergian Kamilia, Isma menjadi orang yang paling bersedih berbanding mereka yang lain. Dia tak pernah lagi segembira dulu. Dari luar tampak seakan dia gembira dengan apa yang ada di sekelilingnya tapi hakikatnya dia benar-benar terluka dengan kehilangan Kamilia.
Walaupun mereka berkahwin atas pilihan keluarga tapi Isma begitu sayangkan Kamilia. Dah lapan tahun arwah pergi tinggalkan kita semua tapi Isma masih tak dapat lupakan dia. Dia tetap cintakan Kamilia seperti dulu.
Sebab tulah abang rasa kalau Mia buka semula kes ni, Mia dapat kurangkan kesedihan Isma walau tak seberapa. Sekurang-kurangnya dia akan tahu siapa pembunuh sebenar arwah isterinya. Sekali gus membuatkan dia tahu yang isterinya bukan mati kerana kemalangan sepertimana yang difikirkannya selama ni,” terang lelaki itu perlahan.
“Jadi maknanya Isma tak pernah terfikirlah yang kemalangan yang menimpa arwah Kamilia tu sebenarnya dirancang dan bukannya satu kebetulan?” Soalan Damia dibalas dengan anggukan kecil Khuzairi.
“Isma terima saja semua keputusan berkaitan dengan kes ni dengan hati yang redha. Dia langsung tak terfikir kemungkinan-kemungkinan lain yang boleh dikaitkan dengan pemergian Kamilia. Tak mustahil dia akan terkejut bila Mia beritahu andaian kita ni pada dia nanti.” Suaranya lagi.
Damia menghela nafasnya perlahan.

“Apapun bang, Mia akan cuba buat yang terbaik untuk kes ni nanti. Mia akan pastikan segala andaian kita ni benar dan tepat semata-mata. Biarlah apapun orang nak kata tapi Mia tetap dengan keputusan Mia untuk membuka semula kes ni. Asal hati Mia puas dan Kamilia mendapat pengadilannya, itu dah cukup untuk menenangkan hati Mia semula sebagaimana dulu.” Suaranya kembali pada pangkal bicara mereka. Penuh azam. 

No comments:

Post a Comment