Followers

Saturday, 5 October 2013

BAB 21 - KEJORAKU BERSATU

BAB 21

So, macam mana dengan keadaan tanah tu? Jadi tak kau beli?” Airil meletak gelas yang telah kosong ke atas meja. Dia bersama Tengku Anuar dan William baru saja selesai makan tengah hari di sebuah restoran di Jalan Ampang.
“Alhamdulillah, aku cukup puas hati dengan kawasan tanah tu. Sangat puas hati,” suara Tengku Anuar kedengaran gembira. “Beruntunglah kau Anuar, dapat tanah kat kawasan sebegitu. Dahlah sejuk, cantik pula pemandangannya,” William turut bersuara kata. “Apa perancangan kau selepas dapat tanah tu nanti?” Airil menyoal lagi setelah mereka bertiga terdiam seketika.
“Aku rasa aku nak ubah suai sedikit garaj rumah tu. Nak besarkan lagi ruang tempat letak kereta. Selain tu, aku nak cat semula dinding luar dan dalam rumah. Biar nampak lebih berseri dari yang warna yang sedia ada. Tentang ladang strawberi tu, aku serahkan pada abang Haikal untuk cari orang kendalikannya. Kalau boleh, aku nak orang yang sama yang kendalikan ladang tu sebelum aku ambil alih,”
“Nampaknya, tak lama lagi cik Anuar kita jadi tauke buah strawberi lah pula,” Usikan William memecah tawa ketiga-tiga lelaki itu. “Ala Wie, kita juga yang beruntung nanti. Tak payah nak bazirkan duit beli buah strawberi lagi. Pergi je ke ladang Anuar tu. Makanlah sebanyak mana kita suka pun. Fresh lagi tu,” sambut Airil tertawa kecil.
“Oh ya, aku dengar ayah kau ke Tasik Kenyir. Bila dia nak balik?” soal William memesong butir bicara.  “Rasanya mungkin sehari dua lagi,” sahut Tengku Anuar tenang.
“Dah lama benar dia merancang nak pergi memancing tu tapi asyik tertangguh saja. Banyak sangat kerja yang perlu diselesaikannya. Ini dia pergi pun sebab aku dah ada untuk bantu dia di pejabat. Bolehlah dia berehat sikit,”
“Eloklah tu. Ayah kau tu pun bukannya makin muda. Memang patut pun dia berehat. Dah terlalu banyak masanya di habiskan untuk membangunkan syarikat tu. Sekarang ni, giliran kaulah pula untuk membantunya,” ujar William.
Tengku Anuar mengangguk kecil. “Memang itu pun niat aku sekarang Wie. Aku nak bantu dia menguruskan syarikat ini sebaiknya. Kalau boleh, aku nak kembangkan syarikat ini hingga ke peringkat antarabangsa,” sambutnya bersemangat. Giliran William mengangguk kepala. “Kau tak minat memancing ke Nuar?” dia kembali membangkitkan persoalan memancing tadi.
Sorrylah, bab memancing ni aku memang tak minat. Lagi pun manalah aku pandai memancing-mancing ni,” sahut Tengku Anuar perlahan.
“Kau ni Wie, macam tak tahu pula perangai Anuar ni. Dia mana tahu memancing ikan yang hidup kat air tu. Memancing ikan darat tu bolehlah ya,” Airil menyampuk kata. Dia tersenyum nakal. Dikenyit matanya sekali. Mengelegak tawa ketiga-tiga lelaki itu.
“Isy kau ni, bila masanya aku pancing ikan darat? Pandai-pandailah aje kau ni,” Tengku Anuar  masih mengorak senyum.
“Eleh, tak nak mengaku. Bukan main ramai lagi perempuan sekeliling pinggang kau masa kita kat universiti dulu. Semua bangsa ada. Mengalahkan artis antarabangsa,”
“Ala, semua tu kawan biasa je. Lagipun bukan aku yang mengurat dia orang, dia orang nak kawan dengan aku. So, aku terima sajalah,” balasnya bersahaja.
“Anuar, bagaimana hubungan kau dengan perempuan tu sekarang?” William kembali mengutara soalan. Matanya menjamah seketika wajah tenang pemuda itu.
“Hei, perempuan mana pula ni? Sejak bila kau ada teman wanita ni Anuar? Kau tak cakap kat aku pun,” soal Airil bertubi-tubi. Sedikit terpinga dengan pertanyaan lelaki Inggeris itu.
“Ala, perempuan yang langgar kereta Anuar hari tu lah Ril,” balas William cepat. “Apa nama dia Nuar? Nina ya?” soalnya memandang wajah lelaki itu. Tengku Anuar mengangguk kecil.
“Tak ada istimewanya hubungan aku dengan dia tu Wie. Kami baru saja berkenalan. Itu pun sebab kebetulan aku singgah ke bengkel tu nak baiki kereta. Tak pula aku tahu yang bengkel itu kepunyaan dia,”
“Wah, hebat juga perempuan tu ya Nuar, ada bengkel kereta sendiri. Tak sangka aku,” ujar William kagum. “Kau dah jatuh cinta pada dia ke Nuar?” soal Airil lembut.
“Apa maksud kau?” soal Tengku Anuar mengerut dahi. Kurang mengerti.
“Aku dapat rasakan yang kau tu dah jatuh cinta pada budak perempuan tu,” sambil mengukir senyuman lebar Airil menyahut perlahan. Matanya menyoroti wajah Tengku Anuar yang mula bertukar rona. Sedikit memerah. “Kenapa kau kata begitu pula?” soal William pula.
“Wie, kau bukan tak kenal dengan cik Anuar kita ni. Selalunya dia bukan pandang sangat dengan mana-mana perempuan yang nak berkenalan dengan dia. Tapi dengan budak perempuan tu bukan main lagi dia renung hari tu. Macam nak telan,” ujar Airil lagi. Masih memandang Tengku Anuar yang makin memerah wajahnya. Sedikit malu kerana tindakannya disedari.
“Alah Ril, kau tak payah nak kata pada Anuar. Kau tu pun apa kurangnya, pandang budak perempuan yang duduk kat belakang kereta Kembara tu macam nak juling mata. Aku yang tengok ni pun meremang bulu roma di buat kau tau,” bidas William turut tersenyum lebar.
Giliran Airil tersengih malu. “Mana adalah Wie. Kau ni, pandai-pandai ajelah,” balasnya sedikit segan.
“Ala, tak payah kau nak mengelak Ril. Kalau benar pun kau sukakan budak tu, apa salahnya. Aku pun tumpang gembira,” ujar William lagi. “Jadi betullah kata Airil tadi?” Dikalih wajahnya ke arah Tengku Anuar yang kembali mempamerkan wajah tenang.
“Apa yang betulnya?” Tengku Anuar sedikit terpinga.
“Jadi betullah kau dah jatuh cinta dengan budak Nina tu?” William kembali mengulang pertanyaannya. Tengku Anuar menghela nafas panjang. Digeleng kepalanya perlahan.
“Entahlah Wie, aku pun tak tahu sama ada aku dah jatuh cinta pada dia atau tak. Tapi aku tak nafikan yang aku selesa berkawan dengannya,”
“Yalah, mula mula kawan, lepas tu kahwinlah,” tingkah Airil mengulum senyum.
“Perkara tu bukan semudah yang kau fikirkan Ril. Entah dia dah ada boyfriend ke tidak, mana kita tahu,”
“Ala, yang berkahwin pun boleh bercerai berai, inikan pula yang baru bercinta,”
“Isy kau ni. Tak baik runtuhkan hubungan orang,” sanggah Tengku Anuar cepat. “Aku tak mahu dia terima aku dalam keadaan terpaksa. Kalau boleh aku nak dia terima diri aku seikhlas hati seperti mana aku ikhlas berkawan dengannya,”

“Kalau macam tu, kau kena siasatlah sama ada dia dah ada boyfriend atau belum,” sampuk William memberi sokongan. “Nanti-nanti sajalah. Aku dengan Nina pun baru saja kenal. Takkan aku nak terus tanya tentang hal tu pada dia,” balas Tengku Anuar. Dibelek jam di tangannya.  “Dahlah, malas aku nak cakap tentang hal ni lagi. Jom balik pejabat,” ujarnya seraya menolak kerusi. Airil dan William hanya mengangguk. 

No comments:

Post a Comment