Followers

Saturday, 5 October 2013

BAB 19 - KEJORAKU BERSATU


BAB 19



“Ayah mana mak? Dari pagi tadi tak nampak pun,” soal Tengku Anuar sebaik saja memijak lantai dapur rumah.
Kot yang di sangkut pada lengan di letak ke kerusi. Melabuh punggungnya bersebelahan Puan Fazlina. Tangannya mencapai sekeping biskut coklat yang berada di dalam balang kaca di depannya. Di hala ke mulut sebelum digigit sedikit.
Puan Fazlina yang hanya memerhati tingkah Tengku Anuar tersenyum kecil.
“Ayah kamu ke Tasik Kenyir dua tiga hari ni, nak memancing katanya,” ujar Puan Fazlina sambil tangannya ligat mengupas kulit bawang besar.
 Tengku Anuar mengangkat sedikit kedua-dua keningnya. Hairan.
“Ayah pergi Tasik Kenyir? Pergi dengan siapa ma?” soal Tengku Anuar.
Biskut di tangan di gigit lagi. Memandang wajah Puan Fazlina yang tenang membalas pandangannya.
“Dengan siapa lagi kalau tak dengan pakcik Nasir kamu tulah. Shahrul pun ikut sekali,” beritahu Puan Fazlina.
Di pandang seketika wajah Tengku Anuar yang lahap mengunyah biskut.
“Yang kamu ni dari mana? Kemas saja mama tengok. Baru balik dari dating ya?” usik Puan Fazlina tersenyum kecil.
Tersedak Tengku Anuar mendengar usikan emaknya. Pantas tangannya mencapai air sirap sejuk yang sedia terhidang di meja. Diteguknya rakus.
“Hisy, mak ni. Tak adalah,” sangkal Tengku Anuar sebaik saja air di dalam mulut di tolak masuk ke tekak.
“Saya ke pejabat pagi tadi. Siap aje kerja terus pergi baiki kereta. Agak teruk jugak keadaan kereta tu,” ujarnya membalas kata.
Puan Fazlina mendengus lembut.
“Mak ingatkan kamu pergi jumpa dengan bakal menantu mama tadi,” ujarnya perlahan, sedikit kecewa telahannya salah.
Tengku Anuar mengukir senyuman.
“Mak ni, tak ada perkara lain yang difikirkannya, asyik fikir nak menantu aje. Bukankah mak dah ada dua orang menantu perempuan, tak cukup lagi ke mak?” soalnya lembut.
“Itu lain, dia orang tu isteri abang-abang kamu. Yang mama nak sekarang ni, isteri kamu,” tingkah Puan Fazlina.
Tengku Anuar tidak menyahut. Dia kembali meneguk air.
Melihat si anak berdiam diri, Puan Fazlina kembali menyambung kata.
“Mak bukannya apa Nuar, mama harap sangat yang kamu akan berkahwin. Tak kisahlah siapa pun dia, kaya ke tidak, cantik ke hodoh, yang penting dia benar-benar menyayangi kamu dan dapat menjaga makan minum, sakit pening kamu nanti,” ujar Puan Fazlina lembut.
Sememangnya dari dulu lagi dia tidak gemar untuk mencampuri urusan setiap anak dalam bab mencari pasangan hidup. Dia lebih suka membiarkan kesemua anaknya menentukan jodoh mereka sendiri. Namun baginya, menjadi tanggungjawabnya sebagi seorang emak untuk memastikan anak-anaknya mendapat pasangan yang terbaik yang mampu membahagiakan mereka.
Tengku Anuar tersenyum lagi. Gelas di tangan diletak semula ke meja. Disandar tubuhnya ke kerusi kayu itu. Matanya memandang tingkah emaknya yang kini sibuk memotong sayur di depannya.
“Lagi pun bila kamu dah kahwin nanti, mama takkan risau lagi tentang kamu. Tak adalah kamu nak balik ke Amerika tu lagi,” ujar Puan Fazlina bersungguh-sungguh.
“Oh, jadi mama nak suruh saya kahwin ni sebab risau saya balik ke sana semula lah ya?” ujar Tengku Anuar menyeringai.
Melihat wajah Puan Fazlina yang lambat-lambat menganggukkan kepalanya membuatkan senyuman lelaki itu semakin melebar.
“Mak janganlah bimbang tentang hal tu. Memang saya berniat untuk menetap terus di Malaysia. Saya akan terus tinggal kat sini. Cuma bab kahwin ni, tunggulah dulu. Masih banyak lagi perkara yang perlu saya lakukan buat masa sekarang,” ujar Tengku Anuar lembut.
“Itu mak tahu Nuar, tapi tak salahkan kalau kamu buat dua perkara dalam satu masa. Bak kata pepatah, sambil menyelam kita minum air,” ujar Puan Fazlina berkias kata.
Tengku Anuar kembali melebarkan senyuman.
“Salah tu memanglah tidak mak, tapi mama kena ingat jugak. Salah-salah menyelam, kita tenggelam terus tak timbul,” ujarnya dalam nada bergurau.
Puan Fazlina mendengus kecil. Sedikit geram mendengar jawapan anaknya itu.
“Pandai-pandailah kamu menyelam, jangan menyelam tempat yang dalam sangat. Cari kat tempat-tempat yang cetek sudahlah,” tingkahnya.
“Mak, kalau nak cari yang terbaik, kenalah cari kat tempat yang dalam. Kalau setakat kat tempat cetek tu, tak payah selam, sauk aje mak. Iya tak Mak Limah?”
Tengku Anuar tergelak dengan kata-katanya sendiri. Di kenyit sekali mata kanannya pada pembantu rumah yang sedari tadi hanya mengulum senyum mendengar perbualan kedua beranak itu. Tawanya semakin kuat apabila si emak mencubit kecil lengan sasanya.
“Hisy kamu ni. Malaslah mak nak cakap dengan kamu lagi. Mama cakap betul-betul dia main-main pula. Daripada melayan kamu bercakap lebih baik mama memasak. Ada juga faedahnya,” omel Puan Fazlina sedikit geram.
Puan Fazlina bingkas bangun dan dibawa bersama sayur yang telah dipotong tadi. Mak Limah yang duduk di hujung meja turut bangun membantunya.
Tengku Anuar yang hanya memandang kelakuan emaknya tersenyum geli hati. Dia tahu, Puan Fazlina benar-benar berharap dia akan berkahwin dalam masa terdekat ini. Bilangan umurnya yang telah mencecah awal tiga puluhan itu juga menambahkan lagi harapan Puan Fazlina. Namun dia sedar, dia tidak mampu untuk menunaikan hasrat si ibu buat masa ini. Masih ada banyak perkara yang perlu dilakukannya sebelum dia berumah tangga.
Dan salah satu perkara yang harus dilakukannya adalah mencari calon isteri untuk dirinya sendiri. Satu perkara yang tidak pernah dilakukannya sedari dulu. Kesibukan menimba ilmu dan mencari pengalaman bekerja di negara orang menyebabkan dia tidak terfikir untuk melakukan perkara nan satu itu.
Kerana itu bila Puan Fazlina memintanya berumah tangga di waktu ini dia bingung sendiri. Mustahil dia mampu membuat perkara itu dalam masa yang singkat. Dari mana dia boleh perolehinya?
Tiba-tiba bayangan Nina yang ditemuinya pagi tadi menjelma di ruangan mata. Tengku Anuar terleka seketika. Terbayang semula perbualannya bersama gadis yang berperwatakan seperti lelaki itu. Hatinya menyenangi kesederhanaan yang terdapat pada gadis itu.
 Setiap patah dan tutur kata yang diluah gadis itu bagaikan satu irama indah yang bergema di ruang telinganya. Beralun lembut dan begitu mengasyikkan. Dia benar-benar terpesona dengan sikap yang ditonjolkan gadis itu.
Tanpa sedar Tengku Anuar tersenyum sendiri. Tepukan lembut di bahu mematikan lamuannnya.
“Dah, tak payah nak di fikirkan sangat tentang kerja kamu tu. Pergi naik atas, tukar baju. Kejap lagi kita makan sama-sama,” arah Puan Fazlina tanpa mengetahui apa yang berkeliaran di fikiran si anak.
Tengku Anuar yang sedikit tersentak dengan teguran lembut si ibu hanya tersenyum mengangguk sebelum bangun melangkah menuju ke tingkat atas.

“Hah anak bertuah, dah malam-malam begini baru nampak muka kamu,” sergah Datin Salbiah sebaik terlihat batang tubuh Nina di ruang tamu kondominium itu.
Nina yang tunduk membuka kasut sedikit tergamam mendengar sergahan itu. Dia memaling wajah. Mengadap Datin Salbiah yang duduk memeluk tubuh di sofa. Ada riak terkejut yang terpamer di wajah lesunya. Perlahan dia menghampiri Datin Salbiah yang merenungnya tajam. Dicapai tangan mamanya sebelum dikucup lembut.
“Dah lama mama sampai?” soal Nina penuh hormat. Direbah tubuhnya ke atas sofa. Tidak jauh dari Datin Salbiah.
“Kamu dari mana ni Nina? Dah malam-malam begini baru sampai rumah? Tak tahu nak duduk kat rumah langsung.”
Soalan anaknya tidak dijawab sebaliknya Datin Salbiah pula menyembur kata. Wajah anak perempuannya dipandang lagi. Geram.
Nina mendengus lembut.
“Saya dari bengkel ma. Ramai pelanggan yang datang hari ni, sebab tu lewat saya balik,” ujar Nina seraya menghembus nafas kecil.
“Iyalah tu. Ada saja alasan kamu. Dah tengah malam begini pun takkan ada pelanggan lagi. Siapa yang sanggup nak tunggu kat bengkel buruk kamu tu lama-lama,” leter Datin Salbiah lagi.
Nina bingkas bangun. Melangkah ke arah dapur rumah yang terletak bersebelahan ruang tamu rumah. Datin Salbiah turut bangun membuntutinya.
“Orang lain pun kerja jugak Na tapi tak macam kamu sampai langsung tak ada masa untuk diri sendiri. Cuba tengok pakaian kamu, ni!” ujar Datin Salbiah sambil memegang seluar jeans Nina yang sedikit koyak.
Nina hanya dia. Malas untuk berkata.
“Ya Rabbi, mana seluar kamu kutip ni Nina?”  
Nina tidak sedikit pun menghiraukan kata-kata mamanya. Dibuka pintu peti sejuk yang tertutup rapat. Ditarik keluar sebotol air limau yang terdapat di adalam peti itu. Di tuang ke dalam gelas sebelum diteguknya rakus.
Datin Salbiah mengeleng perlahan-lahan.
“Apalah nak jadi dengan kamu ni Na, pening mama tengok sikap kamu ni. Bila agaknya kamu nak berubah,” keluhnya.
“Cuba kamu tengok si Idah tu,” ujar Datin Salbiah menuding jarinya ke arah Khalidah yang kebetulan keluar dari biliknya.
“Kan elok kamu berpakaian macam dia. Sopan, kemas, sejuk mata orang yang memandang,” ujar Datin Salbiah lagi.
Nina memandang wajah Datin Salbiah sebelum melontar mata ke arah Khalidah sekilas. Dia mengeluh perlahan.
“Mama, saya tak nak jadi hipokrit mama. Hanya kerana nak jaga hati orang lain, saya terpaksa berpakaian macam perempuan lain. Ini adalah diri saya dan beginilah saya ma,” ujarnya lembut.
“Ayah mana ma? Mama datang seorang aje ke?” soal Nina menukar topik perbualan. Malas menyambung pertengkaran mereka.
“Ayah kamu ke Tasik Kenyir dengan Tengku Adnan. Along kamu pun ikut sama,” balas Datin Salbiah sedikit kasar. Rasa geram masih berbuku di hati.
“Habis tu, Kak Mariya mana?” Nina menyoal lagi.
“Dia balik ke rumah maknya dengan anak-anaknya sekali. Ada hal katanya.”
Nina mengangguk perlahan.  
“Berapa lama ayah kat sana?”
“Adalah dua tiga hari,” acuh tak acuh Datin Salbiah menjawab.
Hatinya masih sakit dengan sikap si anak yang tidak mahu mendengar katanya.
“Dua tiga hari?”
“Haah,” jawab Datin Salbiah kasar. “Yang kamu tersengih macam kerang busuk tu kenapa?” jerkah Datin Salbiah bila terpandang Nina menyeringai ke arahnya.
“Tak ada apalah ma,” balas Nina lemah.
Memandang sekilas wajah mamanya sebelum menunduk kepala perlahan. Datin Salbiah merengus kasar. Seakan mengetahui apa yang tersirat di fikiran si anak dia kembali bersuara.
“Tak payahlah kamu buat muka seposen kamu tu. Malam ni aje mama tidur sini. Esok pagi Kak Mariya kamu datang ambil mama. Nak harapkan kamu balik rumah, huh, agaknya runtuh langit pun belum tentu nak nampak batang hidung kamu tu.”
Nina yang mendengar kata-kata Datin Salbiah hanya tersenyum kelat. Rasa bersalah menyerang hatinya. Bukannya dia tidak suka dengan kehadiran Datin Salbiah di rumahnya namun telinganya bagaikan ingin koyak setiap kali bersua muka dengan mamanya. Tidak tahan dengan leteran wanita itu.
“Mama bukannya apa Nina, mama tak suka tengok kamu berpakaian macam ni. Dahlah tak senonoh, kusut masai pula tu. Bawa-bawalah berpakaian sopan sikit,” ujar Datin Salbiah kembali kepada bicara asalnya.
“Ni pun dah kira bersopan lah mama. Saya bukannya pakai baju yang nampak pusat pun, dedah lengan pun tidak. Cuma tak bertudung macam si Idah dan Ikin tu aje.” Nina membalas perlahan. “Mama bukan kira bertudung ke tidak. Yang pentingnya pakaian kamu kelihatan senonoh macam anak dara lain. Ini tidak, siang malam dengan t-shirt dan seluar jeans buruk kamu tu. Pakaian macam ni kamu kata sopan? Apa dah buta ke mata kamu tu?” suara Datin Salbiah meninggi lagi.
“Dah nama pun kerja kat bengkel ma, takkan nak pakai baju kurung pula masa buat kerja,” seloroh Nina. Bosan dengan leteran Datin Salbiah.
“Hah, itulah ajelah jawapan kamu. Bukannya siang malam kamu kerja kat bengkel tu. Sekali sekala pakailah baju lain. Ini tidak, hari cuti pun kamu pakai baju yang sama, hari bekerja tak payah katalah,” sahut Datin Salbiah geram.
Nina tidak menyahut. Sisa-sisa air limau yang masih berbaki di dalam gelas di tuang ke ruang tekak.
“Ikut suka, kamulah Na, malas mama nak tegur lagi, lagi banyak mama tegur, lagi sakit hati mama dibuatnya,” tingkah Datin Salbiah bila di lihat Nina hanya mendiamkan diri.
“Tu, mama dah sediakan nasi kat atas meja tu. Jangan kamu tak makan pulak.”
Dijeling sekilas wajah si anak sebelum berlalu ke bilik tamu yang ada di rumah itu. Membawa bersama gumpalan marah di hati.
Khalidah yang sedari tadi berdiri di sudut dapur memasang telinga mendengar perbualan kedua-dua beranak tu hanya tersenyum kecil saat Datin Salbiah melintasinya. Dia kembali berpaling mengadap Nina yang turut memandangnya. Mereka berpandangan seketika.
“Dah lama ke mama aku sampai?” soal Nina sedikit lemah. Memandang sekilas gelas kosong di tangannya.
“Dari petang tadi,” ujar Khalidah lembut.
Nina mengeluh perlahan.
“Apasal kau tak call beritahu aku?”
“Aku dah call tapi tak dapat. Sand cakap kau sibuk sangat,” ujar Khalidah seraya tersengih. Rasa bersalah menjentik hatinya.

Kedengaran Nina mengeluh lagi. 

No comments:

Post a Comment