Followers

Saturday, 5 October 2013

BAB 3 - BERSATU DALAM CINTA

BAB 3

DAH dua tiga hari jugak dia orang pindah masuk tapi sampai ke hari ni tak nampak pun bayang orangnya.” Puan Fatimah bersuara sedikit merungut seraya memanjang leher ke pagar tepi rumah.
Lama matanya memandang halaman rumah jiran sebelah yang kelihatan kosong dan sunyi. Mencari tanda-tanda andai ada kelibat jiran barunya akan kelihatan. Namun tetap hampa. Waktu ini dia dan ahli keluarganya berada di halaman rumah. Bersarapan bersama Riya sekeluarga yang berkunjung ke rumah orang tuanya pagi hujung minggu itu.
“ALLAH... yang awak nak sibuk ambil tahu hal jiran tetangga tu kenapa Mah? Biarlah dia orang buat apapun. Itu kan rumah dia orang. Suka hati dia oranglah nak keluar dari rumah ke tidak.”
Sambil menatap Surat Khabar Sinar Harian di tangan, Encik Rais menegur lembut si isteri. Kurang senang dengan tingkah wanita itu yang baginya seakan menjaga tepi kain orang itu.
“Bukanlah begitu bang. Kita nikan hidup berjiran? Sedikit sebanyak kita kenalah ambil tahu juga pasal jiran tetangga ni. Esok-esok senang kita nak minta tolong kalau terjadi apa-apa nanti,” marah Puan Fatimah bila mendengar jawapan Encik Rais.
Seolah-olah sikap ambil tahunya itu buruk benar di mata suaminya. Sedang si suami sudah tidak terkata apa-apa. Malas nak menyahut sebenarnya.
“Ada orang baru pindah masuk ke rumah sebelah kita ni ke mak?” Riya terus menghumban soalan.
Wajah tegang emaknya ditatap lama. Tidak mahu pertengkaran kecil orang tuanya terus berlarutan. Sambil itu tangannya masih laju menyuap makan anak bongsu dia yang berusia dua tahun di sisinya.
“Haah. Adalah dalam dua tiga hari begitu tapi sampai sekarang mak tak nampak bayang seorang manusia pun kat situ,” ujar Puan Fatimah terus mengalih mata pada anak perempuannya. Bersuara seakan merungut.
“Agaknya dia orang masih sibuk mengemaslah tu mak. Nama pun baru pindah, banyaklah kerja yang nak dibuat pun,” sampuk Salman, menantu lelakinya. Dia turut sama menikmati sarapan bersama keluarga mentuanya ketika ini.
“Kalau iya pun nak mengemas, keluar-keluarlah kejap ke laman rumah. Boleh jugaklah kita berkenalan walau setakat berbalas senyuman saja pun. Ini tidak, siang malam berkunci aje pintu rumahnya tu sampai apa pun tak nampak.” Puan Fatimah merungut lagi hingga termuncung-muncung bibirnya. Benar-benar tidak suka dengan sikap jiran baru yang sehingga kini belum dilihat gerangan dirinya.
“Yang mak merungut ni kenapa? Rumah dia orang, suka hati dia oranglah nak buat apapun. Nak buka pintu ke, nak tutup pintu ke, tak nak letak pintu ke, bukannya ada kena-mengena dengan kita pun.”
Faris mula menambah bara di hati panas Puan Fatimah. Rimas dengan sikap ingin tahu emaknya yang kelihatan begitu ketara di pandangannya. Menyakitkan matanya yang tidak suka wanita itu bersikap demikian sejak dulu. Sekali gus membuatkan sepasang mata bulat Puan Fatimah terus terjojol bulat ke arahnya.
“Kamu ni Ris, betullah hidup tak serupa dengan orang lain. Mak bukannya apa. Dah lama benar rumah arwah Pak Cik Sulaiman kamu tu kosong macam tu aje. Jangan kata rumah dia, rumah-rumah lain kat sekeliling rumah kita ni pun sama jugak gayanya. Nampak saja macam ada orang tapi jarang benar tuan-tuannya nak duduk menetap kat rumah sendiri. Sampai kadang-kdang mak rasa keluarga kita aje yang ada kat kawasan perumahan ni. Jadi bila dah ada jiran ni, nak jugaklah mak berkenalan.
Manalah tahu kalau-kalau boleh dibuat kawan. Ada jugaklah teman mak nak berbual di waktu lapang. Ini tidak, mak sorang-sorang aje kat dalam rumah ni bila kamu dan ayah kamu pergi kerja. Nak harapkan kamu bawa balik menantu untuk temankan mak, huh. Jangan kata rupa, bayangnya pun tak nampak-nampak dari dulu,” marah Puan Fatimah sempat menyindir anak lelakinya.
Faris terus merengus halus. Benar-benar tak senang dengan kata-kata terakhir wanita itu. Wajah masam mencuka emaknya dijeling seimbas.
“Mak tu mulalah tu. Tak pasal-pasal hal tu jugak yang nak diungkit keluarnya pun,” rungut Faris perlahan. Lalu lambat-lambat dia menyambung suapannya.
“Kenapa? Salah ke kalau mak cakap macam tu? Kamu tu pun bukannya masih muda. Dah lebih dari 30 tahun pun. Saja tak nak kahwin. Tengok macam adik kamu, si Riya ni. Dah tiga orang pun anak dia. Kamu jangan kata anak, girlfriend pun kamu tak ada. Entah bila kamu nak bawa balik isteri ke rumah kita ni pun tak tahulah. Jauh sekalilah nak tengok anak-anak kamu.”
Tanpa sedar Puan Fatimah sudah terkeluar topik. Membebel panjang sekali gus membingitkan telinga Faris yang serta-merta mati seleranya. Namun keadaan itu mengundang tawa halus mereka yang lain. Masing-masing mengulum senyuman tatkala terpandang wajah kelat masam Faris.
“Mak ni, janganlah nak ungkit-ungkit pasal hal tu. Kesianlah kat Ris sama mak. Ris cuti hari ni sebab nak rehatkan otak dan badan. Bukan nak pasang telinga dengar ceramah tak best mak tu.” Dalam nada perlahan dia merungut lembut.
Benar-benar tidak selesa dengan bebelan Puan Fatimah. Sempat matanya menjeling tajam Salman dan Riya yang terus-terus tersenyum lebar melihat gelagat kedua beranak itu. Tak pasal-pasal aku pula yang kena bebel, hatinya menyumpah sendiri. Dia merengus lagi.
“Mak bukan membebel tapi mak cuma menegur anak lelaki mak yang seorang ni. Tapi memang betulkan cakap mak tu? Bila masa lagi kamu nak berumah tangga kalau bukan sekarang ni Faris oii? Dah lama mak tunggu kamu bawa balik menantu ke rumah kita ni. Bukan sehari dua atau sebulan dua mak tunggu tapi dah makan masa bertahun-tahun pun. Hasilnya, tengoklah. Tak nampak juga batang hidungnya sampai ke hari ni. Patutnya kamu yang kesiankan nasib mak kamu ni, bukannya minta mak yang kesiankan kamu.” Jelingan Puan Fatimah singgah lagi ke wajah kelat masam anaknya.
Faris tidak menyahut. Dengan wajah yang kembali diukir selamba dia terus mengunyah sarapannya tanpa sepatah kata. Seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku sebentar tadi.
“Oh ya mak. Jiran yang baru pindah ke rumah sebelah tu bangsa apa? Orang Inggeris macam arwah Pak Cik Sulaiman tu jugak ke?” soal Salman.
Sengaja dia mengubah arah bicara mereka. Kasihan melihatkan keadaan abang ipar kesayangan yang terus-terusan disembur emak mentuanya.
Puan Fatimah menggeleng cepat.
“Taklah. Setahu mak jiran baru kita tu orang Melayu. Dengar-dengarnya baru balik dari luar negara tapi tak tahulah betul ke tak. Nantilah, kalau ada masa nak jugak mak pergi melawat dia orang. Tapi tulah, macam mana mak nak pergi kalau tak pernahnya dia orang buka pintu rumah tu,” ujar wanita itu sudah merungut kembali.
Sedangkan wajah Faris sudah tertoleh-toleh ke halaman rumah jiran barunya. Hampa lagi hati Puan Fatimah bila keadaannya tetap sama. Sunyi sepi tanpa sebarang suara.
“Alah, tak payahlah awak kisahkan sangat pasal dia orang buka pintu tu ke tak. Esok-esok dia orang buka jugalah pintu rumah tu. Takkanlah seumur hidup nak berkurung aje dalam rumah besar begitu.” Encik Rais kembali mencelah suara.
Surat khabar yang telah selesai dibaca dilipat kemas sebelum diletak ke tepi meja. Dicapai pinggan sarapannya. Mula menjamah setelah sepotong doa dibaca.
“Eh, mana kita tahu dia orang akan buka pintu rumah ke tak bang oii. Dibuatnya dia orang tu jenis yang tak suka bercampur gaul dengan orang luar, kita jugak yang rugi nanti.” Pantas saja Puan Fatimah menyangkal kata-kata suaminya.
“Kita nak rugi apanya mak kalau dia orang tu jenis yang tak bercampur dengan orang? Dia orang tu pun bukannya ada sebarang tali persaudaraan dengan kita sampai kita kena ambil tahu pasal dia orang.” Buat kali kedua Faris menyampuk kata. Terluah bersama rengusan kasarnya. Kepalanya ikut menggeleng beberapa kali.
“Eh, rugilah kita kalau kita tak ambil tahu pasal jiran tetangga ni Ris oii. Manalah tahu dia orang tu ada anak dara yang belum disunting orang. Bolehlah juga kamu usha dia nanti. Mak jugak yang beruntung sebab dapat menantu perempuan idaman mak tak lama lepas ni.
Sudahlah tu, dekat lagi. Sebelah rumah aje. Senanglah mak nak pergi menjenguk kalau jadi apa-apa. Taklah mak kena tunggu kamu bawa dia balik ke rumah kita ni beberapa kurun lagikan?”
Kata-kata selamba Puan Fatimah itu menyebabkan tawa mereka yang lain terus tercetus. Lebih kuat dari tadi.
Ternyata wanita itu masih tidak lupa tentang perkara itu. Sedang Faris kembali menarik muka masam bergaul kelat. Lebih masam dari sebelumnya. Bengang dengan sindiran lembut Puan Fatimah.

“ADUH, migrain kepala aku dibuatnya. Migrain! Migrain!” keluh Ainul kuat.
Dia menghempas kasar fail di tangan ke atas meja. Dihenyak tubuhnya ke kerusi. Sedang jari-jemari kasarnya telah lama terlekat di dahi. Dipicit-picit bahagian kepala yang dirasakan berdenyut laju ketika ini.
Ketukan di muka pintu bilik membuatkan dia berpaling sejenak. Tajam saja matanya memandang Lily melenggang masuk bersama secawan kopi.
“Ini dia kopi yang Encik Ainul nak tu. Jemput minum Encik,” pelawa wanita itu penuh sopan lalu meletak cawan kopi di depan lelaki itu.
Ainul hanya mengangguk tanpa menyahut. Dia masih seperti tadi. Menyandar tubuh seraya memicit kepalanya berulang kali.
“Semacam aje saya tengok keadaan Encik Ainul ni. Encik Ainul sakit kepala ya? Kalau Encik Ainul nak, saya boleh ambilkan ubat.” Sedikit bimbang wanita berbangsa Kadazan itu bersuara. Memandang Ainul yang kembali merengus halus.
“Saya bukan sakit kepala Lily tapi sakit hati.”
Dia terus mencapai cawan kopi. Menghirup air panas berasap tipis tu sedikit demi sedikit. Cuba menikmati minuman hitam pekat kegemarannya biarpun tekak seakan tidak dapat menerima buat masa ini.
Kening Lily sudah berkerut. Wajah tegang ketuanya dipandang lama.
“Sakit hati? Kenapa pulak tiba-tiba saja Encik Ainul sakit hati? Ada apa-apa yang tak kena ke?” Lily benar-benar ingin tahu keadaan yang dialami ketuanya ketika ini.
“Bukan tak kena Lily, memang dah kena pun. Hati saya ni sakit tahu. Sakit sangat. Jangan kata sakit, bengkak, geram, marah, bengang. Pendek kata semua rasa sekalilah ada. Hisy!” Dia merengus lagi. Penuh marah.
Tangannya tidak lagi melekat di kepala sebaliknya beralih ke fail di depannya pula. Cuba membaca isi kandungannya meskipun tiada rasa di hati untuk berbuat demikian. Tidak lama kemudian, fail itu dicampak ke tepi. Bosan.
“Kenapa pulak Encik Ainul cakap macam tu? Siapa pulak yang dah kenakan Encik Ainul?” Ternyata Lily langsung tak kisah dengan tingkah yang dipamer lelaki itu.
Lebih lapan tahun bekerja dengan Ainul membuatkan dia cukup mengerti dengan sikap lelaki yang muda beberapa tahun darinya itu. Biarpun Ainul mudah panas hati namun mudah juga sikap itu hilang tidak lama selepas itu. Malah lelaki itu tidak silu meminta maaf andai dia yang melakukan kesilapan. Sikap yang disenangi oleh sesiapa saja yang mengenalinya.
“Siapa lagi kalau bukan ayah saya tulah Lily. Ada ke patut dia mintak saya handle projek kerjasama dengan syarikat bekas ayah mentua saya tu? Kalau dengan anak perempuan sulung dia ke atau dengan bekas ayah mentua saya tu okey lagilah. Ini tak, disuruhnya saya bekerja dengan anak perempuan bongsu Ayah Zali yang perasan bagus tu. Mahu tak berangin saya dibuatnya,” ujar Ainul terus-terus merengus.
Dia benar-benar tidak dapat menerima permintaan yang lebih kepada arahan itu. Arahan yang tidak boleh dikata tidak sama sekali. Senang cerita mahu atau tidak dia perlu menerimanya. Lily terus mengulum senyuman.
“Oh, pasal tu rupanya. Saya ingatkan pasal apalah tadi. Jadi maksudnya, Encik Ainul kena bekerjasama dengan Puan Alia lah lepas ni ya?” Sengaja Lily menambah bara di hati lelaki itu. Sekadar mengusik lelaki yang telah dianggap seperti adik kandung sendiri.
“Kalau pasal tu saya rasa elok kalau Encik Ainul ikut saja kehendak Encik Azmi tu. Tak susah mana pun nak tunaikan arahan dia.” Suaranya terus memekarkan senyum.
Ainul pula sudah membeliak mata.
What? Tak susah kata awak? Hei awak tahu Lily, saya lebih rela handle berpuluh projek dalam satu masa daripada nak handle satu projek dengan perempuan tu tau. Buat sakit hati aje tengok muka perempuan perasan bagus tu,” luahnya penuh geram. Dijeling sekilas Lily yang telah terhambur tawa kecilnya.
“Hisy, tak baik Encik Ainul cakap macam tu. Puan Alia tu bukanlah seteruk yang Encik Ainul fikirkan. Malah sikap Puan Alia seribu kali lebih baik daripada perempuan-perempuan lain yang pernah buat projek kerjasama dengan Encik Ainul selama ni. Cuma tulah, Puan Alia tu tegas sikit orangnya tapi manja.” Sempat Lily memuji wanita yang telah lama dikenalinya itu.
Menjadikan mata Ainul terus-terusan mencerlung tajam padanya.
“Amboi Lily, awak backing dia nampak? Apa awak sukalah kalau saya bekerja semula dengan perempuan tu?” soalnya marah.
“Eh, apa pulak tak suka. Mestilah saya suka. Lagi suka kalau Encik Ainul dan Puan Alia berbaik semula. Manalah tahukan, jodoh Encik Ainul dengan dia masih kuat, bolehlah Encik Ainul dan Puan Alia menjadi suami isteri semula. Saya pun bolehlah merasa nasi minyak Encik Ainul suami isteri buat kali kedua.”
Lily terus tersengih panjang tatkala terpandang wajah Ainul sudah bertukar merah menyala.
“Awak nikan Lily, betullah tak sayang mulut. Apa awak teringin nak makan fail ni ke hah? Nanti orang lain kenyang makan nasi, awak kenyang makan semua fail kat meja saya ni,” marahnya semakin tinggi.
Setinggi rasa sakit yang masih menggigit hatinya ketika ini.
Andai dia seekor anakonda, sudah lama rasanya dia menelan bulat-bulat tubuh kecil molek wanita itu tanda marah. Biar Lily tahu betapa tingginya suhu kepanasan yang mendidih dalam darahnya ketika ini. Sedang Lily pula hanya mengulum senyuman melihat tingkah ketuanya. Sedar lelaki itu benar-benar tidak suka dengan usikan itu.
“Mati hidup balik pun kami takkan berbaik semula. Biarlah apa jadi sekalipun, antara saya dengan dia dah tak ada jalan hubungnya lagi. Berpatah arang, berkerat rotan jadinya tahu tak?” sambung Ainul kembali mengendur suara.
Sempat dia menjeling Lily lagi sebelum fail di depannya diselak semula. Sekadar menyelak tanpa ada minat untuk membaca. Jauh sekali menyemak intipatinya.
Lily menjongket kening kanannya sedikit. Dia tersenyum lagi.
Well, itu kata Encik Ainul sekarang. Kita tak tahu apa pulak kata masa depan. Manalah tahu gurauan saya tu boleh jadi kenyataan suatu masa nanti, siapa tahu, kan? Apapun Encik Ainul tak payahlah sakit kepala fikirkan semua ni lagi. Buat masa sekarang lebih baik rasanya kalau Encik Ainul fikirkan dulu keadaan yang bakal Encik Ainul hadapi tak lama lagi.” Kata-kata Lily membuatkan mata Ainul kembali melekap di wajah isteri orang itu.
“Maksud awak?” soal Ainul tidak faham erti sebenar kata-kata setiausahanya.
“Projek kerjasama antara syarikat Encik Azmi dan Encik Ghazali yang bakal Encik Ainul dan Puan Alia kendalikan bersama tak lama lagi.” Penuh bersahaja wanita itu bersuara. Namun berjaya membuatkan kepala Ainul kembali berdenyut-denyut sakit. Terasa mindanya memberat semula tatkala perkara itu dibangkit keluar. Tanpa sedar dia mengeluh panjang.
Sedang Lily terus-terusan menguntum senyuman. Tercuit hati melihat riak dan tingkah yang terpamer di wajah ketuanya ketika ini.

“YA ALLAH, penatnyalah badan kerempeng aku ni,” ujar Damia terus menghempas punggung ke sofa rumah.
Dipicit sedikit tengkuknya yang terasa lenguh. Lalu dia membaring tubuh buat seketika. Kedua-dua kakinya dibiar berjuntai di lengan kanan sofa. Sementara kepalanya sudah terbenam pada kusyen kecil di lengan kiri sofa.
“Hai, awal kau balik hari ni Mia. Selalunya payah aku nak tengok muka kau waktu-waktu macam ni,” tegur Alia baru menapak turun ke tingkat bawah. Langsung mendapatkan gadis itu seraya merebah tubuh di sofa. Tak jauh darinya.
Damia terus menoleh muka. Hanya sekilas.
“Awal kau cakap? Kau tanya ke kau perli aku Lia?”
Dengan muka berkerut Damia menjeling wajah itu. Alia tersengih kecil.
“Aku tanya kaulah, takkan nak perli pulak. Yalah, selalunya dah pukul 10.00 malam baru aku nampak batang hidung kau kat rumah ni. Ini pukul 7.00 kau dah sampai rumah. Mahu aku tak hairan.”
Damia terus mencapai alat kawalan televisyen. Ditekan butangnya beberapa kali. Mencari siaran yang ingin ditontonnya ketika ini.
Damia mendengus halus. Matanya turut dipacak ke skrin televisyen yang dihidupkan sebentar tadi.
“Malaslah aku nak tunggu lama-lama kat firma ayah aku tu. Penat rasanya badan aku ni. Langsung tak ada rehat. Kejap kena pergi sana, kejap pulak kena pergi sini. Ada aje kerja yang aku kena buat sepanjang masa. Aku rasa kalau gajah berada di tempat aku sekarang ni pun mahu mati dia dibuatnya. Penat tak tahu nak cakap wei,” balasnya melepas nafas sepanjang mungkin. Menghalau rasa letih yang masih tidak jemu membalut tubuhnya sejak beberapa lama.
“Tulah kau Mia. Dari hari pertama kau balik ke Malaysia sampailah sekarang, kau langsung tak mahu rehatkan badan papan kau tu. Terus menonong aje masuk kerja kat firma ayah kau sampailah sekarang. Tahulah banyak kerja tapi bawa-bawalah berehat sama. Ini tidak, sibuk aje dua puluh empat jam sampai aku yang tinggal serumah dengan kau pun ni payah nak tengok muka seposen kau tu,” sembur Alia sesedap rasa. Langsung tak bertapis kata setiap kali berbicara dengan gadis itu. Apatah lagi Damia sendiri bersikap sama seawal perkenalan mereka beberapa tahun lalu.
Damia mengeluh semula.
“Apa nak buat Lia, nama pun aku ni peguam. Tak adanya peguam yang duduk goyang kaki aje dua puluh empat jam dalam dunia ni.”
Dia kembali mendudukkan diri lalu melakukan sedikit regangan. Menghilangkan lenguh-lenguh di badan.
“Itu aku tahulah tapi kalau iyapun fikirlah sama tentang kesihatan diri kau tu. Kau buat kerja macamlah kau seorang saja peguam yang bertugas kat dalam firma ayah kau tu. Apa semua kes, kau seorang aje ke yang kena kendalikan?” Alia menyembur lagi. Kali ini bernada lebih lembut.
“Bukanlah macam tu Puan Alia Amani oii... tapi dah jadi tanggungjawab aku selesaikan semua kerja tepat pada waktunya. Lagipun kau sendiri pun tahukan macam mana perangai aku. Pantang bagi aku kalau buat kerja bertangguh-tangguh. Alang-alang buat sesuatu kerja tu biar sampai semuanya siap. Barulah senang hati nak buat kerja lain,” balas Damia penuh semangat. Wajah sedikit tegang Alia dipandang semula.
“Yang kau ni Lia, kenapa pulak? Serius semacam aje aku tengok. Apa kau baru bergaduh dengan boyfriend kau ke?” soal Damia. Dia hanya membuat muka selamba bila Alia pantas menjelingnya.
“Banyaklah kau punya boyfriend. Aku mana ada boyfriendlah. Aku ni tengah tension tahu tak? Tension yang amat sangat,” marahnya sambil merengus halus.
Tension? Hai, sejak bila kau pandai tension ni? Siapa pulak yang buat kau tension ni?” soal Damia ingin tahu.
Sejak dari dulu begitulah sikap Damia. Gemar mengambil tahu masalah setiap sahabatnya. Apatah lagi Alia merupakan sahabat baiknya sejak mereka di universiti masing-masing lagi. Bezanya sebaik tamat pengajian, Alia terus pulang ke Malaysia.
Sedang dia terus menyambung pengajian hingga ke peringkat tertinggi dan mencari pengalaman bekerja di luar negara. Dia hanya pulang ke tanah air setelah Encik Khalid dan Puan Khadijah memintanya berbuat demikian.
Kedengaran Alia merengus lagi.
“Siapa lagi yang nak buat aku tension kalau bukan ayah aku tulah. Ada ke patut aku yang cantik jelita ni disuruhnya handle projek dengan Ainul buta kayu tu? Hei, kalau diikutkan marah aku ni, nak saja aku tampar-tampar muka Ainul bodoh bangang tu. Biar mati terus. Buat apa hidup dalam dunia kalau sekadar nak menyusahkan hidup aku saja,” bebelnya benar-benar bengang dengan keputusan sang ayah yang dirasakan sengaja mengenakan dia.
Sedang Damia sudah terkekeh ketawa mendengar luahan hati sahabat baiknya.
“Alahai, pasal tu aje kau nak marah-marah macam ni? Ala Lia, relakslah beb. Bukannya masalah besar pun semua tu. Small matter aje tu.” Dalam tawa Damia membalas kata. Tidak peduli wajah Alia sudah semasam mangga muda dek kata-katanya. Tawanya reda tidak lama kemudian.
“Bagi akulah Lia, setakat nak bekerjasama semula dengan bekas laki kau tu, tak ada hal punya. Payah apa sangat, kau ikut ajelah cakap ayah kau tu. Kau siapkan bahagian kau dalam projek tu cepat-cepat. Yang lain tu biar bekas laki kau yang uruskan. Rasanya bab kau dan dia kena bersua muka tu pun tak ada masalah.
Bukannya tiap-tiap hari kau dengan dia nak kena jumpa, kan? Sekali-sekala baru kau orang buat pertemuan. Pejam celik, pejam celik akhirnya siap juga projek kau orang tu. So, kau nak tension apanya lagi? Tak susah mana pun masalah kau ni sebenarnya. Kau tu aje yang sengaja nak susahkan kepala otak sendiri.”
Senang sungguh Damia memberi jalan. Siap mengata wanita itu lagi. Dia tersengih lagi bila Alia pantas mencekak pinggangnya.
“Ewah, ewah, pada kau memanglah senang Cik Damia Karmila oii sebab bukan kau yang nak kena hadap muka mangkuk hayun tu tapi aku tahu tak?” jerkah Alia.
“Hei, geram betullah aku bila fikir pasal hal ni. Yang ayah aku ni pun satu. Tahulah bekas ayah mentua aku tu kawan baik dia, tapi tak payahlah nak buat projek kerjasama dengan syarikat dia. Berlambak lagi syarikat yang ada dalam Malaysia ni. Pilih ajelah yang mana satu pun, tak adanya aku nak bangkang. Ini tidak, syarikat sebesar biji guli tu jugalah yang dipilihnya pun,” marahnya lagi.
Kali ini rasa marahnya turut tertumpah pada Encik Ghazali yang dirasakan telah menghancur lumatkan moodnya sejak beberapa hari ini dek permintaan lelaki itu sendiri.
“Kau ni Lia, kalau iya pun marah pada Ainul, tak payahlah nak babit-babitkan ayah dan ayah mentua kau tu sekali. Biarlah dia orang nak buat apapun. Sebagai anak, dah jadi tanggungjawab kita senangkan hati dia orang. Bukannya menambahkan lagi sesak hidup dia orang tu,” tegur Damia mengulum senyuman lagi.
“Lagipun kalau difikirkan semula silap kau jugaklah. Kenapa kau tak tolak aje permintaan dia orang hari tu? Dah tahu kau tak boleh menghadap muka bekas laki kau tu, kau bagilah apa-apa alasan. Tak adalah kau nak mengomel tak tentu pasal macam sekarang ni,” tambahnya lagi.
“Huh, kalaulah aku boleh tolak, dah lama aku buat macam tu Cik Damia oii. Tapi sebab aku kesiankan ayah si Ainul tulah yang buatkan aku tak sampai hati nak tolak permintaan dia orang tu, tahu tak?” marah Alia masih berapi-api.
“Apa pulak kena-mengenanya bekas bapa mentua kau tu dengan projek tu pulak?” tanya Damia tak tahu apa-apa tentang itu.
“Yalah, ayah si Ainul buta kayu tukan ada penyakit darah tinggi. Jadi aku tak mahulah hanya kerana aku tak mahu kendalikan projek tu membuatkan tekanan darahnya kembali meningkat. Silap hari bulan, kalau jadi apa-apa kat dia, aku pulak yang disalahkan si Ainul tu.” Alia mengendur suara semula.
Timbul pula rasa kasihannya pada Encik Azmi mengenangkan kesihatan lelaki itu yang sejak dulu jarang berada dalam keadaan stabil. Namun hanya seketika, rasa itu wujud sebelum melebur sebaik mendengar sahutan Damia selepas itu.
“Kiranya sayang jugak kau kat bapa mentua kau tu ya?” Sengihan Damia sudah melebar. Sedang Alia terus menjeling tajam wajah ceria gadis itu.
“Bukan bapa mentualah, bekas bapa mentua,” balasnya geram. Perkataan ‘bekas’ itu ditekan sedikit. Keras.
“Tapikan Lia, aku rasalah elok jugak kau bekerjasama dengan Ainul pun.” Seakan tidak hairan dengan kemarahan wanita itu, Damia kembali melontar suara setelah berfikir sejenak.
“Kenapa pulak?” soal Alia cepat. Bernada pelik.
“Yalah, manalah tahu kau orang berdua boleh berbaik kembali macam dulu. Bolehlah kau orang jadi suami isteri semula. Aku nikan Lia, walaupun aku cuma pernah tengok Ainul dalam gambar kahwin kau orang yang kau kirimkan pada aku dulu tu aje tapi aku rasa dia tu memang lelaki yang paling sesuai untuk kaulah.” Kata-kata Damia berganti dengan jeritannya sendiri bila Alia pantas mencubit lengannya.
“Kau ni kan Mia, memang saja nak sakitkan hati aku, kan? Pandai-pandai kau aje nak lagakan aku dengan lelaki bodoh bangang tu,” marah Alia membukit semula.
Terus saja dia menjegil mata pada Damia yang terus-terus menyeringai suka.
“Alah, sebodoh mana pun si Ainul tu, kau tetap sayangkan dia, kan? Pernah jugak dia jadi teman sekatil sebantal kau dulu,” ujar Damia kembali terjerit bila satu lagi cubitan Alia hinggap di lengannya. Dia tertawa suka sedangkan wanita itu sudah merengus marah beberapa kali.
“Ah, sudahlah kau Mia, malas aku nak layan cakap kau lagi. Buat sakit hati aku aje cakap dengan manusia otak senget macam kau ni. Baik kau pergi mandi cepat. Lepas Solat Maghrib nanti kau turun balik ke bawah. Kita makan malam sama-sama.”
Dalam marah Alia masih sempat mengata seraya memberi arahan pada gadis itu. Dia terus bangun menuju ke tingkat atas. Damia pula terus-terusan menyeringai melihat tingkahnya.
“Apalah kau ni Lia. Cubit lengan aku sampai berbekas. Entah macam mana Ainul boleh tahan dengan perangai kau sepanjang kau orang kahwin dulu pun tak tahulah,” rungut Damia seraya menggosok lengan yang masih terasa perit dek cubitan wanita itu.

Dia kembali tersengih bila Alia terus menjelir lidah padanya sebelum menghilang dari situ. Dia sendiri turut sama mengangkat kaki tidak lama kemudian. Menuju ke biliknya di tingkat atas.  

No comments:

Post a Comment