Followers

Saturday, 5 October 2013

BAB 14 - CINTA SEJATI


BAB 14

Suasana malam begitu dingin. Tidak kelihatan walau pun seorang manusia di situ. Hanya kedengaran bunyi tiupan angin kencang diikuti dengan salji yang turun semakin lebat. Pohon-pohon yang tumbuh di sekitar kawasan itu mula bergoyang kuat. Menandakan ribut salji akan tiba tidak lama lagi.
Yashmaan mengheret kuat tangan Mia yang terkial-kial menuruni tangga universiti. Matanya liar memandang sekeliling yang semakin dihimpit kegelapan. Dia mempercepatkan langkah. Mia yang menurutinya dari belakang turut berbuat demikian.
Butir-butir salji semakin lebat menimpa bumi. Yashmaan dan Mia mula berlari-lari anak. Memijak timbunan salji yang mula memenuhi lorong-lorong yang terdapat di dalam kawasan taman universiti itu.
Melalui pintu pagar utama universiti yang terbuka luas, kedua anak muda berusia awal lingkungan dua puluhan itu bertempiaran lari ke luar. Cuba menyelamatkan diri dari ribut salji yang mula melanda bandar California.
Mia menjerit ketakutan apabila salah satu tiang lampu di lorong yang dilalui mereka tumbang secara tiba-tiba menyebabkan bekalan elektrik terputus serta merta. Keadaan sekeliling menjadi semakin gelap. Menyukarkan pergerakan kedua anak muda yang ketakutan itu.
“Cepat Mia, ribut dah nak tiba tu,” jerit Yashmaan sekuat hati apabila dilihat langkah gadis itu semakin perlahan. Suaranya cuba melawan deruan angin yang semakin menggila. Salji yang semakin lebat menimpa tubuh tidak dihiraukannya.
Mia mempercepatkan langkah. Mendapatkan Yashmaan yang sudah jauh di depan. Ditarik kot tebal yang tersarung di tubuhnya. Dia mengigil kesejukan.
“Aduh!!”
Jeritan Yashmaan di hadapannya mempercepatkan lagi gerak langkah gadis itu. Dia berlari-lari anak mendapatkan Yashmaan namun keadaan sekeliling yang kelihatan samar menyukarkan pengerakannya.
“Yash, awak kat mana?” Mia menjerit sekuat hatinya. Dipandang keadaan sekeliling yang hitam pekat. Dia terduduk di situ.
Where are you Yash?” Jeritnya lagi apabila tiada balasan dari anak muda itu.
Dia tergetar-getar menahan kesejukan yang semakin menghimpit tubuh. Airmata yang mula meleleh dibiarkan menuruni pipi. Liar matanya memandang kawasan yang mula diselaputi salji tebal itu.
“Yash, where are you?”
Mia menjerit lagi. Suaranya hilang dibawa arus angin yang semakin bertiup kencang.
“Mia, I’m here.”
Sahutan anak muda itu kedengaran begitu jauh.
Mia kembali bersemangat. Tubuhnya kembali ditegakkan. Mencari kelibat anak muda itu dalam kegelapan malam yang semakin menguasai suasana.
Sebaik ternampak lambaian tangan Yashmaan di balik sebatang tiang lampu yang telah tumbang, Mia segera berlari mendapatkannya. Namun belum sempat dia melangkah, terdengar pekikan kuat anak muda itu yang menjerit meminta tolong.
“Yash!!!” sekuat hati gadis itu menjerit. 
Dalam kesamaran malam dia ternampak tubuh Yashmaan bergolekan jatuh ke hingga ke kaki bukit yang berdekatan kawasan itu. Dia cuba untuk mencapai tangan anak muda itu namun kakainya tersepak sesuatu menyebabkannya turut terjatuh hingga tubuhnya terlanggar sebatang pokok tumbang yang telah ditimbuni salji. Dia menjerit sekuat hati.
Mia mengerang kesakitan. Untuk seketika dia berkeadaan begitu sebelum dia kembali segera bangun. Teringat pada Yashmaan yang menghilang entah ke mana. Tanpa mempedulikan tubuh yang masih sakit, dia memandang sekeliling yang begitu gelap. Matanya kembali liar mencari Yashmaan. Beberapa kali dia menjerit memanggil nama anak muda itu namun tiada sahutan. Dia mencuba lagi. Lebih kuat sehingga suaranya tidak lagi kedengaran. Serak.
Langkah kakinya kembali di hayun laju tanpa arah tujuan. Tubuhnya yang semakin mengigil kesejukan di timpa butiran salji tidak dihiraukannya. Suasana sunyi semakin mencengkam keadaan. Hanya kedengaran bunyi tiupan angin kencang yang sejuk menderu kuat membelah kegelapan malam.
Langkah Mia terhenti apabila hujung kasutnya mengenai sesuatu yang keras. Pantas dia menundukkan muka. Yash! Segera di tarik kuat tubuh anak muda yang telah lama tidak sedarkan diri itu. Pantas jari jemarinya menguis salji yang menyeliputi sebahagian tubuh anak muda itu.
Sambil mengoncang kuat tubuh kaku itu, mata Mia liar memandang sekeliling yang kelihatan hitam pekat. Berbekalkan sisa suara yang masih ada, Mia menjerit meminta tolong. Mengharapkan sesiapa yang melalui kawasan itu akan mendengar jeritannya.
Walau pun dia sedar, dalam keadaan cuaca yang buruk sebegitu mana mungkin ada manusia yang sanggup keluar dari kediaman mereka namun dia tetap tidak berputus asa.  
Mia menjerit lagi. Lebih kuat dari tadi. Sesekali tangannya menyeka air mata yang kembali berjuraian di pipi.
Beberapa lama dia berkeadaan begitu hingga akhirnya dia keletihan. Airmata yang semakin berlinangan tidak dihiraukannya. Disembam mukanya ke wajah Yashmaan yang masih tidak sedarkan diri.  Dia menangis di situ.
Linangan airmata Mia yang menitis mengenai kelopak matanya menyebabkan Yashmaan kembali tersedar. Perlahan-lahan dia membuka mata. Dia cuba mengerakkan tangannya yang kaku dek terlalu lama dibungkus salji namun dia gagal. Dia cuba lagi untuk beberapa kali hingga akhirnya dia berjaya melakukannya. Jari-jemarinya yang mengeletar kesejukan menyentuh lembut tubuh Mia yang masih tertunduk menangis.
Terkejut dengan sentuhan itu, Mia kembali mendongakkan kepala. Memandang Yashmaan yang memanggil lemah namanya. Tanpa sedar, dia memeluk kejap tubuh tegap itu.
Yashmaan tidak membalas. Hanya kedengaran suara yang lemah dan tidak berdaya yang keluar dari celahan bibirnya yang pucat. Dia mengerang kesakitan.
Seketika, Mia meleraikan pelukannya. Matanya kembali liar memandang sekeliling. Cuba mencari tempat untuk berlindung dari ribut yang mula menggila.
Perlahan-lahan Yashmaan bangun dari pembaringannya. Dia cuba menegakkan tubuh namun kekejangan yang meruntun di kedua belah kaki menyukarkan pergerakannya. Dia kembali terbaring lemah sebelum perlahan mengerang kesakitan.
Mia segera membantu membangunkan tubuh anak muda itu. Dipaut kuat lengan kanan milik Yashmaan dengan kedua belah tangannya. Dengan bantuan Mia, terhenjut-henjut anak muda itu mengatur langkah.
“Yash, kita ke sana.”
Mia menunjuk ke satu arah. Dalam kesamaran malam, matanya dapat menangkap bayangan sebuah bangsal usang tinggalan orang kelihatan tidak jauh dari situ.  
Tanpa sepatah kata, Yashmaan mengangguk lemah. Dalam keadaan itu, dia tidak lagi peduli dengan keadaan sekeliling. Dia hanya ingin merehatkan tubuh yang semakin disengat rasa sejuk yang mengigit setiap inci tubuh tegapnya. Sebelah tangannya menyentuh kakinya yang terasa semakin sakit manakala sebelah lagi memaut kuat tubuh Mia. Dengan lemah dia mengatur langkah perlahan.
Mia menolak pintu bangsal yang sedikit terbuka. Berkeriut bunyinya. Dipapah tubuh tegap Yashmaan sambil matanya memandang sekeliling bangsal yang gelap itu. Disandar tubuh yang lemah tidak berdaya itu ke dinding di satu sudut bangsal sebelum dia mula mengatur langkah meninggalkan Yashmaan keseorangan di situ.
Yashmaan membaringkan tubuh di atas daun-daun kering yang berselerakan di sekelilingnya. Dipeluk kemas tubuhnya yang mengigil kesejukan. Diketap kuat bibir pucatnya. Kedua kelopak matanya ditutup rapat. Cuba menahan kesakitan yang kian melapah sekujur tubuh miliknya.
Mia masih berkeliaran di dalam bangsal itu. Matanya meliar mencari sesuatu yang dapat dijadikan pemanas tubuh Yashmaan dan dirinya yang kesejukan. Namun keadaan bangsal yang begitu gelap memaksanya kembali semula mendapatkan anak muda itu.
Dalam kesamaran cahaya malam yang menembusi dinding bangsal yang telah reput itu, Mia memandang sayu wajah Yashmaan. Anak muda itu kelihatan begitu pucat kesan terbaring lama di bawah timbunan salji tebal ketika tidak sedarkan diri tadi.
Mia menangis perlahan. Tubuhnya yang semakin kesejukan dipeluk erat dengan kedua belah tangannya. Di dongak kepalanya ke atas. Matanya tertancap pada bumbung bangsal yang bocor di merata tempat. Butir-butir salji yang turun melalui lubang-lubang yang ada menambahkan rasa dingin yang mengepung suasana bangsal usang itu.
Seketika matanya beralih ke dinding bangsal yang berantakan di setiap sudut. Bunyi papan-papan dinding yang berkeriut kuat dek ditiup angin yang masih kencang menimbulkan rasa takut di hatinya. Dia menangis lagi.
Suara Yashmaan yang mengerang kesakitan mengalihkan pandangan mata Mia. Matanya tertancap pada tubuh Yashmaan yang mengeletar kesejukan. Pemuda itu berbaring membelakangi tubuhnya. Hati wanitanya tersentuh melihat keadaan anak muda itu.
Tanpa sebarang pamitan, ditarik tudung yang sedari tadi membalut kepalanya. Dibentang kain yang hanya sebesar sedepa tangan itu ke tubuh Yashmaan. Mengharapkan tudung sehelai itu dapat mengurangkan kesejukan tubuh anak muda itu. Jari jemarinya merungkai perlahan sanggul rambut yang melingkar kemas di kepala. Mengharapkan rambut yang panjang melepasi paras punggung itu dapat menghilangkan rasa sejuk yang semakin menyaluti tubuh.
Perlahan-lahan, Mia merebahkan tubuh ke sisi Yashmaan. Dirapatkan tubuh mungilnya ke tubuh anak muda itu. Kehangatan yang masih bersisa di tubuh Yashmaan menghilangkan rasa gusar yang bertamu di hatinya. Perlahan-lahan Mia menutup rapat kedua kelopak mata. Cuba menidurkan diri yang sedari tadi dilanda keletihan.
Yashmaan membuka mata sebaik terasa kehangatan menerjah belakang tubuhnya. Jari-jemarinya yang mengeletar kesejukan menangkap sehelai kain yang terhampar lembut di atas tubuh. Dibawa kain lembut itu ke wajah sebelum digenggam kemas.
Tak lama, Yashmaan memusing tubuh mengadap Mia. Ditarik lembut tubuh gadis itu supaya mengadap tubuh tegapnya.
 Tersentak dengan sentuhan itu, Mia kembali membuka mata. Perlahan-lahan dia memalingkan tubuh. Matanya memandang tepat wajah Yashmaan yang lesu. Bibir pucat anak muda itu kelihatan mengeletar. Kesejukan.
Yashmaan membalas pandangan mata itu. Wajahnya dirapatkan ke wajah Mia. Tanpa sebarang suara, dia meraih tubuh gadis itu dalam pelukannya sebelum memeluk erat tubuh yang dalam kesejukan itu. Terasa kehangatan melingkari tubuhnya. Untuk seketika hilang rasa sakit yang membaluti tubuh tegapnya.
Mia membalas pelukan anak muda itu. Lebih erat.
Di luar bangsal, deruan angin yang semakin bertiup kencang membawa bersama butiran salji yang semakin lebat memenuhi ruang malam yang semakin dingin.

Yashmaan meraup muka beberapa kali. Perlahan dia beristighfar panjang. Setiap kali dia selesai membaca al-Quran dia tidak lupa untuk berdoa, memohon keampunan dari Yang Maha Berkuasa. Memohon kerahmatan dan kebahagiaan dalam hidup yang tidak diketahui di mana penghujungnya.
Yashmaan melipat kembali sejadah. Songkok di kepala di letak di atas meja. Dia bangun dari duduknya. Mengheret kedua kakinya ke katil sebelum merebahkan badan di situ. Untuk seketika dia bertasbih di dalam hati. Memuji kebesaran ILAHI.
Yashmaan melepaskan keluhan kecil.
“Ya Allah, mengapa aku tidak dapat melupakan peristiwa itu?”
Sekeping hatinya merintih hiba. Dia cuba menghalau kenangan itu dari kotak fikirannya. Kenangan yang sehingga kini mengundang seribu penyesalan dalam dirinya. Biar pun telah bertahun-tahun peristiwa itu berlaku, namun dia tidak pernah dapat melupakannya. Kenangan itu bagaikan telah terpahat kukuh di ingatannya.
Satu keluhan panjang terkeluar lagi dari celahan bibirnya. Setiap kali kenangan itu hinggap di fikirannya, setiap kali itu jugalah airmata lelakinya tumpah.
Demi Allah, dia begitu menyesal dengan atas apa yang pernah dilakukannya suatu masa dulu. Masa mudanya banyak dihabiskan dengan perkara-perkara yang tidak memberikannya sebarang kenangan indah.  Jika ada pun, kenangan itu hanyalah satu kenangan yang tidak memberikan sebarang makna pada dirinya. 
Yashmaan mengeluh lagi. Lebih berat dari tadi. Jika masa lalu boleh digapai semula, dia tidak akan teragak-agak untuk memperbaiki segalanya. Malah dia tidak akan sesekali mengulang semula segala kesilapan yang pernah dilakukannya dulu.
Namun apakan daya, semua itu hanyalah sekadar impiannya. Impian yang mustahil dapat dicapainya. Manakan mungkin masa yang telah berlalu dapat ditarik semula. Tak mungkin!
Hatinya yang sayu terasa semakin sebak. Tanpa sedar, airmata lelakinya tumpah lagi pada pagi subuh yang hening itu.

Yashmaan terlena semula dengan membawa seribu kekesalan bersamanya. 

No comments:

Post a Comment