Followers

Saturday, 5 October 2013

BAB 18 - CINTA SEJATI


BAB 18

Zara menutup Al-Quran yang terbuka di depannya. Sejak dari subuh tadi dia telah menghabiskan beberapa surah dari kitab suci itu. Setelah meletakkannya di atas meja, dia bangun dari duduk. Hamparan sejadah di lipat kemas.
Zara menanggalkan telekung solat yang dipakainya sedari tadi sebelum disidai di ampaian kayu yang terletak di hujung bilik. Tangannya menarik tudung yang tergantung di balik pintu. Disarung ke kepalanya. Kakinya melangkah perlahan menuju ke tingkap.
Zara menolak luas tingkap bilik tidurnya. Angin pagi segera menyerbu masuk. Menampar lembut wajahnya. Dia melemparkan pandangan ke bawah.
Dari tingkap bilik Zara dapat melihat taman permainan yang terletak di depan bangunan pangsapurinya itu. Keriangan kanak-kanak yang bermain di situ menarik perhatiannya. Fikirannya mula melayang. Menerjah semula kenangan lalu.

“Hei, apasal kau tolak dia tadi?”
Di tolak kasar bahu Syukri. Hampir saja kanak-kanak berusia sepuluh tahun itu terjatuh.
“Mana ada aku tolak, aku cuma cuit aje,” balas Syukri sedikit kuat.
Dia kembali menegakkan tubuh. Memandang wajah kanak-kanak yang kelihatan merah padam itu. Cuba menahan kemarahan yang mula membuak di dada.
“Bohong! Aku nampak kau tolak dia tadi.” Keras kanak-kanak itu menjawab.
“Mana ada.”
“Kau nampak penumbuk aku ni?” Ditayang buku limanya.
“Rif!”
Pantas Zarif berpaling. Memandang sekilas Zara yang sudah berdiri di sebelahnya.
“Dahlah tu. Dia bukan sengaja tolak aku tadi.”
Zara menarik tangannya. Cuba meleraikan pertengkaran itu.
“Mana boleh tak sengaja. Aku nampak sendiri dia tolak kau tadi.”
Zarif mengeraskan tubuh, tidak mahu berganjak dari tempatnya berdiri walau seinci. Matanya masih memandang tajam wajah Syukri yang turut membalas marah pandangannya.
“Zarif, kita kan kecil lagi. Tak baik bergaduh macam ni. Nanti kalau mak ayah kita tahu, tentu kita kena marah.” Zara memujuk lembut.
Faham dengan sikap teman baiknya itu yang pantang mengalah.
“Jomlah kita balik Rif,” ajak Zara menarik tangan Zarif. Lebih kuat.
“Aku tak suka tengok dia buli kau,” Zarif masih tidak mahu mengalah.
“Kan aku dah kata, aku tak tolak dia.” Syukri yang dari tadi mendiamkan diri bersuara.
Hatinya sedikit kecut memandang wajah Zarif yang dari tadi memandang geram padanya. Walau pun tubuhnya lebih besar dari Zarif namun dia tahu kanak-kanak itu lebih kuat darinya.
“Penipu! Kau nak rasa penumbuk aku ni ke?” ujar Zarif kuat. Dikepal semula penumbuk yang terlerai tadi.
“Syukri tak sengajalah Rif. Dahlah tu, jom kita balik. Nanti kita minta ayah buatkan buaian depan rumah kita. Jomlah Rif.”
Zara menarik lagi tangannya. Kali ini dengan lebih kuat.  Zarif memandang sekilas ke arah Zara sebelum kembali memandang Syukri di depannya.
“Jaga kau.”
Sempat lagi dia memberi amaran sebelum dia sendiri menarik tangan Zara meninggalkan taman permainan itu.

Zara tersenyum sendiri. Zaman kanak-kanaknya berlalu dengan penuh keindahan. Zarif sentiasa di sisinya setiap kali dia diganggu kanak-kanak lain. Menjadi pahlawan yang melindunginya setiap masa. Walau pun ada kalanya Zarif sendiri suka mengusiknya, namun Zarif tidak akan membiarkan dirinya diganggu orang lain.
Zara membelek cincin yang tersarung di jari manisnya. Cincin itulah yang dipilihnya bersama Zarif ketika mereka belajar di London dulu. Cincin yang sepatutnya disarungkan ke jari Nelly itu telah menjadi hak miliknya secara rasmi sejak tujuh tahun lalu.
Zara memusing tubuhnya. Melangkah ke arah sofa yang terletak di sudut bilik. Dihumban tubuhnya di situ. Tangannya mencapai bingkai gambar yang terdapat di atas meja di tepi sofa. Gambar perkahwinannya bersama Zarif itu direnungnya dalam-dalam.
Dalam hati, Zara mengakui, Zarif sememangnya seorang suami yang baik. Sepanjang tempoh perkahwinan mereka, Zarif tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami.
Walau pun sudah tujuh tahun mereka berpisah, sehingga kini Zarif tidak pernah lupa untuk memberi nafkah padanya  Malah, ketika dia menyuarakan hasrat untuk melanjutkan pengajiannya di The American University di Dubai beberapa tahun lalu, Zarif membiayai pengajiannya sehingga tamat meskipun pada masa sama Zarif sendiri menyambung pengajiannya di Amerika Syarikat.
Tidak dinafikan, Zarif terlalu baik pada dirinya. Kebaikan itulah yang mengikat hatinya pada lelaki itu. Ikatan yang meyebabkan pintu hatinya terkunci rapat dari menerima kehadiran lelaki lain sepanjang tujuh tahun ini.
Zara sendiri tidak menyedari bagaimana dan bila perasaan cinta telah bercambah dalam dirinya terhadap Zarif. Dia hanya menyedarinya setelah dirinya berjauhan dengan lelaki itu.
Zara kembali bangun. Diheret kakinya ke katil. Membaringkan tubuh di tilam yang empuk itu. Fikirannya masih berlegar tentang Zarif.
Sudah lama dia tidak menemui lelaki itu. Kali terakhir mereka bertemu hanya ketika Zarif menghantarnya ke lapangan terbang sebelum dia berlepas ke Dubai beberapa tahun lalu. Sehingga kini, hanya e-mel yang menjadi penghubung mereka.
Baik Zarif mahu pun dia sendiri tidak pernah membicarakan tentang hubungan mereka selama ini. Hanya persoalan tentang kerjaya dan persekitaran masing-masing yang sering dijadikan topik setiap kali mereka saling membalas e-mel.
Zara mengeluh panjang. Tak mungkin dia dapat meluahkan segala perasaan yang dirasainya selama ini kepada Zarif.
Tak mungkin, bisiknya perlahan.
Tak mungkin Zarif dapat memahami isi hatinya. Hati lelaki itu tidak ditakdirkan untuknya.
Zara sedar, dari dulu lagi dia bukanlah dari golongan gadis yang menjadi impian lelaki itu. Dengan sikapnya yang gila-gila dan kasar seperti lelaki, mana mungkin Zarif akan jatuh cinta padanya.
Ketika mereka di universiti dulu, walau pun dia mempunyai ramai kenalan namun tiada seorang lelaki pun yang rapat dengannya sebagaimana rapatnya dia dan Zarif. Hanya Zarif yang menjadi sahabat baiknya. Itu pun mungkin kerana sedari kecil mereka telah saling mengenali antara satu sama lain.  
Tapi itu dulu. Zara kini tidak seperti Zara yang dulu. Zara kini telah berubah. Zara kini telah menjadi seorang wanita yang benar-benar wanita. Tiada lagi t-shirt dan seluar jeans yang membaluti tubuhnya. Tiada lagi cap yang dipakai di kepalanya. Zara sekarang adalah Zara yang bertudung litup dan sentiasa menjaga adabnya. Zara kini benar-benar telah berubah.
Fikirannya kembali menerawang mengingati Zarif. Teringat pada perjanjian tidak rasmi yang pernah dibuatnya bersama Zarif. Perjanjian yang sehingga kini tidak pernah dilupainya. Perjanjian yang hakikatnya sehingga kini tiada diketahui penghujungnya.
Zara masih ingat, Zarif pernah menyatakan hasrat untuk meleraikan ikatan perkahwinan mereka sekiranya salah seorang di antara mereka telah menemui orang lain yang dirasakan mampu memberikan kebahagiaan yang diinginkan.
Namun tujuh tahun telah berlalu dan sehingga kini Zara mahupun Zarif sendiri tidak pernah menimbulkan perkara itu. Perkara yang telah sekian lama menjadi perjanjian tidak rasmi mereka.
Mengingati perkara itu, Zara mengeluh berat. Jauh di dalam hati, dia sebenarnya bimbang. Bimbang sekiranya perkara itu benar-benar terjadi. Bimbang sekiranya Zarif benar-benar melayangkan talak padanya. Bimbang hatinya tidak dapat menerima kenyataan yang Zarif bukan miliknya. Walau pun dia sedar Zarif tak mungkin mencintainya namun nun jauh di dasar hati dia begitu berharap cintanya terhadap lelaki itu akan berbalas suatu hari nanti.
Hakikatnya dia sendiri tidak pasti sama ada dia mampu untuk hidup tanpa lelaki itu atau pun tidak sekiranya mereka ditakdirkan berpisah jua suatu hari nanti. Walau pun dia telah biasa dengan ketiadaan Zarif di sampingnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini namun itu tidak bermakna dia mampu untuk terus bernafas tanpa kehadiran lelaki itu. Berbekalkan segala kenangan yang pernah dikutipnya bersama Zarif suatu masa lalu menjadikan dia mampu untuk terus melayari bahtera kehidupannya hingga ke hari ini.
Zara menarik nafas panjang sebelum lambat-lambat melepaskan kembali.
Jika benar Rif mencintai aku, sudah lama dia memintaku pulang ke pangkuannya, bisik hatinya.
Dia takkan membiarkan diri aku menantinya sebegini lama, fikirnya lagi.
Zara memejam matanya rapat. Air mata yang mula bergenang di kelopak mata dibiarkan mengalir lesu ke pipi. Melayan perasaan hiba yang tiba-tiba menyinggah di hatinya. Zara menangis sendiri. 

No comments:

Post a Comment