BAB
5
“Selamat pagi Atika. Ada
apa-apa pesanan untuk saya pagi ni?” Tengku Anuar bersuara sebaik melintas meja setiausahanya pagi itu.
Wanita berbaju kurung putih
berbunga kecil hitam itu tersenyum mesra.
“Untuk pagi ni saja ke atau untuk
sepanjang hari ni Encik Anuar?” Atika meminta kepastian. Selalunya Tengku Anuar
akan menyoalnya tentang aktiviti yang perlu dilakukannya sepanjang hari dan
bukannya hanya untuk di waktu pagi.
Tengku Anuar menepuk dahi.
“I’m sorry. I mean sepanjang hari ni,” ujarnya tersenyum simpul.
Atikah turut menguntum senyum.
“Untuk pagi ni Encik Anuar ada
mesyuarat dengan Encik Ghani dari Syarikat Craze Bith pada pukul 10.00 pagi
nanti manakala untuk petang nanti, Encik Anuar ada perjumpaan dengan klien kita
dari Tokyo di hotel Hilton Kuala Lumpur. Itu saja untuk hari ni Encik Anuar,” beritahu
Atika sambil menutup semula buku nota kecilnya.
“Itu saja untuk hari ini
Atika?” Gadis itu mengangguk.
Tengku Anuar menganggukkan
kepalanya beberapa kali. “Okey, terima
kasih,” ujarnya sebelum berlalu ke biliknya yang terletak bersebelahan meja
wanita itu.
Tengku Anuar baru saja hendak menolak
pintu bilik apabila dia terdengar namanya di panggil. Dia kembali berpaling.
“Ada apa Atika?”
“Maaf Encik Anuar, saya lupa
nak beritahu. Tengku Adnan minta Encik Anuar ke biliknya jika Encik Anuar dah
sampai pejabat,” Atika menjawab perlahan. Sedikit sesal dengan kelalaiannya
dalam menjalankan tugas. Rasa bersalah menyerang dirinya.
Tengku Anuar mengangguk lagi
sebelum menapak masuk ke bilik. Diletak briefcase
yang di jinjing sedari tadi di atas meja. Pandangan matanya jatuh pada
sejambak bunga yang terletak elok di atas rak kayu di belakang kerusi empuknya.
Indah dan menarik.
Menyejukkan matanya yang
memandang. Dia tersenyum kecil sebelum kembali memusing tubuh. Mengatur langkah
menuju ke luar. Dihampiri meja Atikah yang menunduk menulis sesuatu. “Atika,”
tegurnya lembut.
Laju wanita itu mengangkat
kepalanya. “Ada apa Encik Anuar?” soalnya sopan.
“Siapa yang letak bunga atas
rak dalam bilik saya tu?”
“Oo, bunga tu. Saya yang
letakkannya Encik Anuar,” beritahu Atika sambil memandang Tengku Anuar yang
sekadar menjongket kening, seakan memberi isyarat agar wanita itu meneruskan
kata-katanya.
“Bunga tu hadiah dari salah
seorang klien kita untuk Encik Anuar sempena ulang tahun syarikat mereka yang
ketiga puluh,” terangnya dengan lebih lanjut.
“Syarikat mana tu?”
“Waseer Industry Sdn.Bhd,”
Tengku Anuar mengangguk faham.
“Mmm, tak apalah Atikah, saya
nak ke pejabat ayah saya di tingkat sekarang. Kalau ada apa-apa nanti, you just take notes ya,”
“Baiklah Encik Anuar,” Tengku
Anuar tersenyum lagi sebelum berlalu menuju ke kotak lif yang terletak tidak
jauh dari pintu pejabatnya.
“Ayah panggil saya?” Tengku
Anuar bersuara sebaik sahaja tubuhnya menolak daun pintu bilik pejabat Tengku
Adnan.
Kemudian dia menghampiri Tengku
Adnan berada di sofa. Tengku Adnan segera menoleh. Tersenyum meleret memandang
si anak yang turut mengorak senyum.
“Hah Nuar, mari sini ayah
kenalkan kamu pada kawan baik ayah ni,” Dia bangun dari duduk. Tetamu yang
duduk berhadapan dengannya turut bangun.
“Kenalkan Nuar, ini kawan baik
ayah sejak ayah di universiti lagi, Datuk Nasir,”
Dihala tangannya ke arah Datuk
Nasir yang berdiri tegak mengadapnya.
“Hah Nasir, inilah anak lelaki
aku yang aku katakan itu. Dia baru balik Amerika bulan lepas,” sambungnya.
“Apa khabar Datuk?” Sopan Tengku
Anuar bersuara. Di hulur tangannya berjabat salam. Datuk Nasir tersenyum panjang.
Disambut huluran lelaki itu. Kejap.
“Mmm… tak sangka aku, handsome betul anak lelaki kau yang ini.
Lebih handsome dari abang-abangnya,” puji
Datuk Nasir, matanya agak ralit memandang wajah tenang itu.
“Hai, kau tengoklah anak siapa.
Mestilah handsome macam ayahnya
juga,” sahut Tengku Adnan tergelak kecil.
“Perasaan betul kau ni Nan. Aku
puji anak kau bukannya kau,”
“Samalah tu. Kalau tak ada aku,
tak adanya anak aku ni hah,” Tercetus tawa kedua lelaki itu. Tengku Anuar hanya
mengulum senyum. Mereka kembali melabuhkan punggung di sofa.
“Ayah nak kamu tahu Anuar,
keluarga Datuk Nasir ni dah macam keluarga kita sendiri. Dia jugalah yang
banyak membantu ayah dalam memajukan syarikat kita ni. Susah senang ayah,
dialah tempat ayah berkongsi segalanya,” beritahu Tengku Adnan.
“Nasir, mungkin kau tak pernah
jumpa dengan anak lelaki aku ni, berbanding dengan Azhar dan Afzan. Dari kecil
lagi anak bongsu aku ni dah tinggal di asrama. Habis saja sekolah, terus dia
dapat tawaran menyambung pelajaran ke Amerika. Habis belajar dia bekerja pula
kat sana beberapa tahun,”
“Patutlah aku tak pernah nampak
dia pun sebelum ini. Macam mana kerja kat tanah air sendiri? Mesti berbeza
bukan berbanding dengan kerja kat luar negara tu,” soal Datuk Nasir sambil
merenung wajah Tengku Anuar.
“Memang berbeza sangat Datuk,
terutamanya dari segi budaya kerja yang orang Malaysia amalkan. Hampir seratus
peratus berbeza dengan budaya negara luar,”
“Tak payahlah berDatuk Nuar,
panggil saja pakcik. Abang-abang kamu pun panggil pakcik saja,” sela Datuk
Nasir cepat.
Hati Datuk Nasir telah terpaut
pada wajah itu tatkala kali pertama memandangnya.
“Biasalah tu, budaya kerja kita
memang jauh beza dengan budaya orang negara barat. Mereka lebih berdisplin dari
segi ketepatan masa dan cekap dalam melakukan tugas,” sambung Datuk Nasir lagi.
“Betul tu pakcik. Selain itu
mereka juga amat mementingkan kepuasan pelanggan. Pada mereka kehendak dan
keperluan pelanggan perlu diutamakan dalam apa jua keadaan,” ujar Tengku Anuar
sedikit serius. Berkerut dahinya seketika.
“Apa yang kamu katakan memang
betul tapi budaya kerja orang barat juga mempunyai kelemahannya sendiri,”
sampuk Tengku Adnan.
“Dalam budaya kerja orang
barat, jarang wujud istilah bekerjasama. Mereka lebih suka bekerja secara
bersendirian dan bukannya secara berkumpulan. Ini kerana sikap tidak percaya
pada individu lain begitu kuat menghuni diri. Mereka juga begitu mementingkan
diri sendiri dan gemar bersaing antara satu sama lain dalam mendapatkan sesuatu
ganjaran. Ini di antara sikap mereka yang hampir tidak wujud dalam budaya kerja
negara kita,” ujarnya mengulas panjang.
“Sebenarnya, di mana-mana
negara pun budaya kerjanya begitu berbeza berbanding dengan negara lain. Setiap
budaya itu pula mempunyai kebaikan dan kelemahannya yang tersendiri. Adakalanya
sesuatu budaya kerja yang diamalkan adalah sama dengan seperti di negara lain
tapi mempunyai maksudnya yang tersendiri.
Contohnya seperti budaya kerja
orang-orang Arab. Bagi mereka, memberi duit atau apa-apa saja kepada orang lain
ketika menjalankan sesuatu urusan adalah dianggap sebagai hadiah atau satu
ganjaran atas apa yang telah dilakukan. Tapi di negara kita, pemberian serupa
itu dianggap sebagai rasuah dan salah di sisi undang-undang. Kita yang tinggal
dalam sesebuah negara itulah yang seharusnya mengikut budaya tersebut supaya
kita dapat bersaing dengan rakyat tempatan,” Datuk Nasir turut berhujah memberi
pendapat.
“Betul cakap kau tu Nasir.
Sememangnya setiap negara mempunyai budaya kerjanya yang tersendiri. Sebenarnya
semua ini terpulang pada diri kita sendiri. Jika kita rasa sesuatu budaya itu
adalah baik dan sesuai diamalkan, maka memang patut pun kita mengikutnya,” jelas
Tengku Adnan.
“Sekarang ni pun budaya kerja
di negara kita pun dah banyak berubah. Dah tak seperti dulu lagi. Semuanya
kerana rakyat negara ini semakin sedar tentang pentingnya budaya kerja yang
berdisplin dan baik seperti mana yang diamalkan oleh rakyat di negara Jepun,” celah
Datuk Nasir.
“Tapi tak semua orang sedar
tentang semua ini Nasir. Masih ramai lagi yang mengamalkan budaya kerja yang
tidak sepatutnya dilakukan. Contohnya seperti lambat masuk kerja, selalu ambil
cuti kecemasan tanpa alasan kukuh dan jarang tepati masa,” ujar Tengku Adnan.
“Biasalah tu Nan, manusia ni
tak sempurna semuanya. Ada yang bersikap begitu, ada yang bersikap begini.
Takkan serupa semuanya walau pun tinggal di tanah yang sama. Bak kata pepatah,
rambut sama hitam, hati lain-lain,” sambut Datuk Nasir.
Tengku Adnan tersenyum sambil
menganggukkan.
“Begitulah juga dengan
anak-anak kita Sir, tak semua nak dengar cakap kita,” ujarnya lembut. “Si Anuar
ni,” di unjuk jarinya ke arah si anak yang sedikit tersentak dengan kata-kata
si ayah.
“Sudah puas aku minta dia balik
ke Malaysia, bantu aku kat pejabat ni. Baru sekarang dia nak balik. Itu pun
sebab aku kata nenda dia yang suruh. Kalau tidak, jangan haraplah,”
“Ala Nan, biasalah tu. Anak
muda. Mestilah dia orang nak cari pengalaman dulu di negara orang. Iya tak
Nuar?” ujar Datuk Nasir seakan menyebelahi Tengku Anuar.
Lelaki itu hanya mengangguk
kepalanya beberapa kali.
“Apa pun untunglah kau Nan, ada
tiga orang anak lelaki yang boleh bantu kau kat pejabat ni. Aku pula hanya
harapkan si Shahrul saja. Nak harapkan anak perempuan aku tu, tak habis-habis
dengan kerja bengkelnya tu. Si Syafiq pula tak berminat langsung dalam bidang business ni,” keluh Datuk Nasir.
“Jangan kata begitu Sir,
anak-anak aku ni bukannya anak-anak kau juga?” kata-kata Tengku Adnan
menerbitkan senyuman di bibir Datuk Nasir.
“Memanglah anak-anak kau tu pun
anak-anak aku tapi itulah, takkan aku nak minta dia orang kerja dengan aku
pula,” tukasnya.
“Apa salahnya Sir. Aku tak
keberatan nak benarkan dia orang kerja dengan kau. Kerja kat syarikat kau pun
samalah juga macam kerja kat syarikat aku. Yang penting, dia orang dapat
pengalaman untuk memajukan diri masing-masing,” Ikhlas Tengku Adnan bersuara.
“Terima kasihlah Nan tapi aku
rasa biar dia orang kerja saja dengan kau. Syarikat aku tu, bukannya sebesar
mana pun. Kalau nak di bandingkan dengan syarikat gergasi kau ni, jauh benar
perbezaannya,” ujar Datuk Nasir begitu merendah diri.
“Isy kau ni, jangan cakap
begitu. Kecil atau besar sesuatu syarikat itu bukan penentu sesuatu kejayaan.
Yang penting cara kita melaksanakan sesuatu tugas yang telah diberikan. Kalau
syarikat itu besar dan gah sekali pun di mata dunia tapi jika tidak dapat
memberikan perkhidmatan kerja yang baik, syarikat tu takkan kekal lama,”
“Ewah kau ni Nan, kalau sekali
dapat bersyarah, kalah aku dibuat kau,”
Tengku Adnan tertawa kecil.
“Apa salahnya Sir, sekali
sekala,”
Kedua lelaki itu tertawa. Tengku
Anuar sekadar menguntum senyum. Hatinya sedikit terusik melihat keakraban kedua
lelaki seusia itu.
“Hmm… sedar tak sedar dah lama
aku kat sini,” ujar Datuk Nasir setelah tawanya reda.
“Ala Sir, bukannya selalu pun.
Sekali sekala, apa salahnya,”
“Memanglah sekali sekala Nan, tapi
kalau selalu tu, bukan sekali-sekala lagi dah. Hah Anuar, ada masa datanglah ke
pejabat pakcik. Tak pun, pergi je ke rumah. Makcik kamu tentu suka kalau dapat
berkenalan dengan kamu nanti,” pelawa Datuk Nasir ramah.
“Insya Allah pakcik, kalau ada
masa, sampai juga saya nanti,” ujar Tengku Anuar sopan.
Disambut huluran tangan Datuk
Nasir sebelum mengenggam tangan lelaki itu erat.
“Minta diri dulu Nan, Anuar.”
“Yalah.”
No comments:
Post a Comment