BAB
1
“Zarif, kau sibuk ke sekarang?”
Zarif yang sibuk menulis
sesuatu di mejanya segera mendongak kepala. Wajah Baharin yang tersembul dari
balik pintu di pandang sekilas. Dia mendengus kecil sebelum mengurut dada
perlahan-lahan.
“Kalau iya pun Baha, kau
bagilah salam dulu. Terkejut aku,” ujar Zarif mengelengkan kepala beberapa
kali. Dia tunduk semula menyambung kerjanya yang terhenti.
“Ala Rif, aku bukannya
sengaja,” jawab doktor muda itu tersengih seperti kerang busuk. Kakinya melangkah
masuk ke ruang bilik yang sederhana luas itu. Di tarik kerusi yang ada di depan
Zarif sebelum melabuhkan punggungnya di situ.
“Takkan itu pun kau nak marah,”
sambung Baharin lagi.
Wajah Zarif yang sedikit
mencuka di renung sekilas.
Zarif merengus kecil. Matanya dijeling sedikit ke arah wajah
bersahaja milik Baharin yang masih seperti tadi. Tersenyum kelat memandangnya.
“Aku bukannya marah, cuma
geram. Dibuatnya aku ni ada sakit jantung, mau tak bernyawa aku sekarang,” tingkah
Zarif sedikit keras.
“Isy kau ni, ada ke situ pula,”
ujar Baharin terkesima.
“Sekarang ni nak mati bukannya
susah, terkejut pun boleh bawa maut tau,” ujar Zarif lagi.
“Iyalah, iyalah, lain kali
sebelum aku masuk ke bilik kau ni, aku ketuk dulu pintu, lepas tu bagi salam,
lepas tu….,”
“Dah, dah, dah, jangan kau nak
melalut pula. Kau datang ke bilik aku ni nak apa sebenarnya?” Pantas Zarif
memotong kata-kata sahabatnya itu.
Tiga tahun bekerja satu bumbung
dengannya menyebabkan Zarif begitu arif dengan sikap pemuda yang bermulut becok
itu.
Baharin tersengih lagi. Menampakkan
barisan giginya yang putih bersih.
“Aku sebenarnya nak beritahu,
Dr. Fahmi cari kau tadi,”
Dahi Zarif berkerut mendengar
kata-kata Baharin. Pen di tangan di letak perlahan ke atas meja. Wajah sahabat
baiknya itu di renung lama.
“Kenapa Dr. Fahmi nak jumpa
aku? Ada hal penting ke?” soal Zarif.
“Entah, manalah aku tahu. Kau
tanyalah dia sendiri,”
Baharin terus bangun. Mula
mengatur langkah menuju ke pintu. Sebelum tangannya memulas tombol pintu, dia
menoleh sekilas.
“Woi Rif, kau termenung apa
lagi? Pergilah jumpa dia,” sergah Baharin bila di lihat Zarif seperti
kebingungan.
“Hah, apa?”
Zarif yang terkejut dengan
sergahan itu terpinga-pinga seketika. Bulat matanya memandang wajah Baharin
yang hanya mengeleng.
“La… kalau kau nak tahu sebab
apa dia panggil kau, pergilah jumpa dia sekarang. Dia tengah free tu,” balas Baharin tertawa kecil.
Geli hatinya melihat Zarif yang
terkulat-kulat membalas pandangannya. Dia kembali mengatur langkah membolos
diri di celah pintu yang telah terbuka sedikit.
Giliran Zarif pula tersengih.
“Yelah, aku pergilah ni,” balas
Zarif.
Zarif menolak perlahan
kerusinya. Tubuh tegapnya digerakkan sedikit ke kiri dan kanan, menghilangkan
rasa lenguh yang bermukim di tubuhnya sedari tadi.
“Eh, dia kat mana sekarang?”
Sempat lagi Zarif melaung ke
arah Baharin yang telah melangkah keluar dari bilik rawatan pesakit itu.
“La, kat bilik dialah, kat mana
lagi. Takkan kat bilik aku pula kot,”
Baharin kembali menutup pintu
bilik.
Zarif mendengus kecil. Loyar
buruk pula si Baha ni, desisnya perlahan.
Zarif mengetuk perlahan daun pintu
yang tertera nama ‘DOKTOR FAHMI’. Terdengar satu suara menyuruhnya masuk. Tanpa
berlengah lagi, Zarif menolak daun pintu bercat warna biru muda itu. Dijengul
kepalanya sedikit.
“Doktor panggil saya?” soalnya
sopan.
Dr. Fahmi yang berdiri di tepi
tingkap bilik tersenyum lebar. Fail yang berada di tangan segera dicampak ke
atas meja di sudut bilik.
“Hah doktor Zarif, silakan
masuk,” pelawanya.
Perlahan Zarif melangkah masuk.
“Jemput duduk doktor,”
Pelawanya lagi.
Zarif yang hanya tersenyum mengangguk
kecil. Dialih pandangannya ke arah sofa di ruang tengah bilik. Bola matanya
tertumpu pada tetamu yang berada di situ. Seorang wanita dan dua orang lelaki
yang tidak dikenali tersenyum ke memandangnya. Zarif sekadar membalas.
Hah doktor Zarif, mari saya
kenalkan tiga orang doktor yang baru saja ditempatkan ke hospital kita ni,”
Dr. Fahmi melangkah kemas
menghampiri mereka. Merapati salah seorang lelaki yang segera bangun dari duduknya.
Mereka yang lain turut berbuat demikian.
“Kenalkan, yang ini doktor
Iskandar. Disebelahnya doktor Razif manakala yang itu, doktor Intan,” ujar Dr.
Fahmi.
Zarif segera menyambut huluran
tangan mereka sambil bibirnya mengukir senyuman manis. Matanya terpaku seketika
pada Intan saat tangan mereka berpaut.
“Cantik,” puji hatinya.
“Untuk pengetahuan awak doktor Zarif,
sebelum ini mereka bertiga bertugas di hospital Besar Kuantan. Memandangkan
hospital kita ini kekurangan doktor, maka pihak Kementerian telah menukarkan
mereka ke sini,”
Dr. Fahmi bersuara sebaik saja
masing-masing mengambil tempat di sofa.
“Bila agaknya mereka bertiga ni
akan mula bertugas doktor?” soal Zarif.
Mata Zarif memandang wajah ketiga-tiganya
dengan silih berganti. Pandangan matanya kembali tertumpu pada Intan yang
sedari tadi melirik lembut ke arahnya.
“Oh, mereka bertiga ni dah pun
memulakan tugas mereka sejak dari seminggu yang lalu. Memandangkan doktor
sedang bercuti waktu tu, tak dapatlah saya perkenalkan mereka pada doktor,”
Penjelasan Dr. Fahmi dibalas
dengan anggukan kecil Zarif.
“So, ada apa-apa lagi yang doktor nak tanya?”
“Setakat ini rasanya tak ada
apa lagi doktor,” Zarif membalas perlahan.
“Cuma saya ingin mengucapkan
selamat datang pada doktor bertiga ke hospital Besar Melaka ini. Saya harap
kita semua boleh bekerjasama seperti dalam sebuah pasukan,” ujar Zarif tenang.
Sekali lagi bola matanya di lirik
ke arah Intan yang duduk setentang dengannya. Entah
mengapa matanya bagaikan
terpaut pada wajah manis itu. Gadis itu hanya menundukkan muka setiap kali
pandangan mereka bertembung. Zarif tersenyum di dalam hati.
“Untuk pengetahuan doctor semua,
doktor Zarif ni merupakan salah seorang doktor terbaik yang telah lama
berkhidmat di hospital ini,”
Pujian Dr. Fahmi mengalih
pandangan mata Zarif. Wajah lelaki berusia pertengahan lima puluhan itu di
pandang sekilas. Zarif tersenyum kecil.
Bagi Zarif pujian yang keluar
dari mulut lelaki itu tidak meninggalkan sebarang bekas di hatinya. Dirinya
sudah lali dengan sikap Dr. Fahmi yang gemar memuji kakitangan-kakitangannya
tanpa melihat kedudukan atau pangkat mereka.
“Kalau begitu, untunglah kami
kerana dapat bekerjasama dengan doktor yang pakar dalam bidang kedoktoran ni,” celah
Razif yang memiliki rambut kerinting dan hitam berkilat itu.
Iskandar yang bersandar
disebelah Razif turut menganggukkan kepala. Mengiyakan kata-kata temannya.
“Jangan kata begitu doktor. Sebenarnya masih
ramai lagi doktor yang lebih berpengalaman dan pakar yang berkhidmat di
hospital ini. Saya sendiri pun masih lagi dalam proses menimba ilmu dalam
bidang ni dari mereka semua,” balas Zarif merendah diri.
Bagi Zarif tujuh tahun
bergelumang dalam bidang kedoktoran tidak cukup untuk mengelarkan dirinya
sebagai seorang pakar dalam bidang tersebut.
“Kalau nak diikutkan belajar,
sampai bila-bila pun kita takkan habis belajar. Bukan setakat dalam bidang kedoktoran
ni saja, dalam apa jua yang kita lakukan pun, kita sebenarnya masih lagi dalam
proses mempelajarinya. Contohnya, dalam kehidupan seharian. Setiap hari kita
masih belajar untuk memperbaiki kehidupan kita supaya menjadi lebih baik dari
semalam,” ulas Dr. Fahmi sedikit tegas. Mempamerkan kewibawaannya sebagai
seorang pengarah hospital yang berkaliber.
“Tapi, memang betul pun kata
Razif. Kami bertiga ni pun sebenarnya masih lagi baru dalam bidang ni. Tak
sampai lima tahun lagi pun. Bertuah rasanya dapat bekerjasama dengan doktor
yang lebih berpengalaman,” sampuk Iskandar membalas bagi pihak Razif.
Untuk seketika matanya merayap ke
wajah Zarif.
“Sememangnya masih banyak lagi
perkara-perkara yang berkait dengan bidang ni yang perlu kami pelajari. Dengan
pengalaman yang kurang dan ilmu pengetahuan yang hanya sebesar hama,
doktor-doktor baru seperti kami ni masih memerlukan tunjuk ajar dari orang yang
lebih berpengalaman seperti doktor Zarif.
Apatah lagi tugas kita semua
melibatkan nyawa manusia. Memang pentinglah bagi kami untuk mempelajarinya dari
orang yang mempunyai pengetahuan yang lebih luas,” sambung Iskandar lagi.
“Harap-harap doktor dapat memberi sedikit
sebanyak tunjuk ajar pada kami nanti,”
Kata-kata Razif dibalas dengan
senyuman mekar menghiasi bibir merah Zarif.
“Insya Allah, setakat mana yang
saya tahu, saya akan kongsi dengan semua,” ujar Zarif tersenyum.
Matanya sekali lagi dikerling
ke arah Intan. Gadis itu itu menyimpul senyum ke arahnya. Tenang Zarif
membalas.
“Hmm, baguslah kalau begitu.
Saya harap kamu semua boleh bekerjasama dengan baik bagi meningkatkan lagi
prestasi perkhidmatan di hospital ini. Saya tak mahu ada di kalangan kita yang
bersikap mementingkan diri.
Sebagai doktor, kita
bertanggungjawab untuk memberikan layanan yang terbaik kepada masyarakat tanpa
mengambil kira bangsa, agama mahupun apa saja. Kita perlu sedar, kerjaya kita
ini merupakan satu amanah Tuhan untuk kita lakukan sebaik mungkin.Walau pun
mencabar, itu bukannya alasan untuk kita mengabaikan tanggungjawab yang telah
diberikan,” nasihat Dr. Fahmi panjang lebar.
Matanya merenung silih berganti
wajah-wajah tenang di depannya. Mereka yang mendengar menganggukkan kepala
masing-masing. Mengakui kebenaran kata-kata pengarah hospital itu.
“So, ada apa-apa lagi yang kamu semua ingin perkatakan?” soal Dr.
Fahmi lagi.
Mata Dr. Fahmi memandang mereka
berempat yang hanya mengeleng. Tanda tiada soalan. Seketika pandangannya
tertumpu ke arah Intan yang sedari hanya mendiamkan diri.
“Doktor Intan, kenapa diam saja
dari tadi? Ada apa-apa yang ingin doktor perkatakan?” soal Dr. Fahmi tenang.
Intan tersentak seketika. Lamunan
yang menghantui fikirannya sebentar tadi melayang entah ke mana. Dia tersenyum
sedikit. Digeleng perlahan kepalanya.
“Rasanya tiada apa yang ingin
saya katakan doktor,”
Kepalanya kembali ditundukkan
apabila pandangan matanya bertembung dengan pandangan Zarif yang hanya tersenyum
kecil. Entah mengapa hati wanitanya berdegup kuat setiap kali pandangan matanya
bersabung dengan pandangan lelaki itu.
Dr. Fahmi mengangguk-angguk lagi.
Dipandang wajah yang berada di depannya satu persatu.
“Okeylah. Kalau begitu, sampai
di sini dulu perbualan kita pagi ni. Saya berharap kamu semua dapat memberikan
komitmen yang terbaik dalam menjalankan tugas masing-masing. Semua ni penting bagi
mengekalkan kecemerlangan perkhidmatan hospital ini,” ujarnya mematikan
perbualan mereka pagi itu.
No comments:
Post a Comment