BAB
1
Nina meletak semula gagang
telefon yang berada di tangan. Jari-jemarinya mengutip kertas yang bertaburan
di meja. Segala fail yang berada di atas meja disusun di rak almari kayu di
sudut bilik.
Selesai mengemas, dia melangkah
ke luar pejabat. Mengayun kaki ke bengkel yang terletak bersebelahan dengan
pejabatnya. Dari jauh, bunyi bising dari bengkel kedengaran berdesing di cuping
telinga.
Sampai di muka pintu, Nina
mencekak pinggang. Matanya liar memandang sekeliling. Suasana bengkel yang
penuh dengan pelbagai kenderaan yang belum dan sedang dibaiki menyukarkan
pandangannya. Dia memanjangkan leher, mencari kelibat seseorang. Bola matanya
jatuh pada sesusuk tubuh yang begitu sibuk membaiki sebuah motorsikal berkuasa
tinggi.
“Jimmy, nampak Rafiq tak?” Nina
melaung kuat, cuba melawan bunyi bising yang bergema kuat dari dalam bengkel.
“Jimmy, nampak Rafiq tak?” Nina
melaung lagi apabila tiada sahutan.
Hisy budak ni! Pkak juga
telinganya, rungut Nina dalam hati.
Jimmy, anak muda berbangsa
Portugis itu tersentak. Dia yang begitu leka dengan tugasnya segera memaling
wajah. Serentak itu tangannya menutup suis generator yang menjerit kuat di
sisinya. Untuk seketika suasana sepi
menguasai keadaan.
“Ada apa Cik Nina?” soalnya
sedikit kuat seraya berdiri tegak. Jari-jemarinya menguis tapak tangannya yang
kotor dengan kain buruk yang tersangkut di bahunya.
“Awak nampak Rafiq tak?” Nina mengulangi
semula pertanyaannya tadi. Nada suaranya tidak setinggi tadi.
“Oh, Rafiq. Entah Cik Nina,” Anak
muda itu mengangkat bahu. Panjang tangannya mencuit Indra yang begitu sibuk
membaiki sebuah kereta model Honda Accord tidak jauh dari tempatnya berdiri.
“Ind, kau nampak Fiq tak?” Tanya
Jimmy pula.
Anak muda berketurunan India
itu tersentak. Earphone walkman di tarik
dari sepasang telinganya.
“Kau nak apa Jim?” sedikit
kasar Indra bersuara. Kurang senang diganggu ketika sedang melakukan kerja.
“Aku tanya, kau nampak Rafiq
tak?”
“Kau nak buat apa dengan budak
tu?”
“Bukan aku cari dia tapi Cik
Ninalah,” balasnya menuding jari telunjuk ke satu arah.
Indra menoleh ke arah yang di tunjuk
Jeremy. Dia tersengih memandang Nina yang melangkah pantas ke arahnya.
“Ind, awak nampak si Fiq tak?”
soal Nina sedikit tegas. Bulat matanya memandang anak muda berkulit hitam manis
itu.
“Dia ada kat dalam toilet tu Cik Nina. Dari tadi dia kat
dalam tu. Hah… itu pun dia dah keluar,” unjuk Indra sebaik ternampak Rafiq yang
baru melangkah keluar dari tandas di tepi bengkel.
Serentak Nina dan Jimmy
menoleh.
“Awak ni kenapa Rafiq, semacam
aje saya tengok,” tegur Nina sebaik saja Rafiq menghampiri mereka. Wajah anak
muda itu kelihatan sedikit pucat.
“Entahlah Cik Nina. Dari tengah
hari tadi perut saya ni asyik meragam aje. Salah makan kot,” ujarnya lemah.
Digosok perlahan perut yang terselindung di balik t-shirt kotornya.
“Kau makan apa tengah hari tadi
Fiq, sampai begini jadinya?” soal Jimmy.
Kasihan melihat anak muda itu
sedikit termengah. Sedari tadi anak muda itu berulang alik ke tandas.
“Aku makan nasi macam
biasalah,” balas Rafiq perlahan.
“Kau makan kat mana tadi?” soal
Indra pula.
“Kat warung Mak Minah di tepi
jalan tulah. Tempat yang selalu aku makan tu,” laju Rafiq membalas seraya
mengeluh panjang.
“Ei, kau ni. Bukannya kau tak
tahu. Warung tu bukannya bersih sangat. Itulah yang membuatkan kau kena cirit
birit tu,”
“Selalunya aku makan kat situ
okey je,” tingkah Rafiq.
“Iyalah, selalunya anak dara
Mak Minah, si Milah tu yang masak. Hari ni mak dia pula yang masak. Mestilah
sakit. Ya tak Jimmy,” Indra mengenyit matanya ke arah Jimmy.
Jimmy membalas nakal. Serentak
kedua-duanya tertawa.
“Isy kau orang ni, aku debuk
kang,” balas Rafiq sedikit marah. Menjeling sekilas wajah kedua anak muda yang
galak tertawa itu.
“Hei, hei, dah tu. Ada ada aje
kau orang ni,” pantas Nina menyampuk sekaligus menghentikan usikan mereka.
“Rafiq, awak pergi ke Jalan
Kuching sekarang. Ada kereta rosak kat sana,” arah Nina.
“Macam mana nak pergi Cik Nina?
Perut saya ni tak habis-habis ragamnya,” Rafiq mencipta alasan. Tangannya masih
lagi meraba perutnya.
“Lagi pun petang macam ni, traffic jammed teruklah kat sana Cik
Nina,” ujarnya lagi cuba memancing simpati.
“Saya tahulah tempat tu sesak
sekarang. Awak pergi naik motor. Lepas aje baiki kereta orang tu, awak pergi
klinik. Periksa perut awak tu,” balas Nina.
“Tapi Cik Nina…,”
“Tak ada tapi-tapi lagi,” Nina
menyampuk tegas.
“Dah, pergi sekarang. Nanti
jangan lupa bagi resit ubat awak tu pada Sandra,”
“Cepat,” ujar Nina sedikit
tinggi apabila Rafiq hanya menyeringai memandangnya.
Sekadar mengertak. Agak kelam
kabut anak muda itu mendapatkan motornya yang diparkir di depan bengkel. Seketika
kemudian motornya berderum keluar dari kawasan bengkel itu.
“Hah, yang kau orang berdua ni,
dah tak ada kerja ke? Tersengih-sengih macam kerang busuk tu kenapa?” tengking
Nina bila di lihat Jimmy dan Indra tersenyum-senyum memandang kelakuan Rafiq.
Kelam kabut kedua anak muda itu menyambung tugas mereka.
Nina mengeleng kepalanya
beberapa kali. Dia tersenyum kecil. Dalam hati, dia bersyukur kerana mempunyai
pekerja-pekerja yang begitu rajin dan amanah dalam menjalankan tugas.
Walau pun mereka berbeza umur
hanya beberapa tahun, namun keempat-empat orang pekerja yang bekerja di bawahnya
amat menghormatinya.
“Cik Nina, ada call untuk you,” Jeritan Sandra yang kedengaran dari arah pejabat mematikan
lamunan Nina.
Pantas Nina berpaling. Memandang
Sandra yang telah terpacak di muka pintu pejabat.
“Siapa yang call saya Sandra?” soalnya sedikit kuat.
Cuba melawan bunyi generator yang kembali dipasang.
“Your mother,” balas Sandra kuat.
Nina mengaru-garu kepalanya
yang tidak gatal.
Nak apa pula orang tua tu
petang-petang begini, Nina mengomel sendiri sambil kakinya melangkah pantas ke
pejabat. Merapati meja Sandra yang segera menghulurkan gagang padanya. “Hello,
assalamualaikum ma,” sopan Nina bersuara. Matanya dikerling sekilas ke arah
Sandra yang tunduk menulis sesuatu di depannya.
“Waalaikumussalam. Hah Nina, mama
nak kamu balik rumah hujung minggu ni. Mama ada hal sikit nak cakap dengan
kamu,”
“Hal apa ma?” soalnya malas.
“Adalah. Baliklah dulu. Kamu tu
dah lama sangat tak balik rumah. Bising ayah kamu tu nanti,”
“Insya Allah ma,”
“Jangan nak berjanji je tapi
tak buat. Hah lagi satu, balik tu nanti pakai pakaian yang senonoh sikit. Jangan
pakai pakaian yang macam jantan tu. Tak berkenan langsung mak tengok,”
“Iyalah ma,” balasnya lemah.
“Tak apalah. Itu aje yang mama nak
cakapkan pun. Jangan kamu lupa pula apa yang mama cakapkan ni Nina,”
“Iya mama,” Nina kemudian meletak
gagang setelah membalas salam. Dia menghela nafas kecil.
“Kenapa Cik Nina? Kena sembur dengan
mama Cik Nina lagi ke?” soal Sandra tertawa kecil tatkala melihat wajah muram
Nina.
Sandra yang sedari tadi
memasang telinga mendengar perbualan itu mengulum senyum. Cukup mengerti dengan
riak kelat yang melekat di wajah gadis itu setiap kali selesai berbicara dengan
mamanya.
Nina menjeling sekilas ke arah Sandra.
Wajah gadis berbangsa Iban itu dipandang sejenak. Dia tersenyum pahit.
“Macam biasalah Sand. Bukan
awak tak kenal dengan sikap mama saya tu,” balasnya lemah.
“Ala Cik Nina, biasalah tu
orang tua. Mama Cik Nina marah sebab dia sayangkan Cik Nina. Lagi pun, Cik Nina
kan anak perempuan tunggalnya. Mestilah dia ambil berat pasal Cik Nina,”
“Saya tahu dia sayangkan saya
tapi manalah telinga saya ni nak tahan kalau setiap kali dia call saya saja yang kena bambu,”
“Dia buat macam tu pun demi
kebaikan Cik Nina. Salah Cik Nina juga sebab tak nak dengar nasihat dia,”
“Ewah ewah San, awak mengata
saya pula ya. Dah, dah, sambung kerja awak tu. Tak siap nanti saya potong gaji,
baru awak tahu,” suara Nina sedikit tinggi sebelum bergerak menuju ke biliknya.
Sandra yang memandang gadis itu
berlalu hanya tersenyum kecil. Dia tahu, bosnya itu hanya bergurau. Walau pun
Nina bersikap agar kasar namun dia tahu gadis yang tua beberapa tahun darinya
itu seorang gadis yang berhati baik.
No comments:
Post a Comment