Followers

Saturday, 5 October 2013

BAB 25 - CINTA SEJATI


BAB 25

Lewat petang itu, besan Tan Sri Zulkifli dan Puan Sri Azrina datang berkunjung.
“Jemput minum Man, Yah,” pelawa Puan Sri Azrina kepada kedua-dua besannya.
Dulang kosong di tangan di letak di tepi meja. Dilabuh punggungnya di sebelah Tan Sri Zulkifli yang turut berada di laman rumah banglo itu.
“Lama benar rasanya kau orang berdua tak datang ke rumah kami ni,” ujar Tan Sri Zulkifli.
“Berdua saja ke?” soal Puan Sri Azrina pula.
Datin Kamariah tersenyum lebar.
”Berdua ajelah Rina. Nak datang dengan siapa lagi,” balas Datin Kamariah lembut.
Tangannya mencapai cawan di depannya. Diteguk sedikit air teh yang masih berasap itu.
“Apa khabar Zahida dengan Amir sekarang?” Tan Sri Zulkifli melontarkan pertanyaan.
Surat khabar Sinar Harian yang sedrai tadi berada di tangan diletak atas ribaannya. Dipandang mesra wajah sepasang suami isteri itu silih berganti.
“Alhamdulillah, dia orang suami isteri sihat. Cuma sibuk dengan hal anak-anak. Tahu sajalah budak-budak, bila dah agak besar, nakalnya bukan main lagi.”
“Biasalah tu Yah. Cucu-cucu aku tu pun apa kurangnya. Anak-anak Zaheid tu, kalau berjumpa dengan anak-anak Zafran, riuh rendah dibuatnya rumah ni. Itu belum dikira lagi dengan kedua-dua anak Zarina, Afiq dengan Fatin tu.”
Puan Sri Azrina mengulas panjang perihal cucu-cucu kesayangannya.
Datin Kamariah tersenyum tawar. Wajah cerianya bertukar muram seketika.
“Untunglah kau Rina, ada ramai cucu. Aku ni, harapkan anak-anak Zahida saja yang ada. Nak harapkan Zara, entah di manalah dia dan Zarif berada sekarang,” keluhnya perlahan. Mereka yang mendengar terdiam seketika. Tidak menyangka kata-kata itu akan terkeluar dari mulut Datin Kamariah.
“Zarina dan Imran tak balik ke minggu ni? Dah lama rasanya aku tak jumpa dia orang berdua tu.” Datuk Lukman yang hanya mendiamkan diri sedari tadi menukar topik perbualan mereka. Tidak mahu suasana sedih menyelubungi perbualan mereka berempat malam itu.
“Dah lama juga dia orang tak balik ke mari Man. Imran tu sibuk menguruskan syarikat guaman ayahnya,” cepat Tan Sri Zulkifli membalas.
Datuk Lukman menarik nafas panjang.
“Cepat benar rasanya masa berlalu kan Zul. Sedar tak sedar, semua anak-anak kita dah besar. Dah berkeluarga sendiri pun.”
Datuk Lukman tersenyum kecil. Matanya melirik sekilas ke arah teman baik yang dikenalinya sedari universiti lagi itu.
Tan Sri Zulkifli turut tersenyum. Diangguk kepalanya sekali.
“Betul tu Man. Kita sendiri pun tak sedar yang usia kita semakin hari semakin meningkat. Sedar sedar dah beruban pun.”
Kedua sahabat baik itu tertawa kecil.
“Entah sampai bila agaknya kita boleh tengok dunia ni ya.” Puan Sri Azrina menyampuk perlahan.
“Isy Rina ni, tak baik cakap macam tu. Orang minta dipanjangkan umur, dia pula minta mati cepat.” Tan Sri Zulkifli menegur isterinya.
“Betullah tu bang. Kita bukannya makin muda dari sehari ke sehari. Tak tahu bila rumah kata pergi, kubur kata mari.”
Kata-kata Puan Sri Azrina itu meledakkan tawa kedua lelaki itu.
“Tapikan Rina, aku berharap sangat sebelum aku pergi, aku sempat berjumpa dengan Zarif dan Zara walau hanya sekali.”
Kata-kata yang tiba-tiba terbit dari mulut Datin Kamariah menghentikan tawa mereka. Suasana yang tadi riuh rendah kembali bertukar menjadi sepi. 
“Ya Rina, itu saja yang aku selalu harapkan sekarang. Aku teringin nak peluk mereka lagi. Cukuplah walau hanya sekali,” sambung Datin Kamariah lagi.
Nada suaranya kedengaran begitu sayu. Menampakkan rasa hatinya yang dipagut pilu.
Puan Sri Azrina mengeluh perlahan. Kata-kata kawan baiknya itu turut menyentuh naluri wanitanya.
“Tak tahulah di mana mereka berada sekarang. Tujuh tahun menghilang, langsung tiada khabar berita,” balasnya perlahan.
“Apa yang berlaku tu semuanya salah abang Rina. Kalaulah abang tak menghalau mereka, tentu keduanya masih di sini. Di sisi kita sekarang,” ujar Tan Sri Zulkifli meraup muka dengan tapak tangannya beberapa kali.
Kmudian dia mengeluh kecil. Entah kenapa hati lelakinya tersentuh mendengar butir bicara yang diluah kedua wanita yang seusia dengannya itu.
“Bukan salah kau Zul, tapi salah kita semua. Tak sepatutnya kita kahwinkan dia orang,” Datuk Lukman menyampuk pula.
Tan Sri Zulkifli terdiam seketika. Hatinya mengakui kebenaran kata-kata akhir besannya. Hubungan persahabatan yang terlalu rapat antara Zarif dan Zara telah di salah ertikan mereka. Akibatnya kedua-dua anak itu disatukan tanpa meminta sebarang persetujuan dari mereka.
“Zul, betul kata Man tu. Sebenarnya kita semualah yang salah. Salah menafsirkan hubungan rapat mereka.” Datin Kamariah menyokong kata-kata suaminya.
“Tidak Yah. Dalam soal ni, bukan salah kita sepenuhnya. Zarif dan Zara juga turut bersalah. Mereka tak pernah menerangkan pada kita tentang hubungan mereka. Malah, sewaktu kita nak kahwinkan mereka dulu, tak ada pun dia orang berdua membantah.” Puan Sri Azrina meluah rasa hatinya.
“Aku bersetuju dengan kata kau tu Rina, tapi memang salah kita kerana kita semua langsung tak menanya dulu mereka sebelum mereka pulang dari London dulu. Balik saja ke Malaysia, kita terus kahwinkan mereka. Macam tangkap muat aje lagaknya.” Datuk Lukman membalas tenang.
Puan Sri Azrina mengeleng-geleng. Dia masih tidak berpuas hati dengan kata-kata suami isteri itu.
“Aku tahu itu Man. Tapi itu impian kita semua. Impian untuk melihat Zara dan Zarif bersatu,”
“Apalah gunanya kita bina impian Rina kalau impian itu menjauhkan kita dan anak-anak kita sendiri.” Tan Sri Zulkifli menjawab perlahan kata-kata isterinya.
“Sebenarnya, dalam soal ini, tak ada siapa yang bersalah. Setiap ibu bapa berhak mencipta impian untuk anak-anak mereka. Dan sebagai anak, seharusnya mereka menjadikan impian itu satu kenyataan.” Suara Zaheid yang tiba-tiba menyampuk perbualan mereka mengejutkan semua.
Serentak mereka menoleh.
Zaheid melangkah tenang ke halaman rumah. Balkis mengikutnya dari belakang. Dihulur tangannya. Bersalam. Mereka berdua suami isteri baru saja pulang dari menghantar anak-anak mereka ke rumah Balkis. Telah menjadi kebiasaan mereka untuk menghantar anak-anak ke rumah orang tua Balkis pada hujung minggu bagi merapatkan hubungan dengan kedua orang tua Balkis dan sanak saudaranya yang lain.  
“Betul kata Abang Zaheid tadi tu mak, ayah. Semua yang berlaku ni bukanlah salah sesiapa pun. Semuanya terletak pada diri mereka sendiri. Tak salah kita mencipta impian untuk mereka. Cuma, kedua Zarif dan Zara sebenarnya yang tidak memahami perasaan masing-masing. Sebab itulah mereka tak dapat jadikan impian kita tu satu kenyataan,” ujar Balkis lembut, menyokong kata-kata suaminya sebentar tadi.
“Macam mana mereka nak jadikan impian kita tu kenyataan Balkis kalau dua-duanya tak dapat terima satu sama lain.” Datin Kamariah mencelah kata.
“Itulah silapnya Zarif dan Zara Mak Yah. Mereka merasakan yang hubungan mereka tu sekadar hubungan persahabatan. Tak lebih dari itu. Hakikatnya, mereka mencintai satu sama lain. Buktinya, sehingga kini mereka masih bergelar suami isteri yang sah.”
Kata-kata akhir Zaheid memeranjatkan semua. Masing-masing memandang Zaheid dengan pandangan kurang percaya.
“Mana kamu tahu mereka tu masih suami isteri? Entah-entah dah bercerai pun.”
Puan Sri Azrina menyanggah kata-kata anaknya.
“Mama, setiap perkahwinan itu terletak pada pasangan itu sendiri. Kalau mereka nak pertahankan rumah tangga mereka, mereka sanggup lakukan apa saja demi mempastikan rumah tangga mereka tetap utuh. Kalau tak, terpulanglah.”
“Apa maksud kata kamu tu Zaheid? Kami tak faham,” ujar Tan Sri Zulkifli.
Silih berganti Tan Sri Zulkifli memandang mereka yang lain sebelum beralih pandangan ke arah anaknya.
Zaheid menarik nafas pendek. Dia tersenyum lebar.
“Untuk pengetahuan semua, Zarif dan Zara masih belum bercerai. Mereka masih suami isteri yang sah, tak seperti mana yang kita fikirkan selama ni.” dia membalas tenang.
“Betul ke kata kamu tu Zaheid?” Datuk Lukman menyampuk.
Dalam hati dia berharap anak sahabat baiknya itu tidak berbohong.
Zaheid mengangguk.
“Saya bercakap benar Ayah Man. Saya dah minta tolong Imran untuk memeriksa status perkahwinan Zarif dan Zara. Kata Imran, nama mereka tiada dalam senarai pasangan yang bercerai di Malaysia.”
“Itu di Malaysia. Entah-entah mereka dah bercerai di luar negara,” sampuk Puan Sri Azrina.
“Mama, setiap pasangan yang berkahwin atau bercerai di dalam mahupun di luar negara diwajibkan untuk mendaftarkan status perkahwinan mereka tanpa mengira di mana pun mereka berada. Dengan itu Jabatan Pendaftaran Negara boleh mengenal pasti bilangan sebenar bilangan pasangan suami isteri yang ada.” Balkis menyampuk bagi pihak suaminya.
Selaku bekas graduan lulusan bidang undang-undang sedikit sebanyak dia mengetahui tentang undang-undang perkahwinan di Malaysia yang pernah dipelajarinya di universiti suatu masa dulu.
“Jadi betullah dia orang tu belum bercerai.” Nada suara Datin Kamriah kedengaran ceria.
“Tapi, di mana mereka sekarang?”
Pertanyaan Datin Kamariah membuatkan mereka yang lain kembali membungkam. Masing-masing hanya saling memandang sesama sendiri.
“Dari khabar yang saya dengar, Zarif pernah ke Amerika Syarikat beberapa tahun lepas. Dia menyambung pengajiannya ke peringkat sarjana. Zara pula khabarnya ke Dubai. Saya tak pasti pula sama ada kedua-duanya masih di sana atau sudah pulang ke tanah air.” Tenang Zaheid memberitahu.
Zaheid memandang wajah masing-masing yang hanya memasang telinga.
“Mama dan papa janganlah sedih. Sekurang-kurangnya kita tahu yang mereka masih lagi suami isteri.” Balkis memujuk lembut. Hatinya kasihan melihat kedua mentuanya yang kelihatan begitu sedih.
“Apalah gunanya status suami isteri tu kalau tak tinggal sebumbung,” balas Datin Kamariah.
Wajah Puan Sri Azrina dipandangnya sayu.
“Kamu tak cuba mencari Zarif dan Zara kat rumah mereka tu?” soal Datuk Lukman.
Datuk Lukman tiba-tiba teringat tentang rumah yang dibinanya bersama Tan Sri Zulkifli. Rumah banglo dua tingkat yang terletak di pinggir bandar Rawang itu adalah hadiah dari mereka semua kepada Zarif dan Zara sempena perkahwinan mereka beberapa tahun lalu.
“Sudah Ayah Man. Setiap minggu kami bergilir-gilir ke sana. Menurut orang-orang yang tinggal di kawasan tu, mereka tak pernah nampak Zarif atau Zara balik.”
Mereka terdiam lagi. Jawapan Zaheid benar-benar mengecewakan hati semua.
Tan Sri Zulkifli mengeluh perlahan. Fikirannya menerawang mengingati Zarif dan Zara. Demi menunaikan wasiat ibunya dan memastikan hubungan persahabatannya bersama Datuk Lukman kekal selamanya, dia mengambil keputusan untuk mengahwinkan Zarif dan Zara.
Ketika kedua-dua anak muda itu masih menuntut di London, dia dan Datuk Lukman telah berkongsi membeli sebidang tanah di pinggir bandar Rawang. Dengan bantuan Zafran dan Zaheid, mereka telah membina sebuah banglo di tanah seluas satu ekar itu.
Hiasan dalaman rumah itu direka oleh Zahida dan suaminya Amir. Manakala Zarina, Imran, Balkis dan Aina berkongsi idea membina landskap halaman rumah tersebut. Masing-masing telah memberi yang terbaik untuk kedua-dua adik kesayangan mereka.
Kini, semua itu hanya tinggal kenangan. Sudah hampir tujuh tahun rumah itu dibiarkan kosong. Hanya beberapa bulan rumah itu diduduki Zarif dan Zara sebelum masing-masing dihalau keluar oleh Tan Sri Zulkifli.
Dan sejak itu, baik dia mahu pun Datuk Lukman tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke sana. Hanya anak-anak mereka yang bergilir-gilir menjaga rumah bercat kuning air itu. Kekecewaan yang mendalam terhadap sikap Zarif dan Zara membuatkannya tidak mampu untuk memandang rumah itu lagi.
Bersalahkah mereka pada kami semua? bisik hatinya.
Hanya disebabkan mereka berdua tidak dapat menerima perkahwinan itu, aku sanggup menghalau mereka. Ayah jenis apa aku ni, keluh hatinya lagi.
Sepatutnya sebagai ayah, aku menanya dulu pendapat mereka, bukannya memaksa mereka mengikut segala kemahuan yang kami semua harapkan.
“Papa.”
Tan Sri Zulkifli tersentak. Pecah segala khayalan yang wujud dalam fikirannya sebentar tadi. Wajah Zaheid yang tersenyum kecil padanya dipandangnya sekilas.
“Dahlah tu pa. Jangan difikirkan sangat semua tu. Insya Allah semuanya akan menjadi seperti sedia kala suatu hari nanti. Dah lewat malam ni. Ayah Man dan Mak Yah pun dah nak balik.” Zaheid bersuara lagi.
Tan Sri Zulkifli beristighfar panjang. Dia hanya mengangguk sebelum bangun mendapatkan Datuk Lukman dan Datin Kamariah yang telah berlalu ke kereta mereka.

“Macam mana dengan keadaan mak saya doktor?” soal Sarah sebaik saja ternampak kelibat Zarif yang baru keluar dari bilik rawatan pesakit. Pantas dia bangun dari duduknya mengadap Zarif yang mempamerkan wajah tenang.
Zarif tersenyum sedikit. Dia membalas tenang pandangan Sarah yang kelihatan begitu resah. Mata kuyu itu kelihatan sarat dengan keletihan yang membebani tubuh wanita itu.
“Mak awak tak apa-apa Sarah, sepatutnya awak bawa mak awak ke hospital dengan lebih awal.”
Sarah menelan liurnya. Hatinya sedikit berdebar mendengar kata-kata Zarif.
“Apa maksud doktor?”
Tajam matanya memandang Zarif yang kelihatan serba salah untuk bersuara.
Zarif menarik nafas panjang. Dia menundukkan kepalanya seketika sebelum kembali memandang wajah Sarah yang resah menanti butir jawapannya.
“Mengikut pada pemeriksaan yang saya lakukan sebentar tadi, mak cik Rahimah mempunyai tanda-tanda yang menunjukkan dia di jangkiti penyakit tibi,” beritahu Zarif.
Sarah tergamam seketika. Jari jemari runcingnya menutup mulutnya yang sedikit terbuka. Kelopak matanya dirasakan panas. Tidak lama, mutiara-mutiara jernih mula menuruni pipinya. Dia terduduk kembali di bangku di tepi pintu bilik itu.
“Ada harapan tak untuk mak saya sembuh doktor?”
Suara Sarah kedengaran tenggelam timbul. Hilang dalam tangisannya yang mula kedengaran perlahan.
Zarif menarik nafas panjang.
“Awak jangan bimbang Sarah. Penyakit tu masih di peringkat awal. Asalkan makcik Rahimah mengikut nasihat doktor dan mengambil ubat seperti yang telah ditetapkan, Insya Allah dia boleh sembuh.”
Sarah menangis lagi. Bahunya terhenjut-henjut menahan tangisan. Kedua-dua tangan menutup mukanya. Hatinya kesal kerana tidak memaksa ibunya ke hospital walau pun dia sedar ibunya kurang sihat sejak beberapa bulan yang lalu. Dia terlalu sibuk dengan pekerjaannya hingga tidak memikirkan tentang kesihatan ibunya.
Zarif menghempas punggungnya di sebelah Sarah. Di pandang wanita itu dengan rasa simpati yang melimpah.
“Sarah, boleh saya tahu macam mana awak boleh bawa mak awak ke sini?” Zarif menyoal tenang.
Setahunya, orang tua seperti mak cik Rahimah begitu susah dipujuk ke hospital walaupun dalam keadaan sakit tenat.
Sarah kembali mengangkat kepala. Air mata yang masih mengalir di pipi dikesat perlahan.
“Masa saya balik dari kolej tadi, saya ternampak mak terbaring di ruang tamu. Saya cuba bangunkan mak beberapa kali tapi mak langsung tak sedarkan diri,” ujar Sarah sayu.
“Saya bukan anak yang baik doktor. Mak seorang pun saya tak mampu nak jaga dengan baik hinggakan dia di serang penyakit seberat itu.”
Sarah kembali menangis. Membiarkan sekeping hati miliknya dimamah rasa kesal yang menggunung. Sesal pada kesibukan diri mencari harta dunia hinggakan alpa pada tanggungjawab seorang anak yang tergalas di bahunya.
Zarif mendengus perlahan.
“Jangan cakap macam tu Sarah. Selama ini, awak dah jalankan tanggungjawab seorang anak dengan cukup baik pada ibu awak tu. Jangan salahkan diri sendiri atas apa yang berlaku.”
Sarah tidak membalas kata-kata lelaki itu. Dia masih menangis.
Zarif melepaskan keluhan panjang. Wajah muram wanita itu dipandang sekilas.
“Sudahlah tu Sarah. Tak usahlah awak menangis lagi. Hari pun dah lewat malam ni. Awak baliklah dulu. Esok awak nak mengajar di kolej. Nanti mengantuk pula dalam kelas. Tentang mak awak tu, tak perlulah awak risau, jururawat di sini boleh menjaganya. Lagi pun saya bertugas malam ni.”
“Tapi saya risau doktor. Kalau jadi apa-apa pada mak saya nanti…”
“Sarah.” pantas Zarif memotong kata.
“Kan saya dah kata, buat masa sekarang, mak awak tak apa-apa. Insya Allah, dia akan selamat. Janganlah awak risau. Saya akan berusaha menjaganya sebaik mungkin,” ujar Zarif cuba membenamkan keresahan yang bersarang di hati wanita itu.
“Sudahlah tu Sarah. Awak baliklah dulu. Awak masih ada tangggungjawab lain yang perlu awak lakukan. Jangan hanya kerana ini awak abaikan segalanya,” sambung Zarif bila di lihat wanita itu hanya mendiamkan diri.
Sarah kembali memanggung kepala sebelum memandang sekilas wajah Zarif. Hatinya mengakui kebenaran kata-kata doktor itu. Dia masih mempunyai tanggungjawab lain yang perlu dilakukannya. Tanggungjawab sebagai seorang pendidik dalam menebar ilmu pengetahuan pada anak bangsa.
Perlahan, dia menganggukkan sebelum tersenyum tawar ke arah Zarif yang membalas tenang. 

No comments:

Post a Comment