Followers

Saturday, 5 October 2013

BAB 21 - CINTA SEJATI


BAB 21

Tengah hari itu, tiga sekawan, iaitu Anas, Safuan dan Radhi berjumpa di kedai makan Lebai Ahmad. Tempat biasa mereka menghabiskan masa.
“Hei Nas, kau perasan tak, sejak akhir-akhir ni, awek kau tu bukan main rapat lagi dengan doktor dari hospital besar tu,” ujar Safuan.
Safuan memandang Anas yang duduk mengadapnya. Mereka berdua bersama Radhi berada di kedai itu menikmati makan tengah hari.
Lantas Anas meletakkan gelas berisi air sirap di tangannya ke atas meja. Wajah Safuan yang penuh dengan jerawat batu itu dipandang dalam-dalam.
“Doktor yang mana?” soalnya sedikit ragu. Kurang pasti.
“Ala kau ni Nas, lembablah. Doktor yang selamatkan awek kau dari mati lemas tulah.”
“Mana kau tahu Fuan?” sampuk Radhi pula.
Radhi memandang Safuan menghembus asap rokok. Berkepul-kepul keluar dari rongga mulutnya yang terbuka luas.
“Aku tahulah. Mak aku cakap, Ila selalu hantar makanan pada doktor tu,” balas Safuan.
Wajah Anas yang memandang tajam padanya dipandang sejenak.
‘Kau biar betul Fuan,” Anas bersuara geram.
Hatinya mula diterkam rasa marah mendengar kata-kata yang keluar dari mulut teman baiknya itu.
“Sumpah Nas, kalau kau tak percaya, kau tanyalah Ila sendiri.”
Safuan mula mencucuk jarum. Ditekan sedikit nada suaranya. Cuba menyakinkan anak muda itu. Tangannya menarik sebatang lagi rokok dari kotak berjenama Salem yang terdampar di atas meja. Dinyalakan api sebelum di sedutnya rakus.
Anas hanya memandang gelagat temannya itu. Fikirannya ligat memikirkan kata-kata Safuan.
“Ha, pucuk dicita ulam yang mendatang Nas. Itu buah hati kau dah sampai. Kau pergilah tanya dia,” ujar Radhi menuding jarinya ke satu arah.
Anas pantas berpaling. Matanya memandang arah yang ditunjukkan Radhi. Segera dia bangun mendapatkan Laila yang memberhentikan basikalnya di hadapan kedai Mak Munah.
Radhi dan Safuan hanya tersengih nakal memandang kelakuan anak muda itu.
“Ila!” Anas menjerit kuat.
Tidak dihirau pandangan beberapa orang kampung yang turut berada di kedai kopi itu. Masing-masing hairan melihat kelakuan anak muda berkulit sawo matang itu.
Laila yang sedang menyandarkan basikal di tiang kedai segera menoleh ke belakang. Dipaling wajahnya ke arah lain sebaik saja terlihat Anas berjalan laju ke arahnya. Tanpa menghiraukan Anas yang menjerit memanggilnya, dia melangkah masuk ke kedai.
“Ila!” Anas menjerit lagi.
Langkahnya dipercepatkan. Turut menapak masuk ke kedai runcit itu.
“Hei Ila, kau dengar tak aku panggil kau ni?” jeritnya lagi. Lebih kuat dari tadi.
Anas mendekati Laila yang sedang memilih barang di rak. Gadis itu seakan tidak menghiraukan kehadirannya. Ditarik kasar tubuh gadis itu supaya mengadapnya.
Laila mengelak pantas. Cuba menjarakkan tubuhnya dari tubuh anak muda itu.
“Nak apa?” Acuh tak acuh Laila bertanya.
Pandangannya dipaling ke arah lain. Benci.
“Betul ke seperti yang dikata orang sekarang?”
Tanpa mempedulikan pandangan gadis itu Anas menyoal tegas. Tajam matanya menjalari wajah bersih itu. Laila berpura-pura tidak mendengar pertanyaan itu. Dia kembali berpaling ke arah rak sebelum menarik keluar barang yang ingin dibelinya.
Anas yang memandang gelagatnya mendengus geram.
“Hei, kau dengar tak aku tanya ni?”
Pantas ditariknya tangan gadis itu sebelum digenggamnya kuat.
Laila terjerit kecil.
“Eii, apa ni, sakitlah!”
Laila cuba menarik semula tangannya namun gagal. Genggaman anak muda itu terlalu kuat.
“Nas, kenapa kamu buat begitu? Tak baik buat macam tu pada anak orang,” tegur Mak Munah.
Mak Munah yang sedari tadi memandang tingkah mereka menegur lembut, mengerti dengan sikap Anas yang agak panas baran.
“Mak Munah jangan nak menyibuk! Jaga hal sendiri sudah!” tengking Anas kuat.
Dijegil matanya tajam ke arah wanita tua itu sekilas sebelum kembali merenung wajah Laila yang masih berusaha melepaskan genggamannya.
Pemilik kedai runcit itu terdiam. Hatinya bimbang sekiranya anak muda itu melakukan sesuatu yang berada di luar dugaannya di dalam kedai itu.
“Kau dengar tak aku tanya kau ni?” Anas mengulangi pertanyaannya. Nada suaranya kedengaran keras.
“Apa?”
Laila menjeling marah. Dia masih berusaha melepaskan genggaman anak muda bertubuh tegap itu.
“Betul kau ada hubungan dengan doktor tu?” soal Anas keras.
“Doktor mana?” soal Laila geram. Pura-pura tidak mengerti. 
“Kau jangan buat tak tahu pulak, Ila. Doktor mana lagi kalau bukan doktor yang kerja kat hospital besar tulah,” jawab Anas semakin keras.
Matanya tidak lepas dari memandang wajah bersih gadis itu. Genggaman terhadap Laila dikuatkan lagi.
“Betul ke kau ada apa-apa dengan doktor tu?” soalnya lagi. Masih keras seperti tadi.
“Yang kau sibuk sangat kenapa?” Nada suara Laila kedengaran tinggi.
“Mestilah aku sibuk, kau tu girlfriend aku,” bentak Anas semakin keras.
Laila menyentak tangannya sekuat hati. Genggaman anak muda itu terlepas. Wajah Anas merah padam menahan marah di pandang tepat.
“Hei Nas, cubalah kau fikir baik-baik, selepas apa yang kau cuba lakukan pada aku di sungai tempoh hari, kau masih tak rasa malu ke menganggu aku?”
Laila kembali bersuara perlahan namun tegas. Mata yang mula digenangi air, disekanya perlahan.
“Kerana perbuatan keji kau tulah, aku hampir-hampir kehilangan nyawa.” Laila bersuara lagi. Cuba menepis perasaan sebak yang mula menyerang hati.
“Sepatutnya kau bersyukur. Aku tak laporkan pada polis pun dah cukup baik.”
Ditolak sedikit tubuh tegap anak muda itu sebelum kakinya melangkah pantas ke kaunter kedai.
Anas terdiam seketika. Matanya hanya memandang sekilas Laila yang berlalu meninggalkannya. Kepalanya ditundukkan sedikit. Sedar dengan kesilapan yang dilakukannya pada hari itu. Mana mungkin dia dapat melupakan peristiwa itu.
Hanya kerana dirinya dicabar Safuan dan Radhi, dia hampir mencabul kehormatan Laila ketika gadis itu dalam perjalanan pulang dari balai raya.
Sewaktu Laila cuba melepaskan diri, Laila telah tersalah arah. Gadis itu berlari ke arah sungai. Dia turut berlari mengikut langkah gadis itu dari arah belakang. Tanpa disangka, Laila terjatuh ke dalam sungai ketika mereka berdua sedang bergelut. Dia yang ketakutan melihat gadis itu menjerit meminta tolong, terus melarikan diri.
Anas kembali mengatur melangkah, mendapatkan Laila yang sudah menapak keluar dari kedai. Dia berdiri membelakangi tubuh gadis itu.
“Ila, aku minta maaf atas apa yang aku lakukan pada kau hari tu. Aku tak berniat pun nak buat begitu pada kau.” Perlahan dia bersuara.
Memandang sayu wajah gadis itu yang menoleh ke arahnya. Sememangnya tidak pernah terlintas di hatinya untuk melakukan perbuatan terkutuk itu. Seburuk mana pun sikapnya, dia masih tahu batas-batas agama yang dipelajarinya sedari kecil.
Laila mengeluh perlahan. Wajah bersalah anak muda itu dipandangnya sekilas.
“Sudahlah Nas, aku pun dah tak mahu ingat lagi perkara tu. Cuma yang aku harapkan, kau jangan ganggu lagi hidup aku.”
Laila sedar, Anas tidaklah sejahat yang difikirkannya. Sejak dari kecil dia amat mengenali sikap anak muda itu. Anas seorang anak muda yang baik dan bersopan.
Hanya sejak pulang dari luar negara beberapa tahun lalu menyebabkan anak muda itu mula berubah sikap. Berubah menjadi seorang pemuda yang liar dan biadap. Mungkin kerana terpengaruh dengan budaya masyarakat di luar negara menyebabkan anak muda itu bertindak sedemikian padanya.
Laila mula menghayunkan kaki ke arah basikal. Diletak barang-barang yang dibelinya ke dalam bakul. Dia menyorong perlahan basikalnya menuju ke jalan besar.
Anas segera mengikut langkah Laila. Didepa kedua belah tangannya. Cuba menghalang laluan gadis itu.
“Ila, aku betul-betul minta maaf. Aku bukannya sengaja nak ganggu kau selama ni. Aku, aku sebenarnya sayangkan kau.”
Tanpa segan silu Anas meluahkan perasaannya. Sememangnya itulah rasa hatinya terhadap gadis berlemah lembut itu. Ikhlas dari lubuk hatinya. Dia cuba menghambur rasa cinta yang bercambah terhadap gadis itu sejak kali pertama dia kembali menjejak kaki ke kampung itu namun sikap Laila yang seakan dingin dengannya menyebabkan Anas bertindak menganggu gadis itu setiap masa. 
Matanya memandang tepat pada Laila yang hanya mencebik bibir.
”Sayang? Huh Nas, sebelum kau nak mengatakan sayang pada aku, cubalah kau fahami dulu erti perkataan sayang tu. Kalau betullah kau tahu maksud sebenar perkataan tu, kau takkan bersikap seburuk ini. Sayangi dulu diri kau sebelum kau nak sayangi diri orang lain.”
Laila kembali berpaling. Dituntun basikalnya hingga ke tepi jalan besar.
Anas berdengus kecil. Hatinya yang terasa sejuk sebentar tadi terasa kembali mendidih panas. Dia kembali mendapatkan Laila.
 “Hei Ila, tak perlu kau nak ajar aku semua itu. Soalnya sekarang, betul ke kau ada hubungan dengan doktor tu?”
Anas kembali meninggikan suara. Diungkit semula pertanyaannya tadi.
Laila yang sudah berada di atas basikal menoleh ke arahnya sekilas.
“Kalau ya, kenapa?”
Tanpa menunggu jawapan anak muda itu, dia segera mengayuh basikal. Meninggalkan Anas yang mengetap geram bibirnya.
Anas mengepal buku limanya.
“Nampaknya doktor tu cari nahas dengan aku. Dia tak kenal lagi siapa aku. Jaga kau.” Anas berdengus marah.
Darah panas kembali mengelegak dalam hati mudanya. Hilang perasaan kesal yang wujud dalam dirinya sebentar tadi.

No comments:

Post a Comment