Followers

Saturday, 5 October 2013

BAB 22 - CINTA SEJATI


BAB 22

Intan sedang menulis sesuatu di atas mejanya bila dia ditegur oleh satu suara dari arah belakang. Pantas Intan menoleh.
“Oh, awak Is. Saya ingatkan siapa?”
“Tan, jom kita keluar makan. Dah lama rasanya kita tak keluar makan bersama,” pelawa Iskandar sambil menghampiri Intan yang sibuk menulis sesuatu di mejanya.
Intan mendongak seketika sebelum kembali menundukkan muka. Raut wajahnya kelihatan serius.
“Malaslah saya nak keluar. Lagipun saya sibuk sekarang. Banyak lagi kerja yang perlu saya lakukan ni,” balas Intan sedikit tegas.
Iskandar mengeluh kecil. Ditarik kerusi yang ada di depan gadis itu sebelum dilabuh punggungnya. Wajah Intan yang kelihatan tegang dipandang lembut.
“Takkan nak keluar makan sekejap pun tak boleh. Jomlah Tan.” Iskandar masih tidak putus asa memujuk.
Intan mendengus kasar.
“Awak tak faham bahasa ke Is? Kan saya dah kata saya sibuk, awak pergilah dengan orang lain.”
Suara Intan kedengaran sedikit tinggi. Rimas dengan pujukan lelaki itu.
“Takkan nak temankan saya makan sekejap pun tak boleh. Sibuk sangat ke?”
Iskandar turut mula meninggikan suara. Hatinya sedikit terbakar melihat sikap Intan yang seakan acuh tak acuh melayannya.
Intan mendongakkan kepalanya semula. Pen di tangan dihempas kuat ke atas meja. Dia memandang wajah tegang Iskandar dengan pandangan marah.
“Kalau saya kata saya sibuk, maksudnya saya memang sibuk. Faham?”
Bulat matanya membalas pandangan Iskandar yang tajam merenungnya.
Iskandar mendengus kasar. Tubuhnya disandar ke kerusi.
“Ooo, kalau nak keluar dengan saya, sibuk selalu. Kalau dengan Rif tu tak sibuk pula,” ujar Iskandar sinis.
Air muka Intan berubah seketika. Terkejut dengan kata-kata yang terbit dari mulut lelaki bertubuh tinggi lampai itu.
“Awak ni kenapa Is? Tiba-tiba saja cakap macam tu,” soal Intan.
Dia tidak sangka kata-kata begitu akan terkeluar dari mulut lelaki berkumis nipis itu.
Iskandar tersenyum sinis. Wajah Intan yang sedikit tergamam dengan kata-katanya dipandang tepat.
“Betulkan dengan apa yang saya cakap?” ujarnya lagi.
“Apa yang awak merepek ni? Saya tak fahamlah Is,” gadis itu menjawab.
Bola matanya dilarikan ke arah lain. Tak mampu rasanya melawan tikaman mata tajam lelaki itu. Iskandar menegakkan tubuh. Kedua tangannya diletakkan di atas meja. Matanya memandang tajam wajah Intan yang sedikit menunduk. Wajah lelaki itu kelihatan serius.
“Saya nak tahu Intan, apa hubungan awak dengan Rif tu?”
Intan sedikit tersentak dengan pertanyaan itu namun cepat-cepat dia mengawal dirinya.
“Hubungan apa? Saya dengan dia kawan saja. Kawan sekerja,” balasnya.
“Oh, kawan?”
Iskandar tertawa sinis. Kening kanannya terangkat sedikit.
 “Kawan yang setiap masa berkepit berdua ke hulu ke hilir, begitu?” soalnya keras. 
Intan menjelingnya sekilas. Geram mendengar kata-kata lelaki itu. 
“Awak jangan nak buat cerita Is. Saya dengan dia tak ada apa apa pun.”
“Tak ada apa apa awak kata? Awak ingat saya ni buta ke Intan? Mata kepala saya sendiri nampak awak berdua-duaan dengannya. Bukan main mesra lagi,” ujar Iskandar dengan nada tinggi.
Mujurlah hanya mereka berdua yang berada di dalam bilik rawatan pesakit itu.
“Yang awak marah sangat ni kenapa? Salah ke saya rapat dengan dia?”
“Memang salah pun Tan. Awak tu tunang saya. Bakal isteri saya!” Tengkingnya kuat.
Wajahnya kelihatan merah padam. Cuba menahan marah yang mula menguasai diri.
“Ooo, saya bertunang dengan awak, maksudnya saya tak boleh nak berkawan dengan sesiapa pun, begitu?” suara Intan tidak kurang rendahnya.
Iskandar mendengus kasar. Tajam matanya membalas pandangan marah gadis itu.
“Berkawan pun ada batasnya Tan. Kalau dah sampai tahap terlalu mesra itu bukan berkawan lagi namanya.”
Iskandar memperlahan sedikit nada suaranya. Sedar mereka masih berada di dalam bangunan hospital.
Intan menarik nafas kasar. Dia memandang sekilas wajah Iskandar sebelum memalingkan wajahnya ke arah lain.
“Malas saya nak bertekak dengan awak lagi Is. Ikut suka hati awaklah nak cakap apa pun.”
Intan menolak keras kerusinya. Pantas dia bangun. Membuka seluas mungkin pintu biliknya. Matanya memandang tajam Iskandar yang terpinga-pinga dengan tindakan tiba-tibanya itu.
“Saya ada banyak lagi kerja yang nak dibuat. Kalau awak tak keberatan, tolong keluar dari bilik saya sekarang.” Intan bersuara tegas. Wajahnya dipaling ke luar bilik.
Iskandar menghembus nafasnya. Kasar. Perlahan dia bangun. Matanya memandang sekilas wajah Intan sebelum dia melangkah keluar dari bilik itu.
Intan menghempas pintu bilik sekuat hati. Berdentum bunyinya. Mengejutkan orang-orang yang berada berdekatan bilik itu. Namun Intan tidak peduli. Tubuhnya disandar di daun pintu. Nafasnya ditarik panjang sebelum dilepaskannya semula.
Seketika Intan mengeluh. Dia sedar, apa yang telah berlaku di antaranya dan Iskandar adalah kerana kesilapannya sendiri. Dia sendiri mengakui, tiada yang kurang pada diri Iskandar namun entah mengapa hatinya terpaut pada Zarif sejak kali pertama mereka bertemu.
Mungkin kerana sikap lelaki itu yang mudah mesra dan tidak lokek untuk menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja menyebabkan hatinya tertawan. Mungkin juga sikap tenang lelaki itu membuatkan hatinya terpaut.
Dan kemungkinan juga kerana pertunangannya dengan Iskandar bukan di atas kehendaknya sendiri tetapi di atas kehendak keluarganya. Dia terpaksa menerimanya walau pun selama ini dia hanya menganggap Iskandar sekadar kawan biasa.
Intan mengeluh lagi. Lebih panjang dari tadi. Perasaan cintanya terhadap Zarif tak mungkin akan terpadam. Baginya, cinta terhadap lelaki itu adalah cintanya yang pertama. Perasaan indah itu tidak pernah wujud selama dia mengenali Iskandar walaupun dia telah mengenali tunangnya itu sejak mereka di universiti lagi.
Perlahan Intan menghembus nafasnya. Dalam hati, dia berazam akan berusaha untuk mendapatkan cintanya walau pun dia sedar hati Zarif terlalu payah untuk ditakluki. Dia akan berusaha sedaya upaya untuk meraih cinta lelaki itu walau pun Zarif bersikap seolah-olah tidak mengerti isi hatinya.
Dan dia juga sedar, demi mendapatkan lelaki itu, dia terpaksa melukakan hati ramai orang yang disayanginya. Hati keluarganya. Hati Iskandar.
Intan mengeluh lagi. 

No comments:

Post a Comment