BAB
3
Yashmaan melemparkan pandangan
ke luar cermin pintu balkoni. Matanya terpaku ke arah jalan raya yang sibuk. Dari
tingkat tertinggi hotel itu dia dapat melihat bandaraya Dubai yang bersesakan
dengan kenderaan.
Telah menjadi kebiasaan bagi
penduduk kota yang sedang pesat membangun itu menjalankan aktiviti seharian
mereka di awal pagi. Ditambah dengan pembinaan bangunan-bangunan yang dilakukan
hampir di setiap sudut kawasan menjadikan bandaraya itu kelihatan sesak.
Yashmaan masih berdiri di situ.
Pandangannya di hala pula ke arah pantai Jumeirah yang terletak tidak jauh dari
hotelnya. Dari jauh matanya dapat menangkap pemandangan yang begitu indah
menghiasi keadaan sekitar pantai yang terkenal di seluruh dunia itu.
Sesekali matanya melirik ke
arah jam yang tergantung di dinding.
Baru pukul 10, getusnya
perlahan.
Penat berdiri, dia menarik kerusi
di sebelahnya. Dihempas tubuh sasanya ke kerusi kayu itu. Mengadap komputer
yang sejak tadi terpasang. Jari jemarinya mula mengerakkan tetikus komputer.
Mencari sesuatu. Namun tak lama, gerakannya terhenti. Bosan menguasai dirinya.
Perlahan dia mendengus kecil.
Nak buat apa sekarang ni? Dia
mengomel sendiri. Kedua-dua belah tangannya diletak di belakang kepala.
Bersandar seketika. Matanya di pejam rapat. Dia berkhayal seketika.
Bunyi ketukan di pintu
membuatkan matanya kembali terbuka. Tubuhnya kembali ditegakkan tatkala daun
pintu dibuka dari luar.
Roselle, setiausahanya yang
berasal dari Belgium melangkah sopan menghampiri mejanya.
“Mr. Yashmaan, you have letter from Scotland,” sambil
tersenyum kecil gadis manis itu menutur lembut.
“Give it to me,” balas Yashmaan.
Tangannya mencapai huluran
kertas gadis bertubuh genit itu. Dibacanya sekali imbas.
“Anything else, Rose?”
Tanpa mengangkat muka, dia
menyoal perlahan.
Roselle mengelengkan.
“That’s all, sir,”
Yashmaan mengangguk lagi. Di
dongak seketika wajahnya. Matanya di kerling sekilas ke arah pintu sebelum
dialih semula pandangan ke arah gadis itu.
Mengerti
dengan maksud pandangan itu, Roselle segera meminta diri untuk keluar. Yashmaan mengukir senyum.
“So, macam mana dengan meeting
semalam?”
Zara melontarkan soalan sebelum
sempat dia melabuhkan punggung. Wajah Mahfeez yang duduk bersandar di depannya
di pandang tepat. Lelaki itu tersenyum panjang.
“Kalau iya pun, kau duduklah
dulu,” ujar Mahfeez.
Kemudian Mahfeez menyorong gelas
berisi air limau ke depan Zara.
“Minumlah, aku pesan sebelum
kau sampai tadi,” ujarnya lagi.
Zara tersenyum lebar. Lelaki itu memang mengetahui citarasanya. Mahu
tak mahu terpaksa juga Zara melabuhkan punggungnya di situ.
“Okey, aku dah duduk sekarang. So, jawablah soalan aku ni. Macam mana
dengan meeting semalam?”
Pertanyaannya diulang semula.
Jarinya mencapai penyedut minuman sebelum menyedut perlahan air limau. “Manis,” detik hatinya.
“Well,
diaorang setuju nak berikan projek tu pada syarikat kita,” beritahu Mahfeez,
senyuman di bibirnya melebar.
“Are you serious?” soal Zara.
Matanya memandang tepat bola
mata lelaki berkumis nipis itu. Mulutnya sedikit terbuka. Seakan tidak percaya
mendengar kenyataan yang baru keluar dari mulut temannya itu.
“Of
course I’m serious Zara,”
balas Mahfeez tenang.
Dia masih tersenyum lebar. Mata
kanannya dikenyitkan sekali ke arah wanita itu.
“Are you sure?” Zara inginkan kepastian, nada suaranya ditekan
sedikit.
“Yes, I’m very sure about this,”
Geli hati Mahfeez melihat wajah
Zara begitu. Wajah wanita itu tidak menampakkan keyakinan pada setiap butir katanya
sebentar tadi.
Zara menarik nafas panjang.
“Aku rasa macam tak percaya
saja,”
Lambat-lambat dia bersuara.
Tangannya mencapai semula gelas berisi air limaunya. Disedutnya sedikit.
Mahfeez tertawa kecil.
“Hei, come onlah Zara. Ini Mahfeezlah.”
Lelaki itu tersenyum lagi. Di angkat
sedikit kening kanannya. Menampakkan rasa megah yang menapak di jiwa lelakinya.
Zara yang memandang segera mencebik
bibir.
“Huh, bongkaknya,” ujar Zara, dijeling
sekilas sebelum dihembus nafas pendek.
“Bukan aku aku tak percaya dengan
kau Feez, tapi hairan. Macam mana dia orang setuju untuk bekerja sama dengan
syarikat kita walhal bukannya senang nak dapat projek pembinaan hotel bertaraf
lima bintang itu,” ujar Zara lagi.
“Ala Za, apa yang nak
dihairankan sangat tentang tu. Kalau prestasi sesebuah syarikat tu baik, tak
kiralah besar atau kecil, semua tu takkan jadi ukurannya untuk mendapatkan
sesuatu projek,” tukas Mahfeez.
“Lagipun Za, bukankah syarikat tempat kita
bekerja tu milik orang Arab? Of courselah
peluang untuk syarikat kita nak dapat projek hotel tu besar,” ujarnya lagi.
Zara sekadar mengangguk.
Bersetuju dengan pendapat teman baiknya itu.
“Nampaklah tahun ni gaji kau
akan bertambah lagilah Feez,”
Zara mengerdip kelopak matanya
beberapa kali. Tangan kirinya menopang dagu sambil matanya memandang tepat
lelaki bertubuh sederhana itu.
“Inilah yang dikatakan rezeki,”
Pantas Mahfeez membalas.
Zara hanya tersenyum.
”Kau tengok muka aku ni, muka
rezeki kau tau. Senang-senang je aku dapatkan projek tu,”sambungnya.
“Yelah tu. Ini bukan rezeki,
tapi nasib namanya,”
Zara segera menyangkal. Sekadar
mengusik lelaki yang dikenalinya sejak tiga tahun yang lalu.
Mahfeez menjeling sedikit.
Hilang senyuman yang menghiasi wajahnya. Hatinya kini digigit geram mendengar
tutur kata wanita itu. Walau pun dia tahu wanita itu sekadar bergurau namun
entah mengapa hatinya bagaikan terasa.
“Ikut suka hati kaulah Za, nak
kata apa pun. Yang penting, kita dah dapat projek tu,’ Nada suara Mahfeez
kedengaran seakan merajuk, jauh hati dengan sikap Zara yang seolah-olah tidak
yakin dengan kebolehannya.
Zara yang memandang tersenyum
geli hati. Dia sedar, adakalanya lelaki yang muda tiga tahun darinya itu
bersikap kebudak-budakan. Pantang disakat, pasti akan merajuk namun rajuknya
itu tidak lama.
“So, kau buat apa tadi sebelum ke sini?” Mahfeez mengalih topik
perbualan.
Mahfeez tahu, Zara tak akan
cuba untuk memujuknya jika dia merajuk walaupun adakalanya dia benar-benar
terasa dengan sikap wanita itu.
“Hmm, macam biasa. Hujung
minggu begini, aku kemas rumah, memasak, basuh baju, mengadap komputer…,”
“Tunggu e-mel dia,” Pantas
Mahfeez mencelah. Mempamerkan senyuman sinisnya.
Wajah Zara yang sedari tadi
kelihatan ceria berubah menjadi sedikit keruh. Dia mendengus perlahan. Dijeling
sedikit wajah lelaki itu dengan ekor matanya.
“Iya kan?” Mahfeez kembali bersuara. Nada
suaranya kedengaran seakan menyindir.
Zara tidak membalas. Dipaling
wajahnya ke arah sungai Greek yang mengalir deras bersebelahan dengan restoran
tempat mereka berada pagi itu. Matanya menyusuri arus sungai yang keruh,
sekeruh hatinya yang dilanda badai dek tujahan kata Mahfeez.
Mahfeez melebarkan senyuman. Disandar
semula tubuhnya ke kerusi. Kedua tangannya memeluk kemas tubuhnya. Matanya mula menjelajah segenap pelosok wajah
putih bersih milik Zara.
“Betulkan kata aku?” Mahfeez
bersuara lagi. Pelukan di tubuhnya dikejapkan.
Zara tidak menyahut. Membiarkan
saja soalan lelaki itu berlalu tanpa jawapan.
Melihat kelakuan Zara yang
hanya mendiamkan diri, perlahan Mahfeez menarik nafas panjang. Dia tahu, wanita
bertudung biru di depannya itu terasa dengan kata-katanya. Dia tidak bermaksud
untuk menyakiti hati wanita itu.
Dalam diam, dia mengakui wanita
bertubuh tinggi lampai itu berjaya menawan hati lelakinya sejak kali pertama
mereka bertemu. Sifat kewanitaan yang menonjol dalam diri Zara menyebabkan
hatinya begitu menginginkan wanita itu menjadi miliknya. Namun begitu, dia
sedar, mana mungkin dia akan dapat memiliki hati wanita impiannya itu. Tak
mungkin!
Mahfeez melepaskan keluhan
kecil. Matanya masih melekat pada wajah keruh itu.
”Bertuahkan dia Za, dapat isteri
secantik kau. Ada segalanya. Sayang, dia tak tahu menghargai pemberian Tuhan
padanya,” ujar Mahfeez perlahan.
Zara masih mendiamkan diri.
Matanya meratah satu persatu bangunan-bangunan pencakar langit yang terbina
kukuh di sepanjang tebing sungai. Tidak dipeduli kata-kata lelaki itu.
“Kalau aku di tempat kau Za,
dah lama aku minta cerai. Ramai lagi lelaki yang boleh kau buat suami. Tak
payah cari jauh-jauh, yang dekat dengan kau pun ada,”
Mahfeez menjeling sedikit ke
arah Zara. Sengaja dia meninggikan sedikit nada suaranya pada ayat terakhirnya
tadi. Berharap wanita itu dapat memahami maksud kata-katanya.
Zara kembali memandang ke arah
Mahfeez. Raut wajah wanita itu kelihatan serius. Wajah Mahfeez yang sedari tadi
merenungnya dipandang seketika.
“Terpulanglah pada kau nak
cakap apa pun Feez. Aku tak peduli dengan semua tu. Aku bahagia dengan duniaku
sekarang dan aku tahu, selagi aku tak menyusahkan hidup orang lain maka orang
lain pun tak perlu susahkan hidup mereka untuk aku,” tegas dia bersuara.
Zara menarik beg tangannya yang
diletakkan di atas meja sejak tiba tadi. Disangkut di bahu kirinya sebelum
menolak pantas kerusinya.
“Okeylah Feez, aku balik dulu.
Banyak lagi kerja yang perlu aku lakukan kat rumah tu. Apapun tahniah, kau dah
dapatkan projek besar tu untuk syarikat kita. So, esok make sure kau
bagi laporan pada bos tentang meeting
tu. Aku minta diri dulu.”
Zara mula mengatur langkah meninggalkan
Mahfeez yang terpinga-pinga dengan tindakannya yang tiba-tiba itu.
Mahfeez melepaskan keluhan. Dia
terkilan dengan sikap Zara yang seolah-olah tidak mempedulikan perasaannya.
Bukan sekali dua dia meluahkan rasa hatinya pada wanita itu. Sudah
berkali-kali.
Namun bagi Mahfeez, semua itu
bukan penghalang untuknya memiliki wanita itu. Cuma, sikap tegas dan keras hati
wanita itu yang menghalangnya dari berbuat demikian. Mahfeez mengeluh lagi.
No comments:
Post a Comment