BAB
4
Angin kencang dari selat Arab
menyerbu masuk ke bilik hotel setinggi 25 tingkat itu. Sengaja Yashmaan mmbuka
tingkap seluas-luasnya. Membiarkan angin dari selat Arab membelai-belai
tubuhnya.
Yahmaan menarik nafas panjang.
Disebak rambutnya yang berselerakan di tiup angin. Tubuhnya dihenyak pada
kerusi yang tersedia di balkoni itu. Pandangannya dibuang jauh ke tengah lautan
yang membiru.
Dia mengeluh perlahan.
Fikirannya mula menerawang jauh. Meneroka peristiwa yang pernah berlaku beberapa
tahun lalu.
Imran memandang langit yang
kelihatan hitam pekat. Tiada walau sebutir bintang pun menghiasi langit malam
itu. Matanya memandang sekeliling laman rumah yang sunyi sepi. Di alih pandangan ke arah rumah banglo mewah dua
tingkat yang tersergam indah di depannya. Dia memanjangkan leher memandang
bilik Tengku Zainal yang terletak di tingkat atas rumah. Bilik tidur utama di
banglo itu kelihatan gelap.
Mungkin ayah dah tidur, getus
hatinya.
Tak lama, pandangannya dihala
semula ke arah Yashmaan yang duduk bersandar di depannya. Wajah anak muda itu
membayangkan rasa resah yang bergulungan menghempas pantai hatinya sejak
beberapa hari yang lalu.
“Kamu dah habis fikir ke Yash?”
Dalam kesamaran cahaya lampu
yang terpasang di setiap sudut laman, Imran membuka mulut. Bulat matanya
memandang wajah lesu anak muda bertubuh sasa itu.
“Kalau kamu pergi, siapa yang nak
bantu Along uruskan firma guaman ayah tu?” nada suaranya masih seperti tadi.
Lembut namun tegas.
Yashmaan mendengus perlahan.
Tubuhnya ditegakkan semula. Kepalanya ditundukkan sedikit. Tidak menyahut
kata-kata Imran yang masih menanti jawapan darinya.
Imran mendengus kasar. Geram
hatinya melihat perlakuan Yashmaan yang seolah-olah tidak mempedulikan
kata-katanya. Sejak dari tadi, anak muda itu hanya mendiamkan diri tanpa
sepatah kata.
“Yash, I’m talking to you,”
Nada Imran mula kedengaran sedikit
tinggi. Sekadar untuk menyedarkan anak muda itu dari khayalannya sendiri. Mengharapkan
anak muda itu membalas kata.
“I’m listening Along,” agak lama baru Yashmaan membalas.
Imran mengeluh perlahan. Dia
mengusap rambutnya beberapa kali. Matanya masih terpaku ke arah Yashmaan yang
masih menundukkan wajah. Tubuhnya dipeluk kemas.
“Yash, kamu tahu kan, ayah dah
serah firma guamannya tu pada kita berdua. Dia nak kita sama-sama majukan firma
tu.” suara Imran kembali kendur.
“Ayah benar-benar berharap pada
kita berdua Yash,”ujarnya lagi.
Yashmaan mendengus kecil.
Diangkat sedikit wajahnya.
“Itu saya tahu Along tapi saya
tak berminat dengan firma tu. Lagipun bidang guaman ni bukan bidang saya.
Lainlah Along, undang-undang tu memang kerjaya Along dari dulu lagi,” balas
Yashmaan setelah sekian lama mendiamkan diri. Sesekali dia mengerling ke arah
Imran yang duduk mengadapnya.
“Tapi itu tak bermakna kamu tak
boleh bekerja dengan Along bukan? Tak semestinya untuk bekerja di situ kamu
perlu arif segalanya tentang kerjaya guaman. Masih banyak lagi kerja lain yang
boleh kamu lakukan di firma tu,” Suara Imran kedengaran seperti memujuk.
Yashmaan melepaskan keluhannya.
Kedengaran agak berat.
“Along, saya dah buat keputusan
dan saya takkan tarik semula keputusan yang telah saya buat. Lagi pun Along
sendiri pun tahu kan sikap saya? Saya takkan lakukan perkara yang saya tak
suka,” ujarnya sedikit tegas.
“Kalau begitu, Along akan bantu
kamu carikan kerja yang bersesuaian dengan kelulusan kamu nanti. Along akan
cari syarikat yang terbaik untuk kamu mulakan karier kamu,” Imran masih
berusaha memujuk. Mengharapkan anak muda itu dapat mengubah keputusannya.
Kedengaran satu lagi keluhan
dari celahan bibir merah Yashmaan. Lebih berat dari tadi.
“Along, kan saya dah kata, saya
tak mahu lagi bergantung pada Along. Cukuplah dengan segala pertolongan yang
Along berikan pada saya selama ini,”
Yashmaan mengendurkan suara.
Hatinya sedikit terusik dengan sikap abangnya yang begitu mengambil berat
tentang dirinya. Mungkin kerana mereka hanya dua beradik menjadikan Imran
bersikap begitu.
Imran menghela nafas perlahan.
Wajah adik kesayangannya itu dipandangnya lama. Dia faham dengan sikap Yashmaan
yang keras kepala itu. Setiap keputusan yang dibuatnya tidak akan ditarik balik.
”Yash, adakah hanya kerana
disebabkan perkara itu, kamu sanggup untuk meninggalkan segalanya?” Lembut
Imran menyoal.
“Kamu tak kasihankan ayah ke?
Kita cuma dua beradik saja Yash. Ayah hanya ada kita berdua. Takkan kamu
sanggup buat begini pada ayah?”
Yashmaan terdiam seketika. Kata-kata Imran yang kedengaran begitu lembut
itu benar-benar meruntun tangkai hatinya. Sedikit sebanyak kata-kata abangnya
itu menusuk tajam ke dasar hatinya. Ditunduk sedikit wajahnya sebelum perlahan
dia bersuara.
“Saya dah tak sanggup nak tinggal
lagi di sini Along. Setiap kali saya teringat padanya, hati saya rasa menyesal
yang teramat sangat. Saya rasakan yang diri saya ni begitu hina,” Suara Yashmaan
kedengaran sayu. Dia masih menundukkan muka. Berusaha untuk menyembunyikan rasa
sebak yang mula mencengkam hati.
Giliran Imran pula yang terdiam.
Hatinya turut diserang rasa sebak melihat keadaan Yashmaan. Dia sedar, hati
anak muda itu akan terusik setiap kali perkara itu dibangkitkan.
“Yash, kamu dah fikir
masak-masak tentang perkara ni?” soal Imran tenang. Wajah anak muda itu
dipandang lagi.
Yashmaan mengangguk.
“Saya dah buat keputusan
muktamad Along. Kalau saya masih di sini, saya takkan dapat lupakan dia sampai
bila-bila pun,”
“Habis tu, kalau kamu ke luar
negara pun, boleh ke kamu lupakannya nanti?” Pertanyaan Imran kembali mengunci
bibir anak muda itu dari bersuara.
Yashmaan menundukkan wajah
semula. Dibiar saja pertanyaan itu berlalu pergi tanpa sebarang sahutan.
Dirasakan fikirannya begitu bercelaru pada masa ini.
Imran menghela nafasnya lagi. Merenung
lembut wajah sayu itu. Dia sedar, Yashmaan tertekan dengan pertanyaannya
sebentar tadi. Dia tidak bermaksud untuk melukakan hati anak muda itu namun
rasa sayang yang begitu melimpah terhadap Yashmaan menyebabkan dia bertindak
sedemikian. Hatinya tidak sanggup melihat adik kesayangannya itu terus
terumbang-ambing dalam meredah lautan kehidupan yang maha luas tanpa sebarang
pautan yang kukuh.
”Yash, semua ini bergantung
pada diri kamu sendiri. Biar di mana pun kamu berada, kalau kamu tak berusaha
untuk melupakannya, kamu akan tetap mengingatinya sampai bila-bila,” dengan
nada lembut Imran kembali menyuara kata. Wajah lesu itu direnung lagi.
“Bukan tempat yang akan
menentukan sama ada kamu dapat melupakannya atau pun tidak tapi diri kamu sendiri
Yash. Semuanya bergantung pada diri kamu sendiri. Tak guna kamu pergi hingga ke
hujung dunia pun tapi dalam masa yang sama fikiran kamu masih terbelenggu
dengan perkara tu,” ujar Imran lagi.
Yashmaan yang sedari tadi
membatu diri mendongak perlahan wajah sebelum menghembus lembut nafas
panjangnya. Wajah tenang Imran dipandang sekilas.
“Saya dah nekad Along. Saya nak
keluar dari Malaysia ni. Saya nak mulakan hidup baru di negara orang,” agak
tegas dia bersuara. Memandang tepat ke arah Imran yang ternyata kebingungan
dengan sikapnya.
Imran mengeluh panjang. Harapannya
untuk memujuk anak muda itu mengubah fikirannya dirasakan berkecai
perlahan-lahan sebelum hilang ditelan malam. Tiada lagi dayanya untuk menghalang
kemahuan adik tunggalnya itu.
Perlahan Imran menarik nafas.
Pendek. Membalas renungan Yashmaan sebelum secalit senyuman diukir di ulas
bibirnya.
“Yash, Along nak kamu fikir sedalam-dalamnya
tentang perkara ni. Along nak kamu buat keputusan yang terbaik demi masa depan
kamu,”
Dicapai tangan Yashmaan. Digenggamnya
erat jari jemari kasar anak muda itu. Yashmaan hanya memandang perlakuan Imran.
”Along nak kamu tahu, walau apa
pun keputusan yang kamu lakukan, Along akan sentiasa menyokongnya. Along takkan
paksa kamu mengikut kata Along lagi. Cuma Along benar-benar berharap kamu akan
tetap di berada sini bersama ayah dan Along seperti sekarang. Kita akan
sama-sama merealisasikan impian ayah.”
Yashmaan menutup semula cermin pintu
balkoni. Dihampiri sofa yang terletak di tengah ruang bilik. Dihempas tubuhnya
di situ. Dia berkhayal sendiri.
Sudah hampir tujuh tahun dia meninggalkan
tanah kelahirannya. Tanah tempat dia dibesarkan. Tanah Malaysia yang tercinta.
Dibuang jauh dirinya ke negara asing. Negara yang dia sendiri tidak pernah bermimpi
untuk menjejakkan kakinya ke sana.
Bandaraya Dubai menjadi
pilihannya untuk memulakan kehidupan baru. Dia tertarik dengan keindahan
bandaraya itu setelah melihat gambarnya di dalam sekeping poskad ketika dia menunaikan
umrah tujuh tahun lalu.
Tujuh tahun! Bisik Yashmaan
perlahan.
Selama tujuh tahun itu dia
bekerja keras untuk meraih kejayaan dalam hidupnya. Bermula dengan kerjaya
sebagai seorang pengurus di sebuah hotel di Dubai, dia menanam tekad untuk memiliki
hotel sendiri. Berkat usaha gigihnya, dia berjaya menjadikan impiannya itu satu
kenyataan.
Kini hotel Astana Malaysia yang
dibinanya sejak tiga tahun yang lalu berjaya menjadikan dirinya setaraf dengan kedudukan
anak Melayu lain yang berjaya di bandaraya metropolitan itu.
Yashmaan tersenyum panjang. Ingatannya
melayang pada Imran. Dari kecil, Imran terlalu memanjakannya. Setiap
kehendaknya akan ditunaikan. Walau pun adakalanya kehendaknya itu melampaui tahap
kemampuannya, Imran akan berusaha untuk memenuhinya. Abangnya itu tidak pernah
membenarkan kesedihan membaluti dirinya. Dan kerana sikap Imran yang sentiasa
menurut kemahuannya itulah menjadikan Yashmaan membesar menjadi seorang anak
muda yang degil dan keras hati.
Namun Yashmaan sedar, apa yang
dilakukan oleh abangnya itu hanyalah semata-mata kerana tidak mahu dirinya
terasa kehilangan kasih sayang ibu mereka yang telah meninggal dunia ketika
melahirkannya dulu. Dan baginya, Imran telah berjaya melenyapkan kekurangan
itu. Kekurangan kasih sayang dari seorang ibu yang tidak pernah dilihatnya
sejak dia dilahirkan.
Jauh di dasar hati, dia begitu
berterima kasih kepada Imran atas segala yang telah dilakukan lelaki itu
padanya. Yashmaan sedar, dia takkan berjaya seperti sekarang tanpa adanya Imran
di sampingnya.
Walau pun Imran berada nun jauh
dari matanya namun dorongan dan semangat yang dihulurkan setiap kali mereka
berbalas e-mel menyebabkan Yashmaan tidak pernah terasa berseorangan di bumi
asing itu. Malah sehingga kini Imran masih bersikap begitu walau pun sudah
bertahun-tahun mereka tidak bersua muka.
Yashmaan memeluk kemas tubuh
tegapnya. Setiap kali dia mengingati Imran, hati lelakinya pasti dipagut rasa
sayu. Imran begitu menyayanginya. Seingatnya, Imran sentiasa beralah dengannya
dalam apa jua perkara. Imran sanggup megenepikan kepentingannya sendiri demi
dirinya. Hinggakan pernah Imran menolak cadangan ayah mereka yang memintanya
berkahwin sebaik dia menamatkan pengajiannya di Australia. Alasan Imran, dia
tidak mahu Yashmaan terasa kehilangan kasih sayangnya.
Abangnya itu hanya mendirikan
rumahtangga selepas Yashmaan dapat menyambung pengajian ke Amerika Syarikat
beberapa tahun kemudian. Itu pun hanya kerana Yashmaan sendiri yang memintanya
berbuat demikian.
“Imran.”
Tanpa sedar Yashmaan menutur
lembut nama itu.
Rasanya sudah beratus kali
Imran menuntut dirinya menunaikan janji mereka. Janji yang pernah di ikrarnya
pada lelaki itu suatu masa dulu. Janji yang baginya begitu sukar untuk
dilaksanakannya. Walau pun Imran tidak pernah memaksanya menunaikan janji itu
namun Imran juga tidak pernah lupa mengutarakan perihal janji itu setiap kali
mereka saling bertanya khabar. Sikap Imran yang tidak gemar memaksa menyebabkan
dia diruntun rasa bersalah setiap kali mengingatinya.
Ah Along, kalaulah Along tahu
rasa hati adik mu ini, bisik Yashmaan perlahan.
Seketika Yashmaan mengeluh. Dia
teringat pada zaman remaja yang pernah dilaluinya. Zaman remajanya berlalu
dengan pelbagai kisah yang penuh dengan kemanisan dan kepahitan. Kemanisan yang
menyebabkannya leka dengan kesenangan dan kebebasan yang dimilikinya. Kesenangan
yang membuatnya lupa pada batas yang tidak sepatutnya dilangkauinya. Kebebasan
yang akhirnya menjerumusnya ke kancah kekesalan yang tiada penghujungnya.
Dihela nafasnya. Panjang.
Membaringkan tubuh sasanya ke sofa. Diraup wajahnya beberapa kali.
Dalam diam, Yashmaan mengakui
kebenaran kata-kata Imran. Walau di mana pun dia berada, kenangan lalu pasti
akan menghambatnya selagi dia tidak berusaha melupakan semuanya.
Dia sedar, sehingga kini dia
masih tidak dapat melupakan peristiwa itu. Peristiwa yang meninggalkan palitan
hitam seumur hidupnya. Peristiwa yang sehingga kini meninggalkan seribu
penyesalan dalam dirinya. Peristiwa yang menyebabkannya tidak betah untuk
menunaikan janjinya pada Imran. Janji untuk memijak bumi Malaysia setelah dia
berjaya menempa nama di negara orang.
Dan pagi itu, seperti mana
pagi-pagi sebelumnya, Yashmaan terleka sendirian dengan kenangan lalu menguasai
fikirannya.
No comments:
Post a Comment