BAB
5
Cuaca panas mencengkam suasana
tengah hari itu. Angin yang bertiup perlahan menimbulkan rasa bahang pada tubuh
Laila yang sedang mengayuh basikal. Pakaian seragam sekolah yang tersarung di tubuhnya
terasa lekit.
Berhati-hati gadis bertubuh
kecil itu mengayuh basikal, bimbang terjatuh dalam lopak-lopak air yang bertakungan
di jalan kampung. Sudah beberapa kali jalan kampung itu diturap tar namun
kenderaan-kenderaan berat yang berulang alik di kawasan itu menyebabkan
jalan-jalan di situ menjadi pecah dan berlubang.
Laila memperlahankan kayuhannya
apabila matanya terpandang sesuatu di tengah jalan. Dia segera menghentikan
kayuhannya apabila tiba-tiba saja laluannya dihalang.
Sambil membetulkan kedudukan
kainnya yang sedikit terselak, dia memandang geram ke arah Anas, Safuan dan
Radhi yang berdiri tegak di tengah-tengah jalan kampung. Ketiga-tiga anak muda
itu mencekak pinggang masing-masing sambil tersengih memandangnya.
Laila menarik muka masam.
Meluat melihat gelagat anak-anak muda itu.
Muka dia orang ni lagi, rungut
hatinya. Bosan diganggu setiap kali pulang dari sekolah.
“Apasal ni, tiba-tiba aje nak
ganggu orang? Kau orang nak apa?” Kasar pertanyaan Laila. Wajahnya dipaling ke
arah lain. Benci.
“Hei Nas, awek kau ni tanya,
kita nak apa? Kau jawablah,” ujar Safuan menyiku Anas yang berdiri di sebelahnya.
Matanya di lirik ke arah wajah Laila yang mencuka.
“Woi, apalah kau ni. Dia
bukannya tanya pada kita, dia tanya Anas seorang ajelah. Ya tak Laila,” sindir
Radhi pula.
Gelak tawa ketiga anak muda itu
memecah keheningan suasana jalan yang sepi itu.
Laila mengetap bibir. Marah
pada Radhi yang bersuara tadi. Matanya dijeling tajam ke arah pemuda yang berpakaian
sedikit kotor dan koyak rabak itu.
“Kau tengok tu Nas, dia menjeling,”
ujar Radhi lagi sambil menghalakan jari telunjuknya ke arah Laila.
“Itu yang mahal. Bukan semua
orang boleh dapat. Dalam kampung kita ni, cuma kita bertiga je yang boleh dapat
jelingan tu tau,” celah Safuan pula.
Kata-kata Safuan itu meledakkan
lagi tawa mereka.
“Hei, kejap, kejap, bukan kita
bertigalah, Anas seorang je yang bertuah,”
Radhi menepuk-nepuk bahu Anas
yang semakin galak ketawanya.
“Hei hantu kampung, kau orang
nak apa sebenarnya hah? Tak malu ke ganggu orang?” Laila mula meninggikan
suara. Hilang sabarnya melihat mereka bertiga yang sedari tadi tidak
henti-henti bergelak ketawa di depannya.
“Mak oii, garangnya. Ni yang
buat aku tambah sayang,” Anas membuka mulut sebaik tawanya terhenti. Dia melebarkan
senyuman. Dicekak pinggang dengan kedua-dua belah tangannya. Mengatur langkah
menghampiri Laila yang memandangnya marah.
Safuan dan Radhi yang mengikut langkahnya
dari belakang hanya tersengih-sengih. Menampakkan gigi masing-masing.
Anas tersenyum panjang. Matanya
memandang rakus wajah manis gadis itu.
“Kau ni Laila, macam tak faham
pula. Macam biasa, aku nak kaulah!” ujar Anas.
Ketiga-tiganya kembali tertawa.
Lebih kuat dari tadi.
“Hei, kau tak reti bahasa ke?
Kan aku dah kata tak nak, maksudnya tak naklah. Tak faham ke?” Tengking Laila
kuat.
Hilang rasa hormat Laila pada
Anas walaupun dia tahu pemuda itu lebih tua beberapa tahun darinya.
Anas menghentikan tawanya. Wajahnya kelihatan
serius. Bulat matanya memandang wajah masam milik gadis itu.
“Hei Laila, cuba kau beritahu,
apa kurangnya aku? Nak kata tak handsome,
Tom Cruise kat Hollywood tu pun kalah dengan aku tau. Nak kata bodoh, aku pun
lulusan unversiti juga macam orang lain. Hah cakap, apa yang kurang?” Nada
suara Anas kedengaran tinggi.
Radhi dan Safuan hanya mengangguk.
Mengiyakan kata-kata pemuda itu.
Laila menjuih bibir.
”Ala, setakat muka kau ni,
dengan perangai mengalahkan beruk kat dalam hutan tu, tak ada gunanya ada ijazah
kalau balik kampung pun sekadar menjadi penganggur,” sinis Laila.
Dijeling sedikit ke muka Anas
yang kelihatan merah padam mendengar katanya.
Anas mengetap kuat bibir
bawahnya. Dia tidak dapat menelan kata-kata yang terkeluar dari mulut Laila. Wajah
bersih gadis bertudung putih itu dipandang tajam.
“Hei Laila, kau jaga sikit
mulut kau tu. Jangan nak celupar sangat,”
Nada suara Anas kedengaran
mengeletar, menahan rasa marah yang mula menyerang hati.
Laila yang memandang tingkah
anak muda itu melemparkan senyuman sinisnya.
“Kenapa, salah ke dengan apa
yang aku cakap? Memang betulkan. Memang sepadanlah kau dengan kawan-kawan kau
yang tak bersekolah tu. Sesuai benarlah kau orang bertiga jadi kawan baik pun,”
Serentak itu, pantas tangan
kanan Laila menolak kuat tubuh Anas berdiri di sebelah basikalnya.
Anas yang terkejut dengan
tindakan Laila yang tiba-tiba itu terdorong ke belakang. Hampir tubuhnya terhumban
ke tanah namun sempat disambar kedua kawannya.
Kesempatan itu diambil Laila
untuk meninggalkan tempat itu. Segera dikayuh laju basikalnya. Meninggalkan
ketiga-tiganya dalam keadaan kelam-kabut.
Anas segera menegakkan tubuh.
Tangannya cuba mencapai belakang basikal Laila namun tidak berjaya. Gadis itu
begitu laju mengayuh basikalnya.
Geram kerana tidak dapat
menghentikan tindakan gadis itu, dia menjerit sekuat hati.
“Ila, jaga kau. Tahulah aku
macam mana nak ajar kau nanti!’
Laungannya hilang di bawa angin.
Anas mengenggam buku limanya.
Hatinya bengkak mengingat sindiran Laila di depan kawan-kawannya tadi. Dalam
diam, dia berazam untuk membalas perbuatan Laila yang dirasakan memalukan
dirinya tadi.
No comments:
Post a Comment