BAB
7
Dia menghayun laju langkahnya.
Kedua-dua belah tangannya digerak ke atas dan ke bawah beberapa kali. Membuat
senaman ringan. Penat berjalan, dia berlari-lari anak. Beberapa minit dia berkeadaan
begitu. Penat berjogging, dia menghempaskan punggung di bangku yang tersedia di
tepi pantai.
Dilepas pandangannya ke
sekeliling. Memandang persisiran pantai Jumeirah yang luas terbentang di
depannya. Nun di kejauhan, dia dapat melihat bangunan yang menjadi tanda
kebanggaan bandaraya Dubai.
Burj Al-Arab atau dalam bahasa
Arabnya bermaksud Menara Arab kelihatan tersergam indah dalam simbahan cahaya
matahari petang itu. Bangunan berprestij itu merupakan sebuah bangunan hotel
termewah di Dubai dan terkenal sebagai hotel yang bertaraf tujuh bintang
pertama di dunia.
Dengan ketinggian 1053 kaki,
bangunan terkemuka itu dibina di sebuah pulau tiruan yang terletak 919 kaki
dari pantai Jumeirah dan disambung ke tanah besar dengan sebuah jambatan
lengkung yang unik. Dengan bentuk struktur bangunannya yang esklusif, bangunan
Burj Al-Arab menjadi mercu perubahan pembangunan bandaraya Dubai.
Pandangannya dihala semula ke
arah pantai. Memerhati tingkah laku manusia yang begitu ramai mengunjungi
pantai petang itu. Matanya tertumpu seketika pada sekumpulan kanak-kanak yang kelihatan
riang bermain pasir. Masing-masing melakukan aktiviti-aktiviti mereka yang tersendiri.
Dia yang melihat sedari tadi hanya mengulum senyum melihat gelagat anak-anak
kecil itu.
Tak lama, di alih matanya.
Memandang ke arah sepasang kanak-kanak lelaki yang berdiri tidak jauh darinya.
Kedua-duanya berebutkan sesuatu. Tiba-tiba salah seorang dari mereka terjatuh.
Anak kecil itu menangis sekuat hati. Seorang perempuan berkerudung labuh tergesa-gesa
datang sebelum memeluk kanak-kanak yang sedang menangis itu. Dipujuk perlahan
sebelum mendukungnya. Dibawanya ke gigi pantai. Tak lama, anak kecil itu
kembali ketawa. Lupa tentang kesakitan yang dialaminya tadi.
Dia yang sekian lama memerhatikan
gelagat anak kecil itu hanya menyimpul senyum.
Anak kecil, apalah yang mereka
tahu, Bisik hatinya. Dia tersenyum lagi.
Anak! Dia menarik nafas
panjang. Perkataan itu mengingatkannya pada diri sendiri. Dalam usia yang sudah
mencecah awal tiga puluhan itu seharusnya dia telah mempunyai anak. Anak dari
darah dagingnya sendiri.
Melihat anak kecil yang
menangis tadi mengingatkannya pada seseorang. Seseorang yang telah
bertahun-tahun tidak ditemuinya. Mia.
“Awak dah gila ke Yash?” Suara
Mia kedengaran tinggi.
Matanya bulat memandang
Yashmaan yang hanya berwajah selamba.
“Sanggup awak minta saya
gugurkan kandungan ni,” ujarnya perlahan.
Ditundukkan wajahnya sedikit.
Diusap perlahan perutnya yang masih tidak kelihatan isinya.
”Anak dalam rahim saya ni anak
awak Yash,” sambungnya.
Yashmaan mendengus marah. Drenung
tajam wajah ayu milik gadis itu.
“Habis tu, kau nak aku buat apa
lagi?”
Yashmaan menengking kuat.
Tangannya mengusap kasar rambutnya beberapa kali. Perasaan marah dan geram mula
menguasai dirinya.
“Awak perlu bertanggungjawab
dengan semua ni,” Suara Mia kedengaran sayu.
Air mata yang hampir menitik
jatuh ke pipi disekanya perlahan. Sesekali matanya mengerling wajah bengis
Yashmaan yang duduk berhadapan dengannya.
Yashmaan segera bangun. Berdiri
mengadap gadis yang bertudung litup itu.
“Tanggungjawab? Tanggunggjawab
apa?”
Ditarik kasar wajah lesu yang
menunduk itu supaya memandang ke arahnya. Jari jemarinya mencengkam kuat wajah
itu.
“Hei, kau dengar sini. Apa yang
berlaku pada malam tu, bukan salah aku tau. Kau sendiri yang terhegeh-hegeh nak tolong
aku. So, jangan salahkan aku atas apa
yang terjadi.”
Keras nada suaranya. Ditolak
kuat wajah itu. Hampir saja gadis itu terjatuh dari duduknya. Tangannya kembali
menyebak rambutnya yang berselerak di tiup angin petang. Matanya merenung tajam
wajah Mia yang mula basah dengan airmata.
Mia menangis perlahan. Digosok
perlahan kedua pipinya yang terasa sakit dek cengkaman anak muda itu. Dia turut
bangun. Mengadap tubuhnya bertentangan tubuh sasa anak muda itu. Dipandang sayu
wajah Yashmaan yang mundar-mandir di depannya.
“Yash, saya cuma nak selamatkan
awak pada malam tu. Hanya dengan cara itu saja yang dapat menyelamatkan awak
dari mati, Yash,”
Dengan suara yang sudah bercampur
tangisan, Mia bersuara lagi. Dibiarkan saja airmatanya mengalir turun. Rasa hiba
yang menyerang hati tidak dapat ditahan lagi.
“Hei, kalau aku mati sekalipun,
kau peduli apa? Antara kau dengan aku, hanya kawan biasa saja, tak lebih dari
itu,” tengking Yashmaan lagi.
Dia tidak lagi peduli dengan
pandangan orang sekeliling yang turut berada di taman rekreasi di California
itu.
Mia mengangkat wajah. Memandang
lama pemuda itu. Cuba mencari maksud di sebalik kata-kata anak muda itu.
“Yash, kenapa awak cakap macam
tu? Kitakan sepasang kekasih, itu yang awak beritahu pada saya selama ini.”
Begitu lembut Mia menutur kata.
Bulat matanya memandang Yashmaan yang tiba-tiba tertawa besar mendengar
tuturnya.
Galak Yashmaan ketawa. Hatinya
bagaikan digeletek mendengar kata-kata yang terkeluar dari celahan bibir gadis
itu.
“Kekasih?”
Yashmaan tertawa lagi. Sinis. Di
angkat sedikit kening kanannya.
“Hei Mia, cuba kau cermin dulu
muka kau tu. Sedarlah diri tu sikit. Aku jadikan kau girlfriend akupun sebab kawan-kawan aku yang cabar aku tau. Kalau
tak, jangan haraplah,” ujarnya lagi sambil tertawa.
“Kau fikirlah Mia, lelaki moden
macam aku ni takkan nak cari perempuan kampung macam kau ni. Jenis ustazah!”
Yashmaan meninggikan suaranya
semula. Puas dapat meluahkan segala yang terbuku dalam hatinya selama ini.
Mia terduduk semula. Kedua-dua belah
tangannya menutup mulut yang sedikit terbuka. Tidak menyangka Yashmaan hanya
mempermainkannya selama ini.
Air matanya semakin laju
menuruni pipi. Hatinya yang sebu dengan perlakuan anak muda itu bertambah sebak
mendengar tutur kata Yashmaan yang langsung tidak mempamerkan rasa bersalahnya.
Yashmaan mencebik bibir. Tidak
sekutik pun perasaan menyesal timbul dalam hatinya melihat gadis itu
terhenjut-henjut menahan tangisan. Malah timbul perasaan jijik dalam hatinya
memandang Mia. Seolah-olah tiada kesan dosa yang dipalit pada diri gadis itu.
Yashmaan mencapai topi keledar
yang diletakkan di atas meja kayu di tepi bangku. Disandang pada lengan kanannya.
Dengan pandangan sinis, dia mengerling sekilas ke wajah Mia sebelum dengan angkuh
dia bersuara,
”Mia, dengar kata aku. Gugur
saja kandungan tu. Kalau kau fikir aku nak kahwin dengan kau hanya kerana kau
mengandungkan anak aku, kau bermimpilah.”
Dia tersenyum lagi. Lebih sinis
dari tadi. Yashmaan mula mengatur beberapa langkah sebelum berpaling semula ke
arah Mia yang masih menekup mukanya.
“Oh ya, tentang kos pembayaran
untuk gugurkan kandungan kau tu, kau tak perlu risau. Aku akan tanggung segalanya
nanti.”
“Excuse me sir, can I take it?”
Satu suara lembut mengejutkannya
dari lamunan. Yashmaan tersentak seketika. Pantas dia berpaling. Seorang wanita
berketurunan Pakistan tersenyum memandangnya. Dia terpinga-pinga seketika.
“May I sir?”
Wanita berkerudung labuh itu
mengulang pertanyaannya.
“Yeah?” agak tergagap dia bersuara.
“My paper sir,”
Wanita itu menunjuk ke arah
kedua belah kakinya. Yashmaan turut memandang ke bawah. Sekeping kertas
berwarna merah terselit di bawah tapak kasut sukan yang tersarung di sepasang
kakinya. Pantas Yashmaan mencapai sebelum menghulurkannya pada wanita itu.
“I’m sorry,” ujarnya perlahan.
Wanita itu tersenyum kecil.
“That’s okay. Thank you,” ujarnya
sebelum berlalu.
Matanya hanya memandang langkah
wanita itu yang semakin menjauh.
Yashmaan beristighfar beberapa
kali. Ditarik panjang nafasnya.
“Mia.” Sepotong nama itu
terkeluar dari celahan bibirnya.
Maafkan aku Mia atas segala
dosa yang pernah aku lakukan terhadap kau. Maafkan aku, Bisiknya perlahan. Dia
mengeluh panjang.
Yashmaan menarik nafas
perlahan. Dia bangun semula dari bangku kayu itu. Untuk beberapa ketika dia memandang jauh ke
tengah laut yang kelihtan berbalam di bawah simbahan cahaya matahari petang. Nafas
panjangnya di tarik lagi sebelum di lepas perlahan.
Yashmaan menggerakkan tubuhnya
ke kiri dan kanan sebelum dia kembali meneruskan lariannya yang terhenti tadi.
No comments:
Post a Comment