BAB
8
Zarif mengunci pintu pagar
rumah setelah memangkir kereta. Dipandang halaman rumahnya yang kelihatan berselerakan
dengan daun-daun pokok mempelam yang gugur. Dia mengelengkan kepala sebelum
melepaskan satu keluhan kecil. Kesibukan diri melaksanakan tanggungjawab di hospital
menyebabkannya tidak mempunyai masa untuk menyapu laman rumah teres dua tingkat
itu.
“Awal balik hari ni doctor.”
Teguran seseorang membuatkan Zarif
berpaling tubuh. Dia tersenyum memandang Sarah yang tinggal bersebelahan dengan
rumahnya. Wanita itu sedang sibuk memungut kain-kain jemuran yang telah kering di
ampaian.
“Hari ni tak ramai pesakit
sangat Sarah,” balas Zarif perlahan.
Zarif menyandarkan tubuhnya ke kereta.
Diseluk kedua belah tangannya ke dalam poket seluarnya.
“Mana Makcik Rahimah? Tak
nampak dia pun petang ni,” soal Zarif.
Dari celahan pagar dawai yang
memisahkan ruang halaman rumah mereka dia meninjau-ninjau mencari kelibat orang
tua yang peramah itu. Kebiasaannya, wanita tua itu akan duduk di bangku batu di
halaman rumahnya.
“Mak ada kat dalam doktor.
Kurang sihat sikit. Asyik batuk saja dua tiga hari ni. Risau juga saya dibuatnya.”
Sarah menjawab sambil tangannya ligat memasukkan kain-kain jemurannya ke dalam
bakul di tepi kakinya.
“Teruk ke batuknya tu Sarah?”
“Nak kata teruk tu, tak adalah
sangat doktor. Cuma kadang-kadang tu dia terasa susah nak bangun.”
Zarif mengangguk-angguk.
“Dah bawa dia ke hospital?”
“Belum lagi. Faham-faham
sajalah doktor, orang tua. Sebut saja hospital, hilang terus rasa sakitnya tu.”
Zarif tersenyum kecil. Hatinya
sedikit tercuit dengan kata-kata wanita itu.
Sarah yang telah selesai
memungut pakaian memandang hairan wajah doktor muda itu.
“Kenapa doktor tersenyum begitu?”
soalnya lembut. Dipandang lama wajah tampan yang seusia dengannya itu.
Zarif mengeleng kepala
perlahan. Kemudian tersenyum.
“Tak ada apa Sarah, cuma saya
rasa pelik dengan sikap awak. Dah bertahun-tahun kita berjiran, rasanya sudah
beratus-ratus kali saya pesan, jangan panggil saya doktor. Awak panggil juga
saya begitu.”
Sarah tersenyum kecil. Di tunduk
sedikit wajahnya.
“Maaflah doktor kalau doktor
tersinggung tapi doktor sendiri pun fahamkan dengan situasi saya. Janda seperti
saya ni susah kalau terlalu beramah mesra dengan orang lain. Apatah lagi dengan
lelaki bujang seperti doktor. Macam-macam fitnah boleh timbul. Benda yang tak
kita buat pun, di katakan buat,” balasnya perlahan.
Zarif menganggukkan. Mengerti dengan
situasi yang dialami wanita itu.
“Hmm, tak apalah doktor, saya
minta diri masuk ke dalam dulu. Hari pun dah hampir senja.”
Sarah mengangkat bakul pakaian.
Sempat dia membalas senyuman Zarif yang hanya mengangguk kecil.
Zarif memandang wanita itu
berlalu ke dalam rumah sebelum dia sendiri turut berbuat demikian. Niat hatinya
untuk menyapu laman rumah pada petang itu tertangguh lagi.
“Please have a seat,” sambil tersenyum kecil Roselle bersuara ramah.
Dia mengunjuk ibu jarinya ke arah sofa yang terletak di tengah ruang bilik
pejabat.
Zara tersenyum mengangguk. Dia
hanya memandang gadis itu berlalu. Meninggalkannya bersendirian di ruang bilik
itu.
Zara menghala pandangan ke
sekeliling. Bilik hotel yang dijadikan ruang pejabat itu kelihatan ekslusif
dengan cat dindingnya yang berwarna hijau kebiru-biruan.
Biasan warna dinding yang
mengenai siling bilik menampakkan kemewahannya. Ditambah dengan jambangan
bunga-bunga kering yang diletakkan di setiap penjuru bilik menghasilkan suasana
tenang dan damai di dalam ruang bilik yang luas itu.
Zara masih berdiri.
Pandangannya terpaku pada sekeping potret wanita yang tergantung di satu sudut
bilik. Perlahan-lahan dia menghampirinya. Gambar seorang wanita bertudung hijau
lembut itu direnung lama.
Cantiknya dia, puji hatinya.
“Dah lama tunggu?” suara
seseorang dari arah belakang menyentak pandangannya.
Segera dia menoleh. Seorang
lelaki berpakaian kemas tersenyum mesra ke arahnya. Lelaki itu bertubuh tinggi
dan tegap. Wajah putih bersihnya hanya dihiasi dengan sedikit janggut yang tumbuh
di dagu. Sepasang kot hitam yang tersarung kemas di tubuh tegapnya menyerlahkan
lagi ketrampilannya.
Zara mengukir senyuman. Pelik
rasanya mendengar lelaki yang mempunyai raut wajah seperti bangsa Arab itu
berbahasa Melayu dengan begitu fasih. Di hampiri lelaki yang bertubuh segak
itu.
“I’m
Zara Zulaikha from Corniche Interactive Sdn.Bhd.”
Zara memperkenalkan diri.
Dihulur tangannya seketika. Berjabat salam.
“I know it. Dah lama ke awak tunggu?”
Lelaki itu mengulangi
pertanyaannya. Tangan kanannya dihalakan ke arah sofa sebelum melabuhkan
punggungnya di situ. Zara turut berbuat demikian.
“Tak juga. Saya baru saja
sampai.”
Zara membalas perlahan. Dipandang
lama wajah lelaki yang masih tersenyum itu.
“Fasih Tengku berbahasa Melayu.
Tengku memang berketurunan Melayu ke atau pernah mempelajari bahasa Melayu?”
Mendengar pertanyaan Zara,
lelaki itu melebarkan senyumannya.
“Kenapa awak tanya saya begitu?
Wajah saya tak seperti orang Melayu ke?”
Soalan wanita itu tidak dijawab
sebaliknya dilempar pertanyaannya.
“Eh, bukan itu maksud saya.
Melihat pada nama Tengku membuatkan saya terfikir yang Tengku ni berketurunan Arab,”
Lelaki itu tertawa kecil.
“Actually, arwah mak saya berketurunan bangsa Arab dari Mesir.
Manakala ayah saya pula memang orang Melayu. Kiranya saya ni anak campuran dua
bangsalah,” terangnya ringkas.
Zara mengangguk-angguk.
“Oh, sebab itulah wajah Tengku
seakan wajah orang Arab.”
Lelaki itu tersenyum lagi.
Tidak disahut kata-kata itu.
“Maaflah jika pertanyaan saya
tadi menyinggung perasaan Tengku,”
“Tak ada apa yang menyinggung
perasaan saya Cik Zara. Bukan awak seorang saja yang pernah menyoal saya
tentang perkara ni. Dah ramai sangat yang tanya sampai saya sendiri pun rasa bosan
di buatnya,” ujarnya lembut.
Zara hanya mengulum senyum.
Memandang wajah tampan lelaki itu yang turut menguntum senyum.
“So, memandangkan kedua-dua kita adalah orang Melayu, apa kata kalau
kita berbincang saja berkenaan projek saya tu dalam bahasa ibunda kita saja?
Saya sebenarnya dah lama tak menggunakan bahasa Melayu ni. Maklumlah, jarang
saya dapat berjumpa dengan orang yang boleh berbahasa Melayu dengan fasih di
Dubai ni. Walau pun ramai orang Melayu yang menetap di sini namun kekangan masa
menyebabkan saya tidak berkesempatan untuk bergaul dengan sesiapa pun.”
Zara tersenyum lagi. Melihat
pada raut wajah jernih lelaki itu dia dapat merasakan kebenaran kata-kata
lelaki itu.
“Saya tak kisah tapi sebelum
itu Tengku, saya minta maaf kerana kawan saya yang sepatutnya mengendalikan
projek ini tidak dapat menghadirkan diri. Memandangkan dia mempunyai hal lain
yang tak dapat dielakkan, saya diminta oleh pihak syarikat untuk mengantikan
tempatnya,” Zara bersuara tenang.
Sekali lagi lelaki itu
mengangguk.
“So Tengku, boleh kita mulakan perbincangan kita tentang projek
pembinaan hotel kedua Tengku tu?”
Lelaki itu melebarkan senyuman.
“Okey, tapi sebelum tu saya nak
minta sesuatu dari Cik Zara. Jangan panggil saya Tengku. Just call me Yashmaan. Tak selesa rasanya Cik Zara memangggil saya
dengan panggilan Tengku. Tengku tu hanya gelaran keluarga saya saja,”
Dia tersenyum lagi. Zara yang
memandang turut tersenyum.
“So, boleh kita mulakan sekarang Encik Yashmaan?”
No comments:
Post a Comment