BAB
9
Zarif yang sedang melangkah pantas
tiba-tiba terhenti langkahnya apabila ada suara memanggil namanya. Segera Zarif
menoleh. Kelihatan Intan melangkah laju menghampirinya.
“Ada apa doktor?” soal Zarif, sebaik
saja gadis itu berdiri bersebelahannya.
“Saya nak cakap sesuatu dengan
doktor,” ujar Intan perlahan.
Wajahnya ditundukkan sedikit
bila bola mata mereka berlaga. Zarif mengukir senyuman.
“Cakaplah,” ujarnya sambil mengatur
langkah kembali.
Intan turut mengikut rentaknya menjadikan
langkah mereka seiringan.
“Sebenarnya, saya nak ucapkan
terima kasih pada doktor kerana telah menyelamatkan nyawa saya tempoh hari.
Kalau tak kerana doktor, tak tahulah apa yang akan terjadi kat saya.”
Sesekali mata Intan mengerling
ke arah Zarif yang kelihatan tenang melangkah di sebelahnya.
“Dah lama saya nak berterima
kasih pada doktor tapi susah benar rasanya nak bertemu dengan doktor.
Maklumlah, doktorkan sibuk,” ujarnya lagi.
Walau pun Intan dan Zarif
berada di bawah satu jabatan namun kesibukan Zarif sebagai ketua jabatan
menjadikan mereka jarang dapat bersua muka.
Zarif menguntum senyuman.
“Tak perlulah doktor nak
ucapkan terima kasih pada saya. Dah menjadi tanggungjawab sesama kita, saling
tolong menolong.”
Zarif memandang sekilas gadis
bertubuh genit itu. Dia tersenyum lagi. Intan turut mengorak senyum. Tangan
kanannya menolak perlahan rambut yang menutupi dahinya.
“Itu pandangan doktor, tapi
bagi saya pertolongan doktor itu amat bermakna.” balasnya perlahan.
Ada getaran di hujung nada suaranya.
Entah mengapa hatinya berdebar kencang tatkala menuturkan kata-kata itu.
Zarif yang mendengar sekadar
tersenyum kecil. Sedar, gadis manis yang beriringan dengannya itu sedang
bermain dengan perasaannya sendiri. Sebagai lelaki dia dapat merasainya. Namun
Zarif hanya bersikap selamba.
“Hari ni doktor free tak?”
Pertanyaan gadis itu
menghentikan langkah Zarif. Dia memusing tubuhnya mengadap Intan yang turut
terhenti langkahnya.
“Kenapa?”
Dahinya sedikit berkerut.
Hairan dengan pertanyaan tiba-tiba doktor muda itu.
“Saya nak belanja doktor makan
untuk tengah hari ni.”
Intan tersenyum lagi. Wajahnya kembali
ditundukkan apabila bola matanya berlaga dengan bola mata lelaki itu. Menjadi
tabiatnya berbuat demikian setiap kali dia bertentangan mata dengan lelaki
berwajah tampan itu. Hati wanitanya kembali berdebar.
“Nak belanja saya makan? Untuk
apa?”
Tanpa mempedulikan reaksi gadis
itu terhadap pandangannya, Zarif menyoal tenang.
“Sebagai tanda terima kasih
saya atas pertolongan doktor tu,” ujar Intan kembali mengangkat muka. Wajah
tampan itu direnung seketika.
Zarif menarik nafasnya
perlahan. Senyuman manisnya semakin mekar di ulas bibirnya.
“Minta maaflah doktor, saya agak
sibuk hari ni. Lagipun, rasanya tak perlulah doktor lakukan semua tu. Pertolongan
saya tu tak sebesar mana pun.”
Zarif kembali mengatur langkah.
Meninggalkan Intan yang termangu-mangu mendengar jawapannya.
“Doktor Zarif.”
Zarif kembali berpaling.
Memandang Intan yang masih berdiri di situ.
“Kalau lain kali, boleh tak
doktor?” soal Intan. Penuh harap.
Zarif terdiam seketika. Dia
mengeluh perlahan sebelum bersuara,
”Nantilah, saya fikirkan,” ujarnya
lembut, sekadar menyedapkan hati si gadis.
Zarif tersenyum sekilas pada
doktor muda itu sebelum kembali mengatur langkah. Meninggalkan Intan yang
tersenyum lebar mendengar jawapannya.
Intan tersenyum girang. Usahanya
untuk mendekati doktor yang dalam diam telah menambat hati wanitanya itu
dirasakan semakin berjaya. Dalam hati, dia berazam akan cuba mencuri hati lelaki
itu.
Encik Idris menyandarkan tubuh
ke dinding rumah. Kedua-dua kakinya dilunjur ke depan. Tangannya mencapai rokok
daun yang berada di sisinya. Diselit ke celah bibirnya yang kehitam-hitaman.
Kesan dari tabiat buruknya yang suka menghisap rokok. Dinyalakan api pada rokok
sebelum disedutnya perlahan.
Bunyi cengkerik dan unggas
hutan kedengaran bersahut-sahutan memecah keheningan malam. Sekali sekala
kedengaran bunyi kenderaan bermotor dari jalan kampung yang terletak tidak jauh
dari kawasan rumah papan itu.
Dari beranda rumah, Encik Idris
menghalakan pandangan ke halaman rumah yang kelihatan gelap. Sesekali dia
menampar bahagian-bahagian tubuhnya yang digigit nyamuk. Angin malam yang
bertiup perlahan tidak mampu menghalang serangga itu dari berterbangan mencari
mangsanya.
Bunyi lantai papan dipijak
mengalih pandangan Encik Idris. Ditoleh kepalanya ke belakang.
Puan Salmah mengatur langkah
perlahan. Dibawa bersamanya sedulang air minuman. Diletak perlahan ke lantai
beranda sebelum melabuhkan punggung di sebelah suaminya.
“Minum bang,” pelawa Puan
Salmah.
Puan Salmah mengangkat cawan
yang berisi kopi panas. Dihulur pada suaminya. Encik Idris mengubah cara duduk.
Bersila mengadap isterinya. Rokok di tangan diletakkan di piring cawan setelah
dimatikan apinya.
“Mana Laila, dari tadi abang
tak nampak dia pun.” Encik Idris bersuara sebelum mengangkat cawan ke pinggir mulut.
Dihirupnya sedikit demi sedikit.
“Ada bang, dalam biliknya,” jawab
Puan Salmah.
Kaki yang terasa lenguh
dilunjur ke depan. Tangannya mencapai minyak urut yang turut dibawanya tadi.
Disapu sedikit pada kedua belah kakinya sebelum mula mengurut perlahan. Kesibukannya
membantu si suami mengerjakan kebun saban hari menyebabkan kedua kakinya terasa
kejang.
“Dah besar pun anak kita tu
bang. Dah 19 tahun pun,” lembut Puan Salmah menutur kata.
Matanya memandang sekilas wajah
Encik Idris. Mencari kata yang sesuai untuk menerus kata. Dia tunduk semula
sambil tangannya lincah mengurut kedua-dua kakinya.
“Kalaulah dia ada adik beradik
lain, tentu rumah kita ni riuh rendah sekarang.” satu keluhan kecil terlepas
keluar dari bibirnya.
Encik Idris menoleh sekilas. Tersenyum
kecil ke arah isterinya.
“Kenapa Mah cakap macam tu?”
soal Encik Idris lembut.
Puan Salmah mengeluh lagi.
Turut membalas pandangan suaminya.
“Saya bukannya apa bang. Kesian
tengok anak kita tu. Dah hampir dengan peperiksaan pun dia masih sibuk nak menolong
kita di kebun. Sekurang-kurangnya kalau kita ada ramai anak, kuranglah sikit
beban si Laila tu.” Puan Salmah menyuara rasa hatinya.
“Esok-esok bila dia dapat masuk
universiti, dah tak ada siapa lagi yang akan temankan kita. Makin sunyilah
rumah kita ni bang,” luah Puan Salmah lagi.
Encik Idris menarik nafas
panjang. Dia faham dengan perasaan yang dirasai isterinya itu. Jauh di sudut
hati dia turut merasainya namun naluri kelelakiannya tidak membenarkan dirinya
dari mempamerkan perasaan itu secara lahiriah.
“Tak baik Mah cakap macam tu.
Semua ni dah takdir Allah. Dah Dia nak bagi kita seorang anak saja, nak buat
macam mana lagi. Daripada langsung tak ada, lebih baiklah ada juga walau pun
hanya seorang.” lembut Encik Idris membalas. Wajah muram si isteri direnung
lama.
“Mah tak salahkan takdir bang.
Cuma Mah rasa terkilan,” tingkah Puan Salmah lembut.
Encik Idris tersenyum lagi.
Tangannya mencapai gulungan rotan yang bertimbun di sudut beranda. Ditarik
segulung rotan merapati tubuhnya. Dicapai pula pisau kecil yang terselit di
celah timbunan rotan tadi. Dia mula meraut rotan yang panjang itu.
Walau pun hasil pekerjaannya di
kebun dapat menampung keperluan hidup mereka anak beranak, namun telah menjadi
kebiasaan Encik Idris meraut rotan di waktu lapang. Selain untuk kegunaan di
rumah pekerjaannya itu dapat juga memberikan pendapatan sampingan untuk mereka
sekeluarga.
Sememangnya sikap ringan tulang
yang mengalir di tubuhnya membuatkan Encik Idris tidak betah untuk membiarkan
masa berlalu begitu sahaja tanpa sebarang faedah.
“Mah, seharusnya kita
bersyukur, walaupun anak kita cuma seorang, kita dapat memberikan didikan agama
yang sempurna padanya. Kita dapat membentuknya menjadi seorang anak yang baik
dan berguna pada bangsa dan agama,” ujar Encik Idris tenang.
Sesekali matanya melirik ke
arah Puan Salmah yang masih setia mengurut kedua-dua belah kakinya.
“Itu saya faham bang, tapi
bukankah nabi Muhammad SAW pun menyuruh manusia meramaikan umatnya,” tingkah Puan
Salmah membalas kata.
“Apa yang Mah cakap tu memang
betul tapi Mah kena fikir, kalau ada anak ramai pun bila besar nanti jadi
sampah masyarakat pun tak ada gunanya juga. Kita sendiri pun akan turut berdosa
kerana gagal menjalankan tanggungjawab sebagai ibubapa dengan baik,” nasihat
Encik Idris.
Puan Salmah mendengus perlahan.
Sedikit kasar.
“Abang ni, cakap macam
seolah-olah kita ni mencari dosa kalau beranak ramai,” balas Puan Salmah sedikit
marah. Geram mendengar kata-kata Encik
Idris.
Encik Idris menyimpul senyum.
Matanya masih menjalari wajah isterinya itu.
“Abang tak bermaksud begitu.
Cuma abang nak Mah tahu, baik anak kita seorang ataupun ramai, semua itu adalah
ketentuan Allah. Sebagai manusia, kita hanya dapat menerima ketentuan itu
dengan hati yang redha. Tak kiralah anak kita ramai atau seorang, menjadi
tanggungjawab kita sebagai ibubapa untuk mendidik anak-anak agar mereka berjaya
dalam hidup di dunia dan di akhirat.”
Puan Salmah membisu seketika. Telinganya
menangkap satu persatu kata-kata suaminya.
“Lagipun Mah, bilangan anak
bukannya boleh menjadi ukuran untuk menentukan kebahagiaan hidup kita.
Kebahagiaan sesebuah rumah tangga itu datang dari pasangan itu sendiri. Apa
gunanya kalau beranak ramai tapi kebahagiaan itu tak pernah kita rasai,” ujar Encik
Idris lagi.
Jari jemarinya masih ligat
meraut rotan yang berada di tangan.
“Abang tak nafikan, anak yang
ramai akan menambahkan lagi kebahagiaan sesebuah rumah tangga itu. Tapi itu tak
bermakna rumah tangga yang kurang bilangan anaknya hidup dalam keadaan tidak
bahagia. Contohnya kehidupan kita sekeluarga. Pernahkah Mah rasa kita
anak-beranak hidup dalam keadaan yang tidak bahagia? Tak pernahkan. Walau pun
kita hanya tiga beranak, hidup kita tetap gembira, tetap sempurna walau pun tak
sepenuhnya. Jika setiap ahli keluarga memainkan peranan masing-masing dengan
baik, insya Allah, kebahagiaan itu akan tetap dirasai dalam rumah tangga itu,” sambung
Encik Idris.
Matanya masih melirik pada si
isteri yang terdiam mendengar kata-katanya.
Puan Salmah masih membatu diri.
Tidak disahut kata-kata suaminya itu. Ditutup botol minyak urutnya sebelum diletak
semula ke dalam dulang. Tangannya masih mengurut kedua-dua kakinya yang telah
hilang rasa lenguh. Perlahan dia melepaskan keluhan panjang.
Encik Idris turut membisu.
Matanya memandang sekilas wajah si isteri yang kelihatan sayu. Encik Idris
menghela nafas pendek.
“Sudahlah tu Mah. Tak payah
difikirkan lagi tentang perkara ni. Masih banyak lagi perkara yang perlu kita
fikirkan.”
Encik Idris meletak semula
pisau dan rotan yang berada di tangnnya ke lantai beranda. Dia mencapai cawan
kopinya. Dihirup air kopi yang masih bersisa sebelum diletaknya semula.
Perlahan dia bangun dari duduk. Kakinya yang terasa sedikit kejang diusapnya
seketika sebelum perlahan-lahan tubuh tua itu kembali ditegak.
Encik Idris mengangkat gulungan
rotan yang ada di tepi kakinya. Dibawanya ke hujung beranda sebelum melonggoknya
di situ. Pisau yang dibawanya bersama diselit di celah dinding rumah. Dia
kembali mendapatkan Puan Salmah yang mengangkat cawan ke dalam dulang semula.
“Hari pun dah makin lewat Mah.
Marilah kita masuk tidur. Esok pagi kita kena ke kebun awal sikit. Sim Huat nak
datang ambil pisang-pisang kita yang dah masak kat kebun tu,” ujar Encik Idris.
Puan Salmah hanya mengangguk
kecil. Diangkat dulang yang berisi cawan kotor sebelum dia sendiri turut
bangun. Tak lama, dia beriringan dengan Encik Idris melangkah masuk ke dalam
rumah. Daun pintu rumah papan itu ditutup rapat sebelum dikunci kemas dari
dalam.
No comments:
Post a Comment