Followers

Saturday, 5 October 2013

BAB 23 - CINTA SEJATI


BAB 23

Yashmaan tersentak dari tidur. Manik-manik peluh menitik di dahinya. Diraup mukanya perlahan. Dia beristighfar beberapa kali. Perlahan-lahan tubuhnya disandar ke kepala katil. Kain selimut tebal yang membaluti tubuhnya ditarik hingga ke paras dada.
Tak lama, Yashmaan kembali tenang. Wajah Mia terbayang semula di ruang matanya. Sejak akhir-akhir ini wajah itu selalu menghantui fikirannya. Sentiasa mengekorinya hingga ke dalam mimpi. Yashmaan menelan liurnya.
Mia, bisiknya perlahan.

“Kau tak faham bahasa Melayu ke?” Tengkingnya sekuat hati.
“Kalau aku dah kata aku tak mahu maksudnya aku tak mahu. Faham!” tengkingnya lagi.
Yashmaan tidak peduli lagi dengan keadaan sekeliling yang sedang memerhatikannya.
Mia menangis perlahan. Kepalanya di tunduk ke bawah. Terasa malu diperlakukan sebegitu di depan pelajar-pelajar lain.
“Kalau kau nak berlaki sangat, kau nampak pintu tu.” Yashmaan menuding jari telunjuknya ke satu arah.
Mia terus menangis teresak-esak.
“Kat luar sana tu banyak lagi jantan yang padan dengan perempuan bodoh macam kau ni.” Dia menengking lagi. Merah mukanya menahan rasa marah yang membara dalam hati.
“Dasar perempuan kampung, tak sedar diri. Cerminlah dulu muka tu sebelum nak ajak aku kahwin!” Yashmaan menengking lagi.
Mendengar kata itu, Mia terus berlari keluar. Tak sanggup lagi telinganya mendengar kata-kata penghinaan yang keluar dari mulut anak muda itu.
Untuk seketika, majlis perpisahan untuk para pelajar yang diadakan di Malaysian Hall petang itu sunyi sepi. Masing-masing terdiam melihat adegan yang tidak disangka itu.
Yashmaan tersenyum puas. Sekelumit pun tidak wujud perasaan simpatinya terhadap Mia. Hatinya puas kerana dapat menyedarkan gadis itu dari menganggu hidupnya.
“Tak baik kau buat Mia begitu Yash,” ujar Adam.
Adam yang sedar tadi berdiri disebelahnya menegur sedikit tegas. Tajam matanya memandang wajah merah padam anak muda itu.
“Apa pula yang tak baiknya? Memang patut pun aku begitu pada dia. Dasar perempuan kampung tak sedar diri, senang-senang aje nak aje aku kahwin.”
Yashmaan mendengus kasar, kurang senang dengan kata-kata sahabat baiknya yang terang-terangan mempersalahkan tindakannya itu.
Adam mengelengkan beberapa kali. Wajah Yashmaan yang kembali tegang dipandang lama.
“Kau tu yang sebenarnya tak sedar diri Yash. Dia sanggup mengadaikan kehormatan dirinya untuk menyelamatkan nyawa kau. Kalau dia tak buat begitu, kau takkan berada di sini sekarang,” ujarnya tegas.
“Hei Adam, aku tak minta pun dia buat begitu pada aku. Jadi jangan nak minta balasannya pula,” balasnya dengan angkuh.
Tajam matanya menikam pandangan anak muda berwajah putih bersih itu.
“Astaghfirullahhallazim.” Adam mengucap panjang. 
”Kau sedar tak dengan apa yang kau katakan ni? Ini bukan sebab balasan, tapi tanggungjawab. Dah menjadi tanggungjawab kau untuk mengahwini Mia. Dia mengandungkan anak kau, Yash.”
Suara Adam mula kedengaran tinggi. Hatinya menjadi sakit mendengar kata-kata Yashmaan yang dianggapnya melampau itu.
“Aku dah suruh dia gugurkan kandungan tu tapi dia tak nak. So, jangan nak salahkan aku pulak.” Dengan lagak selamba Yashmaan menjawab lantang.
Riak wajahnya tidak mempamerkan walau sepalit rasa bersalah terhadap kata-katanya itu. 
“Hei Yash, kau dah gila ke? Mengugurkan kandungan tu sama seperti kau menyuruh Mia membunuh tahu. Kau tahu berapa banyak dosa yang kau dan Mia akan tanggung nanti?” Tengking Adam kuat.
Raut wajah Adam mula merah. Cuba mengawal bara marah yang mula menyala di dalam hati.
“Hei Dam, tak payahlah kau nak jadi ustaz kat sini pula. Mengajar aku tentang hukum agama. Memang patut pun aku layan perempuan kampung tu macam tu, biar dia sedar diri sikit.” Dengan nada bongkak Yashmaan membalas kata.
“Kau ingat si Mia tu tak ada maruah ke? Walau pun dia budak kampung tapi perangainya tak sama dengan betina sundal yang selalu kau usung ke sana ke sini selama ini. Mia tu seribu kali lebih baik dari betina jalanan kau tu!” tengking Adam kuat, menghamburkan rasa hati yang selama ini terpasak kemas disudut hatinya.
Selama ini dia membiarkan saja tingkah laku Yashmaan yang dirasakannya mencucuk mata. Dia membenarkan saja dirinya melihat Yashmaan dan Mia bercinta walau pun hati lelakinya tidak merelakan hati gadis idamannya itu dimiliki Yashmaan. Mia terlalu memuja anak muda yang sudah lama hilang ditelan arus kehidupan barat itu.
Bagi Adam, walau pun Yashmaan sahabat baiknya namun anak muda itu bukanlah pasangan yang sesuai untuk gadis sebaik Mia. Lagipun apa lebihnya Yashmaan? Sekadar berwajah kacak dan memiliki kekayaan yang melimpah yang sebesar zarah pun tidak menjanjikan sebarang kebahagiaan buat Mia. 
“Hei Dam, kau jaga mulut kau tu sikit ya, jangan kau nak samakan si Shilla dengan budak kampung tu.” Yashmaan kembali bersuara keras. Dituding jari telunjuknya ke wajah marah anak muda itu. 
“Kalau benarlah budak kampung tu baik sangat, kenapa dengan senang-senang saja dia serah tubuhnya pada aku? Sedangkan dia tahu semua itu berdosa. Seburuk-buruk Shilla pun, dia tak pernah nak layurkan tubuhnya pada jantan seperti mana yang dibuat budak kampung tu,” ujarnya lagi dengan tertawa sinis.
Mendengar kata anak muda itu, Adam tidak dapat menahan sabarnya lagi. Hatinya yang sedari tadi terbakar mendengar Yashmaan menghina gadis itu semakin hangus dirasakannya. Tanpa sedar, tubuh tegap anak muda itu ditolaknya kasar.
Yashmaan yang terkejut dengan tindakan tiba-tiba Adam segera membalas dengan satu tumbukan padu hinggap ke muka anak muda itu. Berderai bunyi gelas-gelas kaca yang disusun di tepi meja hidangan jatuh terhempas ke lantai dewan. Suasana menjadi kecoh.
Adam yang terlentang seketika ke bawah meja pantas bangun apabila Yashmaan kembali cuba menghayun satu tumbukan ke wajahnya. Dia membalas dengan satu tendangan di kaki anak muda itu menyebabkan Yashmaan turut tertiarap. Pantas dia menerpa tubuh yang telah terbaring itu. Untuk seketika kedua anak muda itu bergelut.
Melihat keadaan yang semakin tegang itu, mereka yang lain yang turut berada di dewan itu segera bertindak menenangkan Yashmaan dan Adam yang semakin bertindak ganas.
“Kau memang tak guna Yash, patut kau mati aje.”
Dengan wajah yang merah padam, Adam menjerit lantang. Sekuat hati dia meronta minta dilepaskan dari pegangan beberapa orang pelajar lain.
“Hei, bukan aku tak tahu kau tu ada hati pada Mia. Sebab perempuan bodoh tu aku yang dapat dulu, kau sakit hatikan. Kalau kau kesian sangat dengan perempuan kampung tu, kau kahwin ajelah dengan dia!”
Yashmaan yang turut meronta apabila tubuhnya dipegang pelajar-pelajar lain membalas keras. Tidak di hirau keadaan tubuhnya yang basah dengan keringat. Matanya tidak lekang memandang Adam yang membalas marah pandangannya.
“Kau memang jantan tak guna Yash, jantan tak sedar diri. Patut kau mati saja malam tu!” jerit Adam umpama terkena serangan histeria.
“Kau ingat kau seorang saja yang nak hidup dalam dunia ni? Pergi mampuslah kau!” ujar Yashmaan kuat, tidak kurang lantangnya.
“Kau akan menyesal suatu hari nanti Yash, kau akan menyesal dengan perbuatan kau tu. Kau akan menyesal seumur hidup!!!”
Jeritan Adam kedengaran semakin jauh apabila dia diheret keluar dari dewan itu.
“Peduli apa aku dengan kata kau tu!” Sekuat hati Yashmaan menjerit balas. 
“Allahu Akhbar, Allahu Akhbar.”
Yashmaan tersentak kuat. Azan subuh yang berkumandang dari masjid yang berdekatan hotel Astana Malaysia itu menyedarkannya dari kenangan masa lampau.  
Perlahan Yashmaan mengucap panjang. Terasa peluh menitik ke seluruh tubuhnya walaupun alat pendingin hawa terpasang kuat di bilik tidur itu. 
Perlahan-lahan dia menyebak kain yang menyelimuti tubuhnya sedari tadi. Kedua kakinya dijuntai ke bawah. Dicapai gambar berbingkai kayu yang terletak di meja bersebelahan kepala katil. Jari jemarinya mengusap beberapa kali gambar itu.
Maafkan aku Mia, bisiknya perlahan.
“Maafkan aku atas segala-gala yang pernah berlaku,”
Seketika gambar itu di lekap ke dada bidangnya.
Yashmaan memejam mata. Rasa kesal kembali menyerbu lubuk hatinya. Dia menyesal kerana telah mempersiakan Mia. Gadis itu terlalu baik. Tidak pernah menyakiti hatinya selama ini. Tanpa sedar, airmatanya berjuraian jatuh ke pipi.  Disekanya perlahan.
Setiap kali mengingati kejadian itu, airmatanya pasti kembali berlinangan. Demi menyelamatkan nyawanya, Mia hilang kehormatan diri. Namun pergorbanan gadis itu tidak dihargainya. Malah dia sanggup mencerca gadis itu dengan pelbagai kata yang menyakitkan. 
Benarlah kata Adam, dia akan menyesal dengan segala yang pernah dia lakukan terhadap gadis itu. Sehingga kini perasaan menyesal itu tidak pernah padam dari hatinya walaupun dia tahu kedua-dua Adam dan Mia telah lama memaafkannya.
Yashmaan kembali meletakkan gambar itu ke atas meja. Dia bangun melangkah ke bilik air. Seketika kemudian dia keluar semula. Membentang sejadah.
Pagi itu, seperti pagi-pagi yang sebelumnya, dia menangis lagi. Menyatakan penyesalan yang tiada kesudahannya. Memohon keampunan dari yang Maha Esa. Mengharapkan agar suatu ketika nanti dirinya akan diberi peluang untuk menebus kembali segala dosa yang pernah dilakukannya.

No comments:

Post a Comment