Followers

Saturday, 5 October 2013

BAB 24 - CINTA SEJATI



BAB 24

Malam itu, Zarif telah berkunjung ke rumah Laila. Ajakan keluarga Laila untuk makan malam di rumah, disambut oleh Zarif.
“Jadi, apa perancangan Ila sekarang?” soal Zarif.
Zarif memandang Laila yang duduk bersimpuh di depannya. Dia baru sahaja selesai makan malam bersama keluarga gadis itu.
Laila tersenyum simpul. Tangannya bermain-main dengan hujung tudungnya. Kepalanya ditundukkan sedikit.
“Buat masa ni, Ila rasa Ila nak tolong mak dan ayah kat kebun tu. Nanti, kalau ada duit lebih sikit, Ila fikir nak Ila nak ambil kursus komputer,” cadang Laila.
Dipandang sekilas wajah Encik Idris yang duduk mengulung rokok daun di sebelahnya. Ayahnya hanya membatukan diri.
Puan Salmah yang sedang melipat kain di sisi suaminya turut berdiam diri. Sesekali matanya memandang Laila dan Zarif yang duduk bersila di depannya.
Zarif menghembus nafas pendek.
“Macam nilah, abang rasa elok Ila ambil kursus komputer tu sekarang sementara nak menunggu keputusan STPM diumumkan. Taklah buang masa. Tentang yuran kursus tu, Ila tak payah risau. Abang tanggung semuanya.”
“Eh, tak payahlah bang. Nanti Laila tak mampu nak bayar balik duit abang tu.”
Pantas gadis itu menolak. Terasa terlalu banyak budi yang telah ditaburkan doktor itu kepada keluarganya.
 “Abang ada minta Ila bayar balik ke?” Lembut suara Zarif membalas.
“Dah, tak payah nak fikir lagi. Esok pagi, Ila datang jumpa abang kat hospital. Lepas saja abang bagi duitnya nanti, Ila terus pergi daftar kursus komputer tu. Tentang niat Ila nak tolong mak ayah kat kebun tu, Ila tak payah risau.
Esok-esok bila ada masa lapang, Ila bantulah dia orang. Lagi pun abangkan ada. Sekali sekala bila ada masa abang boleh turun bantu dia orang kat kebun tu. Tak pun, kalau susah sangat, abang upah saja orang kerjakan kebun pisang tu.” Persis seorang abang kandung, Zarif bersuara lagi.
Malas melawan kata, Laila hanya mengangguk perlahan. Matanya yang mula terasa mengantuk itu digosoknya beberapa kali.
“Dahlah tu Ila, pergilah masuk tidur. Tak elok menguap begitu depan abang kamu,” tegur Salmah bila di lihatnya anak daranya menguap beberapa kali.
Tanpa membantah, Laila bangun merapati Puan Salmah. Selesai bersalaman dengan kedua orang tuanya, dia berlalu ke bilik. Perlahan pintu bilik ditutup rapat sebelum dikuncinya.
Zarif hanya memandang sekilas tingkah gadis itu.
Encik Idris menyandarkan tubuhnya ke dinding. Dilipat kedua-dua belah kakinya. Dia duduk bersila, mengadap Zarif.
“Rif, ayah ucapkan terima kasih atas segala pertolongan Zarif pada keluarga ayah selama ini. Ayah tak tahu nak balas apa pada Rif.”
Lirih kedengaran suara Encik Idris. Hatinya terharu dengan pertolongan yang selalu dihulur Zarif pada mereka sekeluarga.
 “Jangan cakap macam tu ayah. Saya dah anggap keluarga ni macam keluarga saya sendiri. Ila tu, dah seperti adik kandung saya. Mak dan ayah dah seperti mak ayah saya sendiri,” balas Zarif lembut. Mekar bibirnya menguntum senyum.
“Ayah dan mak pun dah lama anggap Rif ni macam anak kami sendiri. Kami pun tak ada anak lelaki. Sekurang-kurangnya, bila Rif ada dalam keluarga ni ayah dan mak taklah rasa sunyi sangat.” Encik Idris membalas perlahan.
Zarif tersenyum lagi. Tidak membalas kata-kata lelaki itu.
“Rif kalau mak tanya sesuatu, Rif marah tak?”
Zarif mengalih pandangannya ke arah Puan Salmah yang telah selesai melipat kain. Wajah wanita yang hampir sebaya ibunya itu ditatapnya mesra.
“Mak ni, buat apa saya nak marah,” balasnya. Dia masih tersenyum.
“Apa yang mak nak tanya?” Lembut dia menyoal.
Puan Salmah terdiam seketika. Wajahnya dipaling ke arah suaminya yang turut memandangnya sebelum dia kembali memandang Zarif. Dihembus nafasnya perlahan.
“Hmm, Rif tak terfikir ke nak kahwin?”
Zarif tersentak seketika. Tidak menyangka soalan itu yang akan terbit dari mulut Puan Salmah. Dia tersenyum sedikit.
“Kenapa mak tanya begitu?” soalnya lembut.
Puan Salmah tersenyum lebar. Dibetul cara duduknya. Mengadap Zarif.
 “Rif janganlah terasa hati dengan kata-kata mak ni. Mak bukannya apa, cuma mak rasa pelik, selama mak kenal Rif, tak pernah sekali pun Rif cerita perihal keluarga Rif, jauh sekali pasal buah hati.”
Zarif hanya tersenyum.
“Sebab itulah mak tanya,” ujar Puan Salmah lagi.
“Kenapa, mak nak tolong carikan untuk saya ke?”
Zarif membalas tenang. Sekadar ingin menduga hati wanita itu.
“Kalau betul nak, apa salahnya. Mak boleh tolong carikan,” pantas Puan Salmah membalas.
Bulat matanya memandang wajah doktor tampan itu. Zarif yang memandang tingkah wanita itu hanya tertawa kecil.
“Hisy, Mah ni, ada ke situ pula. Biarlah budak Rif tu nak kahwin ke tidak? Yang awak sibuk tu kenapa?”
Encik Idris menegur isterinya. Bimbang sekiranya Zarif terasa hati.
“Saya bukan nak sibuk bang, Saja nak tanya. Bukannya salah pun,” tingkah Salmah. Kurang senang dengan teguran suaminya.
Zarif hanya tersenyum mendengar pertengkaran kecil suami isteri itu.
“Hah Rif, kalau Rif betul-betul nak, mak boleh tolong carikan. Anak dara dalam kampung ni pun ramai, lawa-lawa pulak tu.” Puan Salmah bersuara lagi. Wajahnya kembali kelihatan ceria.
“Mah, dahlah tu.” Sekali lagi Idris menegah lembut isterinya. Nadanya lebih tinggi dari tadi.
Puan Salmah mendengus lembut. Dijeling sekilas wajah Idris yang merenung tajam padanya. Seakan memberi amaran pada si isteri supaya tidak bersuara lagi.
Zarif yang memandang tertawa kecil.
“Tak apalah mak, buat masa sekarang saya lebih selesa begini. Kalau ada jodoh Insya Allah, berdua juga saya nanti.”

Zarif memandu keretanya perlahan. Jalan kampung yang berlubang-lubang dan tidak rata memaksanya memandu dalam keadaan cukup berhati-hati. Apatah lagi dengan simbahan cahaya lampu jalan yang hanya kelihatan samar-samar pada waktu malam membuatkannya lebih berwaspada.
Zarif menguak rambutnya ke belakang beberapa kali. Tangan kirinya mencengkam kemas stereng kereta. Tanpa sedar Zarif mengeluh perlahan. Fikirannya dirasakan berkecamuk ketika ini.
“Kenapa tak kahwin lagi?”
Sebaris pertanyaan itu berputar–putar di fikirannya. Sudah acap kali dirinya diasak dengan pertanyaan sebegitu. Pertanyaan yang hanya menimbulkan rasa sebal di hatinya. Pertanyaan yang selama ini cuba dielaknya.
Perlukah dia menjawab pertanyaan itu? Jika benar dia perlu menjawab pertanyaan itu, apa yang harus dikatanya? Dari mana dia harus memulakannya? Patutkah dia memberitahu segala tentang dirinya pada orang lain? Fikirannya berperang sendiri.
Zarif memberhentikan kereta apabila tiba-tiba muncul beberapa lembaga dari balik semak yang berhampiran. Mereka berdiri sebaris menghalang laluannya.
Salah seorang dari mereka menghampiri kereta Zarif dan mengetuk keras cermin tingkap keretanya beberapa kali. Pantas Zarif menurunkan cermin tingkap. Tertanya-tanya dengan tindakan yang ingin dilakukan oleh mereka. Lelaki itu mengisyaratkannya supaya keluar dari kereta.
Dengan lagak tenang Zarif membuka pintu kereta. Belum sempat dia bangun, tubuhnya ditarik keluar dengan kasar. Pantas Zarif mencengkam kuat tangan lelaki tersebut. Dipulas tangan itu sehingga lembaga berpakaian serba hitam itu menjerit kesakitan.
Mendengar jeritan itu, mereka yang lain segera menyerbu ke arahnya. Dengan pantas Zarif menolak tubuh lelaki itu ke tanah. Ditendang perut seorang lelaki yang cuba menghayun sebatang kayu ke arahnya. Lelaki itu jatuh terlentang. Dia mengerang kesakitan.
Zarif melompat ke tepi apabila seorang lagi cuba memukul belakangnya. Sekuat hati, dia menyepak tepat mengenai betis sehingga lelaki itu tertiarap ke tanah.
Zarif memperkemaskan langkah. Dia mengelak ke tepi apabila dua orang lelaki menyerangnya serentak. Dihayun tendangannya tepat ke celah kelangkang salah seorang darinya. Lelaki itu terduduk. Senak.
Dialih pandangannya ke arah seorang lelaki lagi. Belum sempat dia berbuat apa-apa, lelaki itu melarikan diri ke semak berhampiran. Melihat rakan mereka melarikan diri, mereka yang lain turut berbuat demikian.
Zarif menarik nafas. Dadanya berombak kencang. Kepenatan. Wajahnya yang basah dengan peluh dilap dengan kedua tapak tangannya.
Matanya dipaling ke arah seorang lelaki yang masih terbaring mengerang tidak jauh dari keretanya. Dia segera mendapatkannya. Diheret tubuh yang dalam kesakitan itu ke arah cahaya lampu keretanya yang terpasang sedari tadi. Ditarik topeng yang membaluti wajah itu. 
Sebaik saja terbuka, air muka Zarif berubah. Terkejut.
“Anas?”
Dalam nada terkejut dia bersuara. Diamati wajah itu. Seakan tidak percaya anak muda itu sanggup menyerangnya. Sememangnya Zarif mengetahui sikap anak muda itu. Laila pernah memberitahunya tidak lama dulu.
Anas memalingkan wajahnya ke arah lain. Sakit hatinya melihat doktor itu memandangnya dengan wajah simpati. Tangannya meraba perut yang masih terasa sakit.
Zarif melutut di tepi anak muda itu. Dipandang wajah bengis itu dengan perasaan kasihan. Dia cuba untuk menyentuh tubuh anak muda itu namun Anas pantas mengelak.
“Kenapa kamu buat begini Nas?” Lembut dia menyoal. Timbul rasa bersalahnya melihat anak muda itu mengerang kesakitan.
Anas menjelingnya tajam. Dia cuba bangkit.
“Aku tak suka kau rapat dengan Ila tahu tak!” tengkingnya.
Sehabis tenaga dia menolak tubuh Zarif hingga doktor itu hampir terjatuh. Dia cuba untuk melarikan diri namun pantas Zarif menarik kakinya hingga dia turut terjatuh. Mereka bergelut seketika.
Zarif mengilas kedua belah tangan anak muda itu ke belakang. Ditarik tubuh Anas hingga anak muda itu kembali terduduk. Genggamannya terhadap Anas diperkemaskan. Ditolak wajah anak muda itu supaya memandangnya tepat.
Anas cuba meronta namun genggaman Zarif pada kedua lengannya terlalu kuat. Anas akhirnya hanya menurut. Dia mendengus kasar. Marah.
“Beritahu aku, kenapa aku tak boleh rapat dengan Ila?” Zarif menyoal tegas. Wajah anak muda itu dipandang tajam.
“Dia girlfriend aku, kau tahu tak!” Pantas Anas menjawab. Raut wajahnya kelihatan marah.
Mendengar jawapan dari anak muda itu Zarif tertawa kuat. Terasa lucu dengan kata-kata Anas itu. Ketawanya memecah kesunyian malam.
Anas yang memandang gelagatnya terasa geram.
“Apa yang lucu sangat? Kau ingat aku buat lawak ke?” tengkingnya lagi.
Zarif tersenyum lebar. Dia masih tertawa tapi tidak sekuat tadi. Dia memandang kembali wajah Anas yang menyinga. Dia mengeleng-geleng.
“Nas, Nas. Betullah kata Ila. Kau ni jenis lelaki yang tak tahu malu. Sesedap rasa kau saja nak mengaku anak dara orang tu girlfriend kau.” Zarif tertawa lagi.
Anas terasa darah merah menyimbah ke mukanya. Pantas kakinya cuba menendang Zarif namun doktor itu dapat mengelak.
Zarif menghentikan tawanya. Dia menguatkan cengkamannya terhadap Anas sehingga anak muda itu menjerit kesakitan. Jari-jemari kanannya mencengkam kuat kedua belah pipi anak muda itu. Wajahnya kelihatan serius.
“Hei, kau dengar apa yang aku nak cakapkan. Bukan ini caranya untuk memikat hati seorang gadis. Banyak lagi cara yang baik untuk kau dapatkan Ila.”
Sekali lagi Zarif bersuara tegas. Lebih tegas dari tadi. Matanya merenung tepat anak mata pemuda itu.
“Jangan kau ingat dengan status ayah kau sebagai ketua kampung tu kau boleh lakukan apa saja yang kau suka. Sedarlah diri sikit. Orang kampung tak mengadu apa-apa pada ayah kau bukan kerana mereka takutkan kau tapi kerana mereka hormat pada ayah kau tu,” Sedikit kasar, Zarif melepaskan genggamannya.
Anas terdorong sedikit ke belakang. Namun dia tidak berusaha untuk membalas.
Zarif menegakkan tubuh. Dia bangun dari duduknya. Berdiri tegak mengadap tubuh anak muda itu.
“Cuba kau pandang dalam-dalam diri kau Nas. Apa yang kau ada? Apa pun kau tak ada. Sampai bila kau nak harapkan ihsan dari orang tua kau? Kalau diri sendiri pun kau tak mampu nak jaga, macam mana kau nak jaga anak dara orang,” ujarnya lagi.
“Sepatutnya dalam usia yang sebegini muda, kau habiskan masa kau dengan mencari harta dan kekayaan sendiri mengikut cara yang halal. Tunjukkan pada semua orang yang kau boleh berdiri di kaki sendiri tanpa bantuan orang tua kau. Bukannya menjadi kutu kampung yang dibenci masyarakat.”
Anas tidak membalas kata. Dia sekadar menjeling tajam.
Zarif menarik nafas perlahan.
“Cubalah jadi insan yang berguna Nas. Kau orang terpelajar. Gunakan segala ilmu pengetahuan yang kau tahu untuk membantu kedua orang tua kau. Jangan sekadar mengharapkan ihsan orang lain untuk memberi kau kerja. Selagi tulang empat kerat kau masih berfungsi, gunakannya untuk memberi kesenangan pada orang tua kau.”
Zarif mengerling sekilas anak muda itu sebelum berlalu ke keretanya.
Anas yang masih berkeadaan seperti tadi hanya memandang.
“Lagi satu, aku nak kau tahu, Ila tu adik aku dan sebagai abang, aku takkan sesekali membiarkannya hidup dengan lelaki sampah seperti kau ni.”
“Kalau betul kau nakkan Ila, buktikan dulu pada aku apa yang mampu kau berikan padanya dengan hasil titik peluh kau sendiri. Anggap saja kata-kata aku ni sebagai satu cabaran dari abang Ila untuk kau. Ingat tu Nas.”
Zarif tersenyum sinis sebelum melangkah masuk ke dalam perut kereta. Sempat dia membunyikan hon sebelum berlalu.
Anas yang sedari tadi terduduk di tepi jalan itu menundukkan kepalanya. Perutnya yang masih terasa sakit dek penangan Zarif tadi diusapnya perlahan.
Perlahan-lahan Anas cuba menenangkan amukan marah yang terperangkap di ruang hatinya. Dia kembali memikirkan kata-kata Zarif sebentar tadi. Setiap patah kata yang terkeluar dari mulut doktor itu menerjah masuk ke fikirannya. Sedikit sebanyak, dia menyedari kebenaran kata-kata lelaki itu. 
Semenjak dia menamatkan pengajiannya di universiti, dia tidak pernah berusaha untuk menggunakan segala ilmu pengetahuan yang dipelajari untuk memajukan diri. Dia terlalu mengharapkan ihsan dari orang tuanya.
Baginya, harta yang dipunyai kedua orang tuanya itu tidak akan luak jika dia menggunakannya. Lambat laun, kekayaan yang dimiliki kedua orang tuanya itu tetap akan menjadi miliknya sementelah dia tidak mempunyai adik beradik yang lain. Tidak pernah terlintas di hatinya untuk mencari harta atas daya usahanya sendiri.
Dalam diam, Anas menyesal sendiri. Menyesal dengan segala tindak tanduknya yang selama ini tidak mendatangkan sebarang faedah padanya.
Dalam hati, dia menanam tekad. Dia akan menyahut cabaran Zarif itu. Dia akan membuktikan pada Zarif yang dia mampu untuk memberikan kesenangan pada Laila, gadis yang sekian lama telah mencuri hatinya. Kesenangan hasil dari titik peluhnya sendiri. 
Aku akan buktikan, bisiknya perlahan, penuh semangat. 

No comments:

Post a Comment